24.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Dr.Mahathir semakin ‘tenggelam punca’, ‘cakap tak serupa bikin’

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9


“Sepatutnya kita tidak berpecah kerana amalan kita sama. Saya berdoa dan minta supaya politik tidak memecah belahkan orang Melayu yang semuanya Islam dan bersaudara. Justeru, saya berharap kita dapat cantum balik umat Islam di Malaysia supaya tak berpecah belah kerana fahaman politik.’’

Mungkin ramai di antara kita sudah lupa petikan ucapan ini. Ia bukannya dilafazkan orang biasa-biasa tetapi oleh Tun Dr.Mahathir Mohamad pada 26 Mei 2019 ketika berucap Majlis Iftar Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), di Kuala Lumpur.

Tetapi tidak sampai dua tahun beliau melontarkan pandangan itu, Dr.Mahathir sudah menjadi ‘Melayu mudah lupa’ dan ‘cakap tak serupa bikin’ apabila beliau mengumumkan penubuhan parti baharu, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang). Beliau menjadi Pengerusi manakala anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Presiden.

Penubuhan parti itu membuktikan, selama ini nasihat Dr.Mahathir supaya orang Melayu jangan berpecah belah kerana berbeza fahaman politik hanyalah omong kosong dan retorik semata-mata.

Dalam sajaknya bagi menjelaskan kenapa Pejuang ditubuhkan dan perlu dipilih, antaranya Dr.Mahathir mencoretkan, ‘’Perjuangan sekarang berasas kepada ‘apa aku dapat’. Jalan mudah. Terima sahaja apa yang ditawar. Jika ada sesuatu yang boleh hancur Melayu. Mengutama apa yang aku dapat adalah cara hancur Melayu, kenapa? Kerana mengutama apa aku dapat, membelakangkan kepentingan Melayu.’’

Nampak hebat hujah ahli politik berusia 95 tahun ini, tetapi siapakah yang menjadi punca orang Melayu berpecah belah? Siapakah yang sanggup merendahkan martabat sebagai bekas Perdana Menteri apabila bersekongkol dengan Pakatan Harapan (PH) sehingga kuasa politik Melayu menjadi lemah?

Lupakan Dr.Mahathir, kewujudan Parti Melayu Semangat 46, tertubuhnya Parti Keadilan Rakyat (PKR), terlahirnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atas angkara siapa? Bukankah beliau ‘mempunyai saham’ memungkinkan semua itu berlaku?

Sekarang Dr.Mahathir tubuhkan pula satu parti baharu dengan menggunakan bahasa lunak, ‘’bukan bertujuan memecah belahkan orang Melayu’…habis tu bagaimana dengan tindakan beratus-ratus ahli Bersatu meninggalkan parti itu kerana mahu menyokong parti beliau, tidakkah itu akan mencetuskan senario orang Melayu akan terpecah lagi disebabkan berbeza fahaman politik?

Malang sekali, kaum lain juga ada berpecah kerana menganggotai parti berbeza tetapi tidak ada pemimpin mereka yang sanggup memburuk-burukkan pemimpin daripada kaum mereka sendiri sepertimana dilakukan oleh Dr.Mahathir.

Bekas Perdana Menteri itu membuat kenyataan seolah-olah pemimpin Melayu dalam parti yang tidak sehaluan dengan beliau ‘seburuk-buruk kelompok di muka bumi Allah ini.’’

Dalam usia mencecah 95 tahun dan masih diberikan kekuatan oleh Allah SWT serta memiliki sedikit sebanyak pengaruh, Dr.Mahathir sepatutnya berusaha menyatukan orang Melayu, bukannya terus dibelenggu dengan amarah politik dan dendam kesumat yang bagaikan mahu dibawa sehingga akhir hayat.

Penulis menghormati dan menghargai jasa Dr.Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun hasil perjuangan dengan sebuah parti keramat orang Melayu iaitu UMNO, tetapi janganlah kerana marah dan benci kepada seorang dua individu, beliau sanggup menghancurkan lagi perpaduan orang Melayu yang sememangnya sudah semakin lemah dari segi kuasa politik.

Advertisements

Mungkin ada penyokong beliau akan menganggap kritikan terhadap Dr.Mahathir kerana bimbang parti beliau akan menggugat parti-parti Melayu lain. Hakikatnya, Dr.Mahathir sudah tidak ada kekuatan politik dan tidak akan mampu menjadi penentu kemenangan kepada mana-mana parti.

Lagi pula, apabila Dr.Mahathir berkata, ‘’jika ingin dapat jawatan dan wang. Pilih parti lain. Jika ingin tebus maruah. Jika ingin kekal hak kita. Pilih parti kami. Pilih Pejuang.’’, perlu diingat disebabkan ingin menebus maruahlah Muafakat Nasional ditubuhkan, kerana ingin mengekalkan hak kita lah, Bersatu, UMNO dan Pas kini duduk semeja.

Tetapi apakah Pejuang mampu menebus maruah dan mengekalkan hak kita? Kalau melihat kepada kehadiran pemimpin-pemimpin PH ketika pengumuman calon Pejuang untuk PRK DUN Slim, semua orang tahu jawapannya.

Namun penulis tidak berhasrat mempersoalkan kehadiran mereka, biasalah dalam politik tiada apa yang pelik, walaupun Dr.Mahathir kata Pejuang tidak akan berpihak kepada PN mahupun PH. Penubuhan Pejuang membuktikan Ahli Parlimen Langkawi itu sudah ‘tenggelam punca’ dalam mencari jalan melepaskan dendam politiknya.

Pelbagai tohmahan beliau lemparkan kepada pemimpin Bersatu, UMNO dan Pas tidak mendatangkan kesan sebaliknya, Muafakat Nasional semakin kukuh dan kerjasama dalam Perikatan Nasional bertambah teguh.

Seperkara lagi pada 8 Julai 2019, Dr.Mahathir berkata;

“Sebenarnya saya sudah terangkan, bahawa orang Melayu ini dia tak pandai politik. Dia seronok nak jadi presiden. Nak jadi presiden seronok buka parti, nak jadi presiden kena buka parti nanti lama-lama orang Melayu tiada kuasa langsunglah.’’

Sekarang kita tahulah, Melayu mana yang tak pandai politik dan nak jadi presiden buka parti baharu – patutlah orang kata Dr.Mahathir ‘mempunyai pandangan jauh’ rupa-rupanya beliau yang akhirnya tidak pandai politik dan buka parti baharu sehingga anaknya boleh jadi Presiden – ‘tahniah la’.

Apapun, Dr.Mahathir boleh melakukan sebarang manuver politik termasuk menubuhkan parti baharu dan bercakap soal Melayu perlunya bersatu tetapi jangan lupa firman Allah SWT:

“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya. Amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (Surah al-Saf, ayat 2-3). –

Cukuplah Tun, bermuhasabahlah.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan