31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Runding terus: RM4.47 bilion untuk Kementerian Pengangkutan

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan mendahului senarai kementerian yang memberikan projek rundingan terus (RT) dengan nilai paling besar sepanjang 22 bulan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam satu kenyataan hari ini berkata, sebanyak empat projek diberikan secara RT oleh kementerian terbabit dengan nilai sebanyak RM4.47 bilion.

Katanya, Kementerian Pertahanan berada ditempat kedua apabila memberikan enam projek secara RT bernilai RM900.86 juta diikuti Kementerian Dalam Negeri dengan lapan projek bernilai RM517.68 juta.

Menurutnya, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli pula mendahului senarai sebagai pemberi projek paling banyak, iaitu sebanyak 13 projek dengan jumlah keseluruhan bernilai RM5.67 juta.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia di tempat kedua dengan 12 projek bernilai RM380.12 juta.

Bagaimanapun jelas Tengku Zafrul, perolehan secara RT dibenarkan dengan kelulusan Kementerian Kewangan, berdasarkan peruntukan sedia ada di bawah Seksyen 6(1) Akta Tatacara Kewangan 1957 (Semakan 1972) dan pekeliling-pekeliling perbendaharaan yang berkaitan.

Katanya, RT dibenarkan atas dasar proses perolehan yang memenuhi salah satu atau lebih daripada syarat-syarat berikut:

  • Perolehan bekalan dan perkhidmatan melibatkan keperluan mendesak yang mana jika perolehan tersebut tidak dilaksanakan dengan segera, ia boleh memudaratkan dan menjejaskan perkhidmatan serta kepentingan negara; 
LIM GUAN ENG
  • Keperluan  penyeragaman  bagi  memastikan  kesesuaian  penggunaan (compatibility) antara barangan sedia ada dengan barangan baru yang diperoleh;
  • Satu punca bekalan atau perkhidmatan iaitu pengeluaran produk atau penyediaan perkhidmatan hanya boleh dibekalkan daripada satu sumber sahaja;  
  • Keselamatan/ strategik yang melibatkan perolehan item atau perkhidmatan demi keselamatan atau kepentingan strategik negara; atau 
  • Kontrak dengan syarikat pembuat (manufacturer) Bumiputera yang memenuhi semua syarat kelayakan.  

Isnin lalu, Tengku Zafrul semasa persidangan Dewan Rakyat mendedahkan, rekod  Kementerian Kewangan ketika diterajui Lim Guan Eng sebelum ini, telah meluluskan sebanyak 101 projek bernilai RM6.61 bilion berkenaan secara rundingan terus.

Namun, beliau menjelaskan, dalam keadaan tertentu, kaedah perolehan secara rundingan terus dibenarkan dengan kelulusan Kementerian Kewangan berdasarkan kriteria tertentu seperti melibatkan keperluan negara yang mendesak.

Berikutan pendedahan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan, mereka akan mendapatkan senarai 101 projek daripada Kementerian Kewangan yang dikatakan diberi secara RT semasa pentadbiran PH.

Guan Eng dalam reaksinya di Parlimen menzahirkan rasa khuatir agensi itu akan mengamalkan ‘double standard’ serta menjadi senjata politik pihak tertentu.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu menegaskan, SPRM perlu bersikap adil, dan turut melancarkan kajian ke atas semua projek rundingan terus sewaktu zaman pentadbiran Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.

Rundingan terus perolehan dan tender kerajaan ketika pemerintahan PH menjadi isu kerana ia bercanggah dengan janji yang digariskan dalam manifesto gabungan politik berkenaan semasa Pilihan Raya Umum yang lalu.

PH berjanji supaya tiada lagi runding terus selain mencanangkan amalan CAT (cekap, telus dan amanah). – Edisi 9

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan