SLIM RIVER – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyifatkan insiden beberapa pengundi tidak dibenarkan memasuki pusat mengundi kerana berseluar pendek pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, hari ini sebagai salah faham.
Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya tidak menetapkan larangan berhubung perkara berkenaan.

Namun beliau menegaskan, hanya individu yang memakai pakaian menjolok mata dan memaparkan lambang parti sahaja tidak dibenarkan memasuki pusat pengundian.
“Bagi saya, pakai seluar pendek ini masih boleh kita benarkan.
“Maknanya ini ada sedikit salah faham. Jadi, kita harap pengundi boleh datang semula untuk mengundi. Jangan merajuk pula ya,” katanya, hari ini.
Dalam kejadian di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Aminudin Baki, di sini beberapa pengundi tidak dibenarkan mengundi kerana memakai seluar pendek.
Insiden tersebut menimbulkan kekecohan selepas pengundi mendakwa etika pemakaian seperti itu bukan satu kesalahan sebelum ini.
Beberapa individu dilihat mengoyak kad maklumat pengundi SPR kerana berang dengan larangan itu.
Mengulas mengenai proses pengundian, Abdul Ghani setakat ini berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Pusat Mengundi.
“Begitu juga dari segi keselamatan sebagaimana yang kita sedia maklum, kita masih di musim PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan saya berharap kepada semua pengundi mesti memakai pelitup muka yang ada dan juga sentiasa menjaga keselamatan diri,” katanya.
Setakat pukul 11 pagi, Abdul Ghani memaklumkan peratusan keluar mengundi adalah 29 peratus.
Justeru, beliau menyeru pengundi-pengundi muda untuk keluar menjalankan tanggungjawab mereka sebelum proses pengundian tamat pada pukul 5.30 petang ini.
Terdahulu, 12 pusat mengundi membabitkan 54 saluran dibuka pada pukul 8 pagi.