33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Pejuang ditubuhkan untuk ganti UMNO dan Bersatu – Tun M

Mesti Baca

SLIM RIVER – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) ditubuhkan untuk menggantikan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang kini tersasar daripada matlamat asal mereka.

Pengerusi Pejuang itu berkata, UMNO dan Bersatu juga perlu digantikan kerana mengamalkan rasuah serta mementingkan poket sendiri.

Menurutnya yang dipetik Malaysiakini, satu daripada sebab besar beliau menubuhkan parti baharu itu adalah untuk membersihkan politik dalam negara daripada politik wang.

“Politik (hari ini) bukan berjuang untuk bangsa, agama dan tanah air, tetapi politik yang mengisi poket sahaja.

“Di sini kita PRK (Pilihan Raya Kecil) Slim bukan nak tukar kerajaan, tapi PRK ini amat penting untuk penduduk Slim menunjukkan kepada kerajaan dan seluruh Malaysia bahawa rakyat tidak suka cara politik wang yang ada sekarang.

“Kita nak hapuskan sistem sogokan dan rasuah. Pejuang ditubuh untuk gantikan Umno dan Bersatu,” katanya di Felda Trolak Utara, Perak, malam tadi.

Dr Mahathir mengumumkan penubuhan parti baharu pada 12 Ogos serentak dengan pengisytiharan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi sebagai calon mereka yang terpaksa bertanding sebagai calon bebas kerana permohonan pendaftaran Pejuang masih diproses Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

Untuk rekod, Bersatu ditubuhkan oleh Mahathir pada tahun 2016 sebagai alternatif kepada UMNO selepas beliau keluar dari parti itu.

Namun, pengerusi Bersatu itu hilang keahlian dalam partinya sendiri selepas tidak sehaluan dengan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Mahathir berkata pemimpin Pejuang tidak akan melompat ke parti lain atau boleh dibeli oleh sesiapa.

Katanya hal itu berbeza daripada beberapa peristiwa yang berlaku dalam politik negara mutakhir ini, termasuk di Sabah.

“Baru-baru ini kita lihat di Sabah apabila diperintah oleh parti Warisan yang bersekutu dengan kita.

“Dia (Muhyiddin) nak jatuhkan parti Warisan ini bukan dengan hujah, bukan dengan memberitahu parti Warisan itu tidak baik, tetapi dengan membeli 13 wakil rakyat yang ada dalam Warisan.

“Ini cara Muhyiddin dapat sokongan. Saya terkejut dengar ada yang dibayar RM32 juta cuma untuk keluar daripada Warisan. Ada juga yang dapat RM5 juta.

“Kami parti Pejuang kami semua berjanji tidak ada penjualan,” katanya.

Mahathir juga turut memberi jaminan bahawa Amir Khusyairi tidak akan berbuat demikian.

“Saya percaya Amir tidak akan berbuat demikian.Apabila saya panggil dia, tanya dia, nak jual atau tidak… dia kata tidak dijual,” katanya lagi.

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai.

Amir Khusyairi dicabar dua lagi calon iaitu dari Barisan Nasional (BN) Mohd Zaidi Aziz seeta seorang calon Bebas Santharasekaran Subramaniam.

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan