25.6 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Individu cetus kluster Sivagangga didenda RM12,000, penjara lima bulan

Mesti Baca

ALOR SETAR – Pemilik restoran Nasi Kandar Salleh yang beroperasi di pekan Napoh, dijatuhkan hukuman penjara lima bulan dan denda RM12,000 hari ini selepas mengaku bersalah tidak mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian pada bulan lalu.


Nezar Mohamed Sabur Batcha, 57 tahun, didapati bersalah ke atas pertuduhan mengingkari perintah pengawasan dan pemerhatian dalam tempoh kuarantin wajib pada 14 Julai lalu.

Memetik Astro Awani, tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun di Hospital Alor Setar, hari ini.

Pendakwaan dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya, Zabidah Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa meninggalkan premis yang ditetapkan untuk menjalani pengawasan dan pemerhatian dengan berada di Bank Rakyat Cawangan Jitra, Kubang Pasu pada jam 4.40 petang, 14 Julai lalu.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa telah meninggalkan premis yang ditetapkan untuk menjalani pengawasan dan pemerhatian dengan berada di Agro Bank Cawangan Jitra pada pukul 3.58 petang dan Pusat Khidmat Hasil, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kubang Pasu pada pukul 3.35 petang pada hari yang sama.

Bagi pertuduhan terakhir, Nezar Mohamed juga didakwa telah meninggalkan premis yang ditetapkan untuk menjalani pengawasan dan pemerhatian dengan berada di premis Public Bank Cawangan Jitra, pada pukul 3 petang, juga pada hari yang sama.

Susulan itu, tertuduh didakwa telah melanggar perintah pengawasan dan pemerhatian yang dikeluarkan di bawah Seksyen 15 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Dia dituduh mengikut Seksyen 22 (b) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (a) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zabidah Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohd Hadi menjatuhkan hukuman bersalah atas semua pertuduhan.

Tertuduh didenda RM3,000 dan dijatuhkan hukuman penjara lima bulan bagi setiap kesalahan dilakukan, dengan hukuman penjara akan berjalan secara serentak.

Bagaimanapun, hukuman penjara tidak dapat berjalan ketika ini memandangkan tertuduh masih dalam proses pemantauan di hospital tersebut.

Media sebelum ini, melaporkan pengusaha kedai Nasi Kandar Salleh di Napoh, Jitra, ditahan polis pada 23 Julai lalu, kerana ingkar arahan kuarantin di rumah selepas pulang dari India pada 13 Julai lalu.

Lelaki terbabit yang berstatus penduduk tetap dikesan orang ramai memakai gelang merah jambu berada di kedainya ketika diwajibkan menjalani perintah kuarantin 14 hari.

Akibat dari perbuatannya itu, sekurang-kurangnya 45 individu didapati positif COVID-19 membabitkan kes di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang di bawah Kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga.

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan