31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Nenek sensasi India punya jutaan pengikut YouTube

Mesti Baca

MUMBAI – Mungkin benarlah kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Seorang nenek di India berjaya mencipta kemayshuran melalui YouTube  selepas muncul sebagai bintang dalam rancangan My Village Show, saluran YouTube yang kini mempunyai lebih 1.6 juta pengikut.

Malah pembabitan Gangavva Milkuri dari sebuah kampung kecil, Lambadipally di Telangana, selatan India dalam saluran YouTube itu menyaksikan dia kini mempunyai pendapatan tetap, mampu membayar semua hutang dan berharap dapat membina rumahnya sendiri pada masa depan.

“Saya suka berada di depan kamera, saya suka berlakon. Saya gembira mengetahui ramai orang dari seluruh India melihat video yang kami hasilkan.

“Sekarang saya juga banyak berswafoto dengan penduduk kampung, saya rasa mungkin orang suka cara saya bercakap,” kata nenek kepada lapan cucu itu.

Gangavva Milkuri juga mempunyai lebih 45,000 pengikut dalam Instagramnya. – Foto CNN

Warga emas itu sebenarnya seorang yang buta huruf malah dia sendiri tidak tahu umur sebetulnya.

Malah, Gangavva sebenarnya sebelum ini langsung tidak tahu apa itu YouTube sehinggalah menantunya menunjukkan medium tersebut kepadanya.

Saluran My Village Show dimulakan menantunya, Srikanth Sriram, seorang pembuat filem. Sembilan orang termasuk penulis, editor, jurukamera merakam video lucu tentang budaya di kampung dan kisah keluarga luar bandar.

“Dia (Srikanth) sebelum ini merakam video pokok dan tanaman di kampung. Saya dulu selalu terfikir, mengapa dia bazirkan masa hasilkan video sebegitu.

“Masa itu saya tidak pernah terfikir yang satu hari nanti saya akan berlakon dalam videonya,” kata Gangavva sebagaimana lapor CNN.

Kehidupan Gangavva Milkuri berubah sekelip mata selepas muncul dalam ‘The Village Show’. – Foto CNN

Menurut Srikanth, ibu mertuanya itu benar-benar bersahaja ketika berada di depan kamera.

“Disebabkan dia tidak pandai membaca, krew perlu menerangkan setiap skrip kepadanya. Namun bila mula berlakon, segalanya nampak semulajadi dan menjadi,” ujarnya.

Sebelum menjadi bintang YouTube, hidup Gangavva tidak semudah disangka ramai orang. 

Oleh kerana tidak mendapat pendidikan sewajarnya, dia melakukan kerja-kerja ladang dan menggulung rokok untuk menampung kehidupan.

“Suami saya ketagih arak. Saya terpaksa pikul semua tanggungjawab dan sediakan kelengkapan buat tiga anak saya,” katanya.

Bagaimanapun kepayahan dilalui Gangavva berakhir setelah dia menjadi bintang My Village Show yang berjaya menarik lebih daripada 265 juta pengguna aktif saban bulan.

Dengan memaparkan kisah kehidupan di kampung, dari kisah sambutan Deepavali sehinggalah masalah internet, My Village Show berjaya menghiburkan hati ramai penonton.

Kemuncaknya, pada 2019, saluran itu mendapat plak emas daripada YouTube selepas berjaya mendapat satu juta pengikut.

Bukan setakat itu,pengaruh Gangavva dalam video tersebut sangat kuat dan pada masa ini, warga emas itu turut mempunyai akaun Instagram yang diikuti lebih 45,000 pengikut. – Agensi

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan