KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 27 laporan berhubung kegagalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali mematuhi perintah wajib kuarantin Covid-19 selepas pulang dari Turki 7 Julai lalu.
Timbalan Pengarah Siasatan dan Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid yang dipetik Bernama TV, pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung laporan dibuat itu setakat ini.
Semalam, Kementerian Kesihatan mengesahkan Mohd Khairuddin dikompaun RM1,000 selepas gagal mematuhi kuarantin wajib mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).
Dr Khairuddin sudah menjelaskan kompaun itu.
Bagaimanapun hukuman tersebut mendapat kritikan kerana dikatakan tidak setimpal dan berat sebelah ekoran jawatannya dalam kabinet.
Beliau turut memohon maaf kepada rakyat Malaysia dan mengumumkan akan memulangkan gaji sebagai menteri bagi Mei hingga Ogos sebagai sumbangan kepada Tabung Bantuan Bencana Negara (Tabung Covid-19).
Dr Khairuddin dalam pada itu enggan mengulas lanjut berhubung siasatan polis terhadapnya kerana melanggar perintah kuarantin kendiri di rumah.
Katanya, beliau kekal dengan kenyataan permohonan maaf sebelum ini, selain menyatakan hasrat untuk memulangkan 4 bulan gajinya sebagai menteri.
“Kenyataan saya kekal seperti yang dikeluarkan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan kenyataan rasmi saya secara bertulis, sila rujuk kenyataan itu,” katanya.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba menyerahkan kepada pihak berkuasa jika ingin mendakwa Khairuddin lagi.
Jelasnya, keputusan kompaun RM1000 itu dibuat berdasarkan Akta Pencegahan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).
“Yang itu (denda RM1,000) sudah diselesaikan. Tan Sri DG (Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) dah komen dalam twitter.
“Kita telah tengok pelbagai sudut untuk kompaun maksimum RM1,000 di bawah Akta 342, kalau ada (pihak berkuasa) nak dakwa lain itu terpulang,” katanya seperti dipetik portal Utusan Online hari ini.
Pada 18 Ogos lalu, Anggota Parlimen Seputeh, Teressa Kok mendedahkan bahawa Khairuddin telah pulang dari Turki pada 7 Julai namun tidak menjalani kuarantin dan menghadiri sidang Dewan Rakyat.
Menurut peraturan yang ditetapkan, mereka yang pulang dari luar negara perlu melakukan ujian swab dan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari.