KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengarahkan penutupan sebuah sekolah di Kulim, Kedah selepas seorang guru dan tiga orang murid disahkan positif Covid-19 yang dikaitkan dengan Kluster Tawar.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM juga melaksanakan aktiviti nyah cemar dan sanitasi di sekolah itu bagi membendung penularan Covid-19.
“Kita telah menutup sekolah berkenaan dan melaksanakan saringan Covid-19 ke atas semua pelajar terlibat. Kami juga sudah mengambil segala pendekatan untuk membendung wabak ini.
“Saya harap seminggu atau dua minggu kita berjaya membendung penularan di kawasan berkenaan,” katanya yang dipetik Harian Metro, hari ini.
Berdasarkan infografik yang dikeluarkan KKM semalam, terdapat empat kes baharu di Kulim yang membabitkan seorang guru dan tiga murid (Kes 9,204 hingga 9,207) dan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun (Kes 9,163) dijangkiti Covid-19.
Kes 9,163 adalah ahli keluarga kepada kes indeks (Kes 9,113) dan kesemua kes itu adalah daripada kluster Tawar yang kini sudah memasuki generasi ketiga.
Kluster Tawar sebelum ini dikaitkan dengan upacara pengebumian yang diadakan pada 31 Julai dan 1 Ogos lalu.
Setakat pukul 12 tengah hari ini, seramai 47 individu dalam kluster ini dilaporkan positif Covid-19 iaitu 40 kes dikesan di Kedah manakala tujuh kes lagi di Pulau Pinang.
Menurut Dr Noor Hisham, hasil siasatan jangkitan dalam Kluster Tawar didapati disumbang oleh perhimpunan dalam kalangan ahli keluarga yang tidak sepenuhnya mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Kapasiti tetamu perhimpunan tidak mengikut saiz ruang dan penjarakan fizikal yang selamat antara satu sama lain.
“Ini membantu penularan yang meluas dalam kluster ini meskipun kes indeks dan punca sebenar jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Dr Noor Hisham berkata, amalan melawat pesakit di hospital mungkin menyumbang kepada penularan jangkitan Covid-19 melibatkan Kluster Sala.
Menurut beliau, kes indeks mempunyai sejarah menziarahi pesakit di sebuah hospital bersama beberapa ahli keluarga lain.
“Walaupun tiada kes positif Covid-19 dikesan daripada saringan di hospital itu, namun semua ahli keluarga yang pergi bersama kes indeks untuk menziarahi pesakit dikesan positif.
“Jangkitan Covid-19 seterusnya merebak kepada kontak rapat kes indeks dan ahli keluarga.
“Dikhuatiri amalan melawat hospital mungkin menyumbang kepada penularan jangkitan memandangkan di hospital terdapat banyak pesakit dan mengundang risiko jangkitan,” katanya.