KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemerdekaan yang dimiliki adalah hasil daripada tumpahan keringat, darah dan air pejuang terdahulu.
Justeru Presiden UMNO itu berkata, dalam mengisi kemerdekaan ini, seharusnya kita pertahankan kedaulatan negara berpaksikan prinsip Rukun Negara di samping membentuk warga yang cintakan keamanan.
‘’Serlahkan nilai-nilai patriotisme kita untuk Malaysia dalam norma baharu sempena Hari Kemerdekaan Negara kali ke-63,’’ katanya dalam melalui catatan dalam Facebook beliau sempena sambutan Hari Kebangsaan hari ini.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Hasan pula menggariskan, tiga cara bagaimana Muafakat Malaysia boleh diperkukuhkan.
Kata beliau, pertama rakyat mesti menolak ideologi yang menghalang kita meraikan perbezaan dan kemajmukan. Sebarang fahaman yang ekstrem, sempit, dan bercanggah dengan kepentingan dan perpaduan nasional mesti kita hindari secara total.
‘’Kedua, mari kita teguh mengiktiraf kerencaman budaya dan agama, menerima dan menghormatinya. Tiada satu budaya lebih tinggi dari budaya lain. Akurlah Malaysia memang sebuah negara yang berwajah majmuk, dan kemajmukan itulah yang menjadikan Malaysia istimewa.
‘’Dan ketiga, hiduplah dengan mengamalkan toleransi, tolak ansur, dan pendekatan sederhana. Adat bernegara seharusnya matang dan bersusila tinggi. Kita mesti belajar berlebih kurang dan berbahagi,’’ katanya.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perutusan yang sama berkata, kemerdekaan adalah sebuah anugerah yang besar lagi tidak ternilai, perlu dihargai.
Beliau berkata, kemerdekaan harus dijaga, dipupuk dan dipelihara sebaik-baiknya dan kemerdekaan hanya datang sekali.
‘’Tanah air ini, milik setiap seorang daripada kita. Jangan sesekali kita benarkan sesiapapun memusnahkan apa yang kita ada – kemerdekaan dan kemajuan anak bangsa. Selamat menyambut Hari Kebangsaan 2020. – Edisi 9