29.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Nelayan Vietnam rempuh bot APMM, seorang ditembak mati

Mesti Baca

PASIR PUTEH – Sebanyak 19 nelayan asing Vietnam bersama dua bot bertindak ganas apabila merempuh dan melempar bom diesel ke atas bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan cubaan untuk melepaskan diri daripada diperiksa sebelum ditahan Maritim Negeri Kelantan, semalam.

Tindakan nekad nelayan Vietnam itu memaksa anggota penguat kuasa APMM mempertahankan aset dan keselamatan nyawa  pasukan dengan melepaskan tembakan amaran ke udara namun tidak diendah.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kapten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, kedegilan nelayan asing Vietnam untuk menghentikan bot mereka dan menyerah diri dengan bertindak agresif dan ganas itu mengancam keselamatan nyawa anggota serta mencabar kedaulatan undang-undang negara ini. 

”Dalam kejadian tersebut, tembakan amaran ke udara dilepaskan namun mereka terus melemparkan beberapa bom diesel serta membaling getah yang dicucuh api ke arah bot Penyelamat 7 supaya bot terbakar. 

“Tidak cukup dengan itu, objek keras juga dilempar bertalu-talu ke arah anggota hingga menyebabkan terdapat bahagian bot yang pecah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas Nur Syam, kedua-dua bot nelayan terbabit bertindak semakin ganas dengan  merempuh Bot Penyelamat 7 dan mengakibatkan anggota bertugas terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan keselamatan aset kerajaan dan anggota-anggota APMM. 

Berikutan rempuhan itu, Bot Penyelamat 7 telah mengalami kerosakan di bahagian atas bot, manakala salah seorang awak-awak Vietnam terkena tembakan sebelum akhirnya kedua-dua bot dapat ditahan kira-kira 81 batu nautika atau 150 kilometer daripada Muara Tok Bali semalam oleh Bot Penyelamat 7 dalam keadaan laut bergelora.

“Berikutan itu, KM Tok Bali dan Bot Penggalang 18 telah digerakkan untuk memberi bantuan dan apabila tiba di lokasi kejadian,  awak-awak Vietnam yang cedera parah didapati  telah  mati  dan  mayat  dibawa ke hospital Tengku Anis untuk tindakan lanjut.

”Pemeriksaan mendapati, bot pertama Vietnam mempunyai 16 awak-awak termasuk tekong manakala bot kedua mempunyai tiga awak-awak termasuk tekong. Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang ditahan 19 orang termasuk yang mati. 

Advertisements

“Kedua-dua bot tidak memiliki permit menangkap ikan di bawah Akta Perikanan 1985 dan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Nur Syam berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot, hasil tangkapan dan diesel dianggar bernilai lebih kurang RM 2 juta. 

Kedua-dua bot dan 18 awak-awak ditahan termasuk satu yang mati dibawa masuk ke Jeti Maritim Negeri Kelantan dan kes akan disiasat  di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985.

Jika sabit kesalahan, denda sehingga RM6 juta boleh dikenakan ke atas tekong dan RM 600 ribu ke atas  awak-awak serta Akta Imigresen 1959/1963, Seksyen 6(1)(c) yang boleh membawa kepada denda  RM10 ribu atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya serta boleh dikenakan sebatan tidak lebih daripada enam sebatan.  

Selain itu kata Nur Syam, APMM juga akan menyiasat dan menuduh awak-awak di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

“Maritim Malaysia akan terus memperkasakan Op Kuda Laut dan tiada kompromi terhadap tindakan melampau nelayan-nelayan asing  yang menceroboh perairan negara ini. Dalam menguatkuasakan undang-undang, APMM tekad mengikut prosedur operasi standard yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Nur Syam memberitahu, bagi Op Kuda Laut, kes itu merupakan tangkapan ke-30 dan ke-31 di Negeri Kelantan,  dan semalam Negeri Pahang dan Negeri Terengganu juga telah menahan dua bot nelayan Vietnam di perairan Pahang dan tiga bot nelayan Vietnam di perairan Terengganu.

Menurutnya, keseluruhan tangkapan bot nelayan asing adalah  berjumlah 43 buah bot dan kru Vietnam yang ditangkap adalah seramai 487 orang sejak kebenaran tangkapan semula ke atas bot nelayan asing selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan pada 24 Jun lalu.

Selain itu tambahnya, bagi operasi bersepadu Op Naga yang telah dilancarkan pada April 2019 sehingga kini, Maritim Malaysia telah melakukan tangkapan sebanyak 135 bot nelayan asing dengan jumlah kru asing yang ditahan seramai 1,411 orang. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan