26.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, October 12, 2024

Lapor polis lawatan BN ke China, Puad anggap Bersatu ‘bengap’

Mesti Baca

SPEAKER Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Mohd Puad Zarkashi menangkis dakwaan bahawa UMNO telah diresapi dengan fahaman komunis ekoran kunjungan beliau dan delegasi Barisan Nasional (BN) ke China beberapa hari lalu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, tuduhan bahawa parti itu diresapi fahaman komunis dan menuduh beliau mungkin menyebarkannya di Dewan Johor amat melampau.

Beliau menjelaskan, kunjungi delegasi BN ke negara itu adalah atas jemputan China dan ia berlangsung saban tahun termasuk ketika para pemimpin Perikatan Nasional (PN) dalam UMNO.

“Delegasi BN dijemput khas ke China sudah berlangsung saban tahun hatta semasa Muhyiddin (Yassin) dan Hamzah (Zainuddin) dalam UMNO. Buktikan siapa yang sudah jadi komunis?

“Masalah Bersatu ialah mereka ramai balaci tidak berilmu. Cakap hentam kromo macam Chegu Bard. Sampai Dr Sahruddin Jamal (Pengerusi PN Johor) terikut-ikut,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Beliau mengulas laporan polis yang dibuat PN Johor terhadap beliau yang membawa pemimpin BN ke China untuk lawatan sambil belajar.

Dr Sahruddin berkata, gabungan itu bimbang bahawa fahaman komunisme akan menular di kalangan ahli UMNO dan juga di DUN Johor memandangkan Puad merupakan speaker.

Membidas dakwaan tersebut, Puad berkata, para pengikut Bersatu mungkin tidak mengetahui bahawa di China terdapat ribuan sekolah politik termasuk di majlis perbandaran dan ada yang dilengkapi dengan hotel lima bintang.

Menjelaskan perkara itu, Puad berkata, kebanyakan persidangan dan juga perbincangan dibuat di bilik kuliah di sekolah politik tersebut.

Advertisements

“Bukan kita belajar ideologi komunis. Tajuk dibincangkan ialah permodenan China, cara China melatih dan memilih pemimpin dan celik media sosial.

“Memang banyak boleh ditiru dengan pengubahsuaian. Maksud saya ialah mempelajari teknik perkaderan tapi bukan ideologinya.

“Bahkan semasa lawatan ke Universiti Tsinghua (16 terbaik di dunia) dan Huawi, kita kagum teknologi AI (kecerdasan buatan), EV (kenderaan elektrik) dan teknologi Autonomous Driving (pemanduan automasi) yang dibangunkan di kota Shenzen. Tidak ada sekelumit pun kelas ideologi komunis,” jelas beliau.

Namun Puad melahirkan rasa hairan apabila PN membisu ketika Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menghadiri satu persidangan di Iran ketika negara itu menyerang Aleppo Syria.

“Hatta lawatan Hadi itu dikritik oleh Dr Yusof Al Qardawi dari Majlis Ulama Sedunia. Apakah Hadi wajar dituduh pro-Syiah?

“Muhyiddin dua kali ke Beijing. April 2011 dan November 2014. Mana mungkin setakat mendengar taklimat kejayaan ekonomi China sudah layak dituduh menerima ideologi komunis,” tegas beliau.

“Inilah masalah mereka yang masuk Bersatu. Mereka lupa Bersatu itu juga sekolah politik. Mereka di indoktrinasi jadi “bengap” bila masuk Bersatu.

“Termasuklah bekas MB Johor, Dr Sahruddin Jamal. Patutlah dia boleh jadi MB untuk 10 bulan sahaja. Dia pula buat tuduhan berat. Dia tuduh saya akan sebarkan ajaran komunis di Dewan Johor. Dengan kata lain saya sudah jadi komunis,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

95,000 syarikat di bawah HRD Corp bakal latih pelajar IPMA

SEBANYAK 95,000 syarikat yang bernaung di bawah HRD Corporation (HRDC) sedia menanti para pelajar latihan dalam industri daripada institusi...

Lagi Artikel Berkaitan