APABILA Tok Det (Tun Dr. Mahathir Mohamad) umum nama parti baru dia – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dengan ada gambar Tok Det bersama lima lagi bekas pemimpin Bersatu termasuk anak dia, Tok Mukhriz bérgaya peluk tubuh… Tok Aba tersenyum, sebab tengok gambaq tu orang Kedah kata ‘ada gaya’.
Gaya peluk tubuh ini macam-macam kita boleh tafsir, ada yang kata angkuh, ada yang kata dok perhati (lihat) dan ada yang kata pemalas.
Tok Aba dok tengok program gusti WWE, ramai pengusti bila bergaya mesti peluk tubuh – nak nampak depa kuat dan hebat. Mungkin sebab tu kot Tok Det pilih gaya tu.
Tok Aba gurau dengan kawan-kawan Tok Aba bila depa tanya pasai apa Tok Det pilih gaya macam tu, Tok Aba kata, tak salah gaya macam tu sebab sesuai la dengan singkatan huruf – Parti Pejuang Tanah Air – PPTA – Parti Peluk Tubuh Anda.
Memang macam-macam tafsiran boleh buat pasai parti Pejuang, yang penting negara kita membenarkan sesiapapun nak tubuh parti, walaupun dah banyak dah parti hanya tinggal nama sahaja.
Tok Aba berpendapat, parti Pejuang mempunyai banyak cabaran terutama nak meraih sokongan orang Melayu. La ni tiga parti Melayu iaitu UMNO, Pas dan Bersatu sudah bekerjasama.
Jadi Pejuang kena ada alasan yang kukuh, kenapa orang Melayu perlu sokong parti depa, setakat dok cakap orang tu perompak, orang ni penyamun – modal politik macam tu tak kan ke mana.
Ni la benda yang Tok Mukhriz kena fikir sebagai Presiden parti. Jadi Tok Aba nasihatkan Tok Mukhriz tok sah dok sibuk pasai parti orang lain terutamanya mengenai Muafakat Nasional (MN). Tok Mukhriz patut tumpu macam mana nak perkuatkan Pejuang bukan dok sibuk nak tengok ‘kain orang lain terkoyak ke, terlondeh’.
Tok Aba cakap ni ikhlas sebab orang semua dok tunggu macam mana bentuk perjuangan parti Pejuang. Apakah betui-betui ditubuhkan untuk perkuatkan Melayu atau disebabkan kebencian politik.
Sebab tu Tok Aba kata, Tok Mukhriz tak payah dok komen bukan-bukan pasai MN bila Tok Mukhriz kata, ‘’saya tak tahu adakah MN akan setuju mengangkat beliau (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sebagai Pengerusi MN kerana Bersatu adalah adik bongsu dalam MN jika diterima masuk.’’
Memanglah Tok Mukhriz tak tau apa-apa sebab Tok Mukhriz bukan dok dalam MN. Jadi dalam hal MN ni Tok Aba rasa Tok Mukhriz ‘tenang-tenang saja’…bawa bersabaq, biar pemimpin MN uruskan soal dalaman depa.
Tok Mukhriz ada kerja lebih penting, kena pastikan Pejuang dapat sambutan, bukan semata-mata dok bergantung puak yang kalah dalam pilihan raya atau pemilihan Bersatu, keluar parti tu, ‘join’ Pejuang.
Hala tuju Pejuang kena jelas, Tok Det kata, Pejuang tak masuk belah mana-mana pihak sama ada Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH), tapi masa pengumuman calon PRK Slim, ramai pemimpin PH dok sepentas dengan Tok Det dan Tok Mukhriz.
Kalau betui la, Pejuang mau memperjuangkan nasib orang Melayu, Tok Aba harap depa akan nyatakan dengan jelas dan terbuka untuk makluman kawan-kawan baik depa termasuk DAP. Lagipun Tok Det memang sayang sangat kat DAP sebab tu selalu pertahan parti tu dalam ucapan atau tulisan dia.
Okey la kalau macam tu, tak salahpun, kawan pertahan kawan, cuma Tok Aba harap kalau betul nak jadi Pejuang Melayu, berjuang la betui-betui. Tok Mukhriz sebagai Presiden kena fikirkan apa hala tuju Pejuang untuk memperjuangkan nasib orang Melayu. Jangan dok bergantung kat Tok Det sahaja.
Tok Mukhriz kena faham, la ni bapa dia ada, bolehlah Pejuang hidup tapi macam mana nanti kalau Tok Det bersara, bolehkah Tok Mukhriz pertahankan perjuangan Pejuang? Ni orang dok cakap, bukan Tok Aba kata.
Akhir kata, Tok Aba nak pesan kat Tok Mukhriz sekali lagi jangan dok menyibuk hal parti lain, takut nanti ‘last-last’ memang Pejuang hanya ‘peluk tubuh’ sahaja..tak ada upaya nak buat apa-apa.