25.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Persepsi ‘siapa akan makan siapa’ mampu hancurkan MN, PN

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

PADA 14 September ini, genaplah setahun Muafakat Nasional (MN) ditubuhkan – satu permuafakatan yang dianggap sejarah kepada arena politik tanah air, khususnya dalam soal penyatuan orang Melayu.

Dua parti terbesar Melayu yang berpuluh-puluh tahun berbalah, bersedia mengenepikan keegoan masing-masing – duduk semeja bagi mencapai piagam penyatuan ummah.

Kini MN yang dipelopori oleh UMNO dan Pas sedang diuji. Penyertaan Bersatu dalam muafakat itu mula menjadi perdebatan dan polemik panas terutamanya di dalam UMNO.

Presiden parti itu, Dr. Ahmad Zahid Hamidi menghadapi cabaran besar untuk menangani cabaran tersebut. Namun setakat ini beliau kelihatan tenang dan dilihat tidak tertekan.

Beliau memberi penjelasan dari semasa ke semasa untuk menenangkan keadaan. Ahmad Zahid memahami keputusan menjemput Bersatu bukan atas keputusan peribadi beliau tetapi dilakukan secara kolektif dengan kepemimpinan UMNO.

Tetapi isu masih belum selesai. UMNO perlu membuat keputusan muktamad sama ada menerima atau tidak, penyertaan Bersatu memandangkan dalam parti itu sudah berkocak.

Apapun keputusan yang mahu dibuat mestilah berteraskan kepada memastikan kepentingan UMNO tidak tergadai dan penyatuan ummah mesti diperkukuhkan.

Lebih penting, kesatuan dan penyatuan ummah yang terbentuk dengan linangan air mata dan kesyukuran oleh orang Melayu berikutan pembentukan MN sama sekali tidak boleh dikorbankan. Penyatuan ummah perlu dipertahankan, MN perlu diperkukuhkan.

Bagi mencapai hasrat itu, tindakan terlalu memikirkan untung rugi berkaitan kuasa politik harus dipinggirkan. Apa yang penting ialah memperkukuhkan kerjasama UMNO dan Pas bagi memastikan kemenangan cemerlang ummah dalam PRU-15.

Kehadiran Bersatu sebagai sebuah parti yang akan memperkukuhkan kerjasama politik dialu-alukan atas dasar untuk memperkuatkan kuasa politik orang Melayu tetapi parti itu perlu berhati-hati dalam tindakan dan tuntutan supaya dilihat tidak mahu mendominasikan MN dan melemahkan kekuatan UMNO serta Pas.

Pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional perlu menyelesaikan apa juga isu di meja rundingan.

Penulis percaya, penyertaan Bersatu tidak ada masalah tetapi masalah yang berlaku ketika ini disebabkan timbulkan persoalan dan kebimbangan ‘siapa akan makan siapa’. Isu ini lebih banyak dikaitkan bagaimana pembahagian kerusi mahu dilakukan bagi menghadapi PRU-15.

Memang isu ini agak getir untuk diselesaikan memandangkan ketiga-tiga parti itu bertarung sesama sendiri di hampir kesemua kawasan dalam pilihan raya umum lalu. Sudah tentulah masing-masing merasakan sesuatu kawasan itu layak untuk mereka tandingi atau pertahankan berdasarkan rekod PRU-14.

Paling kritikal ialah kerusi yang dimenangi oleh UMNO dalam PRU-14 tetapi kini dikuasai oleh Bersatu apabila Ahli Parlimennya ‘melompat parti’. Itu belum lagi mengambil kira kehadiran Mohamed Azmin Ali dan kawan-kawannya dalam Bersatu – ini juga dijangka menjadi ‘perdebatan’.

Bagaimanapun apa yang diharapkan kebimbangan ‘ siapa akan makan siapa’ tidak akan sampai menghancurkan kesepakatan dalam MN dan kerjasama dalam PN.

