BEIRUT – Sekurang-kurangnya 100 orang maut manakala lebih 4000 lagi cedera apabila dua letupan besar menggegarkan ibu negara Lebanon mengakibatkan gelombang letupan dirasai di seluruh bandar yang memecahkan tingkap, merosakkan pintu dan menggoncang bangunan.
Pasukan penyelamat dilapor sedang giat mencari lebih 100 orang penduduk dilaporkan hilang dalam kejadian yang didakwa Presiden Michel Aoun berpunca daripada gudang menyimpan sebanyak 2,750 tan ammonium nitrat.
The Guardian melaporkan, ratusan rumah tidak dapat didiami lagi apabila letupan besar itu meranapkan sebahagian kawasan pelabuhan di ibu negara berkenaan ketika penduduk menyifatkan ledakan itu seperti bom nuklear.
Ribuan penduduk terpaksa mendapatkan rawatan di hospital berhampiran yang bergelut dengan peningkatan jumlah kemasukan pesakit di premis itu.
Kereta penduduk pula dilaporkan tercampak di lebuh raya berhampiran, kesan letupan itu yang dapat didengar sejauh 80 kilometer dari utara negara ini.
Menteri Kesihatan, Hamad Hassan mengesahkan sekurang-kurangnya 70 orang terbunuh dengan lebih 4,000 lagi cedera.
“Tuhan lindungi kami daripada semua bencana ini.
“Jika ini kemalangan seperti yang didakwa, ia adalah jauh lebih buruk daripada yang anda fikirkan. Ia seperti bom nuklear, apa yang telah kami buat untuk menanggungnya,” kata seorang penduduk, Mamdouh, 25.
Beberapa jam selepas letupan kira-kira pukul 6.05 petang yang puncanya masih tidak diketahui, Israel menafikan mereka bertanggungjawab dan sebaliknya menawarkan bantuan kemanusiaan dan perubatan.
Media tempatan melaporkan, sebanyak 2,700 tan bahan kimia meletup mengakibatkan bau aneh di kawasan industri pelabuhan memaksa pegawai kerajaan meminta penduduk menjauhi kawasan berkenaan bimbang penularan toksid.
Laporan awal mengandaikan gudang bunga api di pelabuhan sebagai punca letupan namun disangkal Ketua Keselamatan Lebanon, Abbas Ibrahim yang menyalahkan simpanan bahan kimia di sebuah gudang sebagai punca letupan.
Menteri Dalam Negeri, Mohammed Fahmi berkata, ammonium nitrat merupakan antara bahan yang disimpan dan meminta siasatan dibuat bagi menyiasat bagaimana ia boleh meledak.
“Dakwaan bunga api sebagai punca adalah mengarut.Tiada bunga api melainkan bahan mudah meledak dan saya tidak boleh mendahului siasatan.
“Letupan itu nampaknya berlaku dari sebuah gudang bahan mudah meletup yang disita kerajaan beberapa tahun dahulu,” kata Abbas.
Sementara itu, Perdana Menteri Lebanon, Hassan Diab mengumumkan Rabu sebagai hari berkabung seluruh negara dan berikrar membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Beliau mendakwa amaran pernah dikeluarkan tentang bahan berbahaya yang disimpan di pelabuhan itu pada 2014.
Letupan itu cukup kuat sehingga merosakkan bangunan di barat dan Selatan Beirut, malah terdapat laporan bunyi letupan dapat didengar di Cyprus, 200 kilometer dari Lebanon.
Ironinya, letupan itu berlaku tiga hari sebelum keputusan satu perbicaraan tribunal antarabangsa melibatkan empat lelaki yang didakwa membunuh bekas perdana menteri negara ini 15 tahun lalu.
Sebarang kaitan keputusan itu dengan letupan adalah dinafikan kerajaan.
Pelabuhan Beirut diketahui digunakan kumpulan pemberontak Hezbollah Yang menafikan kemudahan mereka terjejas dengan letupan itu.
Menurut pasukan Palang Merah, jumlah kematian dipercayai lebih banyak berbanding angka rasmi dikeluarkan buat masa ini selepas pasukan penyelamat memeriksa bangunan yang musnah dalam kejadian itu.
Seorang doktor di Hospital St George, kurang dua kilometer dari lokasi letupan berkata, mangsa yang cedera dihantar ke premis itu bagi mendapatkan rawatan namun hospital itu telah musnah.
“Mereka membawa orang ramai yang cedera ke hospital namun kami tidak dapat menerima mereka.
“Pesakit diberikan rawatan di jalan raya, hospital telah rosak dan bahagian kecemasan musnah,” katanya.
Rakaman video oleh saksi di media sosial menunjukkan letupan pada skala lebih kecil disusuli ledakan berlaku di gudang itu sebelum letupan kedua lebih besar yang mengangkat kereta daripada lebuh raya berhampiran serta merosakkan kemudahan berkenaan. – Agensi