IPOH – Tun Dr Mahathir Mohamad malam tadi mengumumkan, Parti Pejuang Tanah Air akan menjadi wadah baharu perjuangan politiknya di negara ini selepas PPBM (Bersatu).
Memetik Malaysiakini, bekas perdana menteri itu berkata, penubuhan parti tersebut bukan untuk memecah belahkan orang Melayu.
“Saya tak minat parti baharu. Bukan untuk memecah orang Melayu lagi, tetapi untuk memberi tempat kepada orang Melayu supaya mereka dapat memilih sebuah parti yang berjuang untuk mereka untuk rakyat bukan untuk ‘apa aku dapat’.
“Bersatu kena ‘hijack’ dan kami dibuang, saya sendiri sebagai pengerusi dibuang. Pergi mahkamah dan mahkamah kata apa Muhyiddin (Yassin) buat betul. Sebab itu kita terpaksa tubuh parti baru.
“Jadi, saya nak isytiharkan parti ini dinamakan sebagai Parti Pejuang Tanah Air,” katanya pada majlis memperkenalkan calon parti tersebut bagi PRK Slim di Slim.
Terdahulu, menerusi hantaran Facebook, Dr Mahathir menerusi sajak mengumumkan parti baharunya dikenali sebagai Pejuang.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, Pejuang bermula pada PRK Slim walaupun calon parti yang bakal menghadapi BN akan bertanding tiket bebas.
“Kita bermula dengan memperkenalkan seorang calon di PRK DUN Slim, oleh kerana kita belum dapat tubuh parti, dia dikenali sebagai calon bebas tapi dia sebenarnya dia adalah calon Pejuang.
“Saya harap segala pejuang bangsa di Slim akan menyokong calon kami, calon parti Pejuang,” jelas beliau.
Dr Mahathir pada majlis itu mengumumkan peguam syarie, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi sebagai calon bagi PRK DUN Slim.
Bagaimanapun, memandangkan Pejuang masih belum berdaftar secara rasmi dengan ROS maka Amir akan bertanding sebagai calon Bebas.
Berucap di hadapan lebih 500 hadirin, Dr Mahathir berkata kerajaan hari ini bukan lagi berkhidmat untuk bangsa, negara agama tetapi untuk ‘apa aku dapat’.
“Bersatu ini yang pindah menyokong Muhyiddin, bukan kerana selamatkan Melayu daripada dihancur oleh DAP. Tetapi kerana nak jawatan, nak dapat pendapatan yang banyak, gaji yang tinggi. Itu lah kerajaan yang ada sekarang ini.
“Saya tanya seorang menteri “Kenapa tidak kembali kepada parti kita? Jawabnya: “Saya menteri balik ke parti habis lah, tak dapat lah duit”.
“Jadi perjuangan untuk apa? Untuk duit, sebab itu saya kata lebih baik kita tubuh sebuah parti yang kita panggil dengan nama ‘Parti Apa Aku Dapat’ . Semua yang ada dalam kerajaan ini dapat sesuatu,” katanya.