31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

UMNO, BN ‘tunjuk taring’ bila tiba masanya – Ahmad Zahid

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

MUKADIMAH:

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengambil alih jawatan Presiden UMNO ketika parti itu dan Barisan Nasional tidak lagi menggenggam kuasa yang dimiliki sejak 61 tahun lalu.

Dalam wawancara secara langsung melalui Facebook SUARA.TV, beliau bercakap secara terbuka berhubung usahanya memulihkan sokongan kepada parti keramat orang Melayu itu dan membina semula kekuatan Barisan Nasional (BN).

Ahmad Zahid juga memaparkan bagaimana usaha beliau menjalinkan kerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional dan kenapa UMNO bekerjasama dalam Perikatan Nasional. Turut disentuh berhubung pertuduhan di mahkamah yang dihadapi oleh beliau. Ikuti BAHAGIAN PERTAMA wawancara berkenaan.

  • Kekalahan PRU-18 titik hitam, satu pengajaran

Alhamdulillah, kekalahan yang menerjah UMNO dan Barisan Nasional  pada 9 Mei 2018 adalah satu pengajaran yang cukup mahal kepada UMNO dan Barisan Nasional dan rakyat Malaysia keseluruhannya. Inilah erti demokrasi di mana sesuatu yang lama itu pasti akan berakhir dan sesuatu yang baru tetap akan menjadi lama.

Oleh kerana itu keelemenan sesuatu  produk, perkhidmatan apatah lagi sebuah parti politik pasti akan sampai ke peringkat di mana berlaku proses declining. Saya menganggap declining proses itu telah berjalan dan keputusan yang telah diperolehi untuk PRU-14 adalah satu petanda bahawa proses untuk menghidupkan semula Barisan Nasional dan UMNO harus bermula daripada tarikh berkenaan.

Ahmad Zahid ketika diwawancara oleh SUARA.TV.

Biarpun UMNO dan BN berjiwa besar dan berlapang dada, namun kita tanamkan azam bahawa sesuatu yang drastik mesti dilakukan dalam keadaan luar biasa, keluarbiasaan norma aktiviti set minda dan tindakan mesti dilakukan segera.

Bagi saya, tarikh itu adalah tarikh yang merupakan titik hitam, namun titik hitam itu harus dicerahkan semula dengan mengambil tindakan yang di luar daripada kepompong dan rasa melankolik atau kesedihan, jangan bersedih.

Dalam situsi itulah, saya menerima baik apabila Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan tugas kepemimpinan UMNO dan Barisan Nasional kepada saya. Saya  fikir ini adalah satu tanggungjawab dan ia adalah amanah. Saya merasakan apa yang telah dilakukan oleh Datuk Seri Najib adalah satu perubahan yang cukup baik, yang meliputi semua golongan lapisan. Walaupun kita tahu usaha telah dilakukan, namun Datuk Seri Najib ketika itu dijadikan sebagai centre of gravity’ –  ertinya semua tumpuan dihalakan kepada beliau.

Maka berlakulah teori domino, di mana apabila papan yang dihadapan jatuh, mereka mengharapkan papan kedua dan selanjutnya jatuh, namun sebagai papan yang kedua ketika itu, saya memainkan peranan bahawa teori domino ini mesti ditangkis dan UMNO dan Barisan Nasional perlu bangkit kembali.

  • ‘Menghidupkan’ wasiat Allahyarham Haron Din, satukan pemikiran UMNO,Pas

Kekalahan yang dialami oleh UMNO dan Barisan Nasioal tentunya dianalisis oleh penganalisis politik kerana berlakunya perpecahan dalam kalangan orang Melayu dan bumiputera khususnya umat Islam. Apabila pertandingan tiga penjuru tidak dapat dielakkan, harga yang mahal terpaksa dibayar ketika itu. 

Tindakan yang dilakukan ialah saya harus menyusur akal dan saya mula menghidupkan kembali wasiat Allahyarham Profesor Datuk Dr. Haron Din supaya UMNO dan Pas disatukan dari segi pemikiran.

 Langkah itu telah saya lakukan dengan menterjemahkan beberapa tindakan politik dan tindakan ukhuwah di mana saya merasakan permusuhan selama lebih enam dekad atau 60 tahun harus diselesaikan kerana ia amat merugikan ummah. 

Dalam hal ini saya mengambil pendekatan engagemen’ iaitu dengan menghadiri beberapa