Ketiga-tiga parti itu sebelum ini bersedia mengenepikan perbezaan demi untuk menyelamatkan negara seperti ditegaskan oleh Setiausaha Agung UMNO, Pas, Bersatu, MCA dan MIC dalam ceramah di Felda Trolak Utara, Slim River malam tadi.

Advertisements

‘Musuh utama’ MN dan PN ialah Pakatan Harapan yang turut dianggotai oleh DAP dan parti Pejuang yang diketuai oleh Dr.Mahathir Mohamad. Walaupun nampak mereka ‘tidak bersatu’ tetapi mereka pasti akan bekerjasama untuk menumbangkan MN dan PN.

Ketika ini pembangkang sedang memerhati sahaja polemik isu penyertaan Bersatu dalam MN sebab itulah ada ‘tukang karut’ mereka yang awal-awal lagi membuat andaian atau berusaha menimbulkan persepsi ‘UMNO akan makan Bersatu’.

Tujuannya apa? Sudah pasti untuk mewujudkan suasana porak peranda dalam kerjasama antara kedua-dua parti berkenaan.

Dalam keadaan pembangkang tidak ada modal, janganlah mana-mana parti dalam MN dan PN cuba ‘memberi peluru’ kepada mereka.

Semua permasalahan harus diselesaikan di meja rundingan dan bukannya terpekik terlolong dalam media sosial sehingga memberi ruang kepada media pro pembangkang menggembar-gembur atau menyemarakkan lagi isu ‘siapa akan makan siapa’.

Penulis bersetuju dengan pandangan Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang mahu semua perkara berbangkit melibatkan gabungan parti itu ke meja rundingan.

“Jika semua pihak kelihatan lebih cenderung untuk berdebat secara terbuka dan tidak mahu lagi menggunakan meja rundingan, Pemuda Pas mencadangkan agar tidak perlu lagi diadakan rundingan. Dan semua pihak yang tidak berpuas hati dipersilakan masing-masing bertanding secara sendirian pada pilihan raya umum yang akan datang,” kata Ahmad Fadhli.

Betul seperti kata beliau, tidak sewajarnya berdebat secara terbuka kerana akhirnya tidak membawa apa-apa faedah bahkan semakin menambahkan tanda tanya dan kekusutan kepada rakyat.

Berunding adalah cara terbaik dan ia dilakukan dengan penuh keikhlasan demi penyatuan ummah, orang Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Tidak boleh ada agenda tersembunyi seperti ‘kawan makan kawan’ atau wujudkan persepsi ‘siapa akan makan siapa’, semua itu tidak menguntungkan mana-mana parti dalam MN dan PN.

Semua parti perlu menerima hakikatnya, tidak ada parti yang boleh berjuang sendirian menentang Pakatan Harapan, kecualilah kalau parti itu bersedia untuk menjadi pembangkang dan memberi laluan kepada pakatan tersebut kembali berkuasa.

Namun janganlah pula, ia dijadikan alasan untuk memperkotak-kotikkan atau melayan mana-mana parti seperti ‘ melukut di tepi gantang’ seperti mana ditegaskan oleh Dr.Ahmad Zahid baru-baru ini.

Apapun permuafakatan antara parti-parti yang hanya boleh dicapai jika ada keikhlasan dan kejujuran untuk bergabung dengan misi sama iaitu memperkukuhkan kuasa politik Melayu, mensejahterakan rakyat Malaysia dan memastikan Pakatan Harapan tidak berkuasa semula.

Justeru jangan biarkan persepsi atau igauan ‘siapa akan makan siapa ’ memusnahkan MN dan menghancurkan PN. Bermusyawarah dengan sebaik-baiknya.

Advertisements

Terkini

MasChain perkenal ekosistem teknologi ‘blockchain’ di Malaysia

SYARIKAT pakar teknologi blockchain, Masverse Sdn. Bhd. melancarkan MasChain, platform transformatif yang direka untuk merevolusikan ekosistem digital bagi kerajaan,...

Lagi Artikel Berkaitan