SELEPAS mengesahkan perlawanan persahabatan dengan New Zealand pada bulan depan, skuad Harimau Malaya disahkan akan bertandang ke India bagi bertemu pasukan negara itu November ini.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata, perlawanan antarabangsa Tier 1 itu akan berlangsung pada 19 November iaitu dalam Kalendar Antarabangsa FIFA.
Bagaimanapun, gelanggang dan waktu sepak mula perlawanan akan dimaklumkan selepas dimuktamadkan oleh Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF).
India pada masa kini berada di ranking 126 dunia, enam anak tangga di atas skuad Harimau Malaya yang menghuni tangga ke-132 dunia.
“Perlawanan tersebut bakal berlangsung dalam Kalendar Antarabangsa FIFA, 11 hingga 19 November 2024 yang mana FAM juga pada ketika ini masih sedang mengesahkan satu lagi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang satu lagi pasukan lain dalam tempoh berkenaan,” kata FAM dalam satu kenyataan hari ini.
Kali terakhir Malaysia bertemu India pada 13 Oktober tahun lalu dalam kejohanan Pestabola Merdeka yang mana skuad Harimau Malaya yang ketika itu dibimbing Kim Pan Gon mencatat kemenangan 4-2 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Malaysia juga pernah bertandang ke India bagi siri dua perlawanan persahabatan menentang negara itu pada 2011 di bawah kendalian Datuk K. Rajagopal.
Dalam dua perlawanan tersebut skuad Harimau mencatat satu keputusan seri dan satu kekalahan.
Sebelum ini skuad All White, New Zealand mengesahkan sedia melayani kunjungan Harimau Malaya untuk aksi persahabatan pada 14 Oktober ini.
Ini merupakan kali pertama kedua-dua pasukan akan bertemu selepas kali terakhir 18 tahun lalu.
Perlawanan antarabangsa Tier 1 menentang pasukan ranking ke-94 dunia itu akan berlangsung di Stadium North Harbour, Auchland.
Malaysia dalam persiapan untuk mengharungi kelayakan Piala Asia 2027 pusingan ketiga Mac tahun depan. – Edisi 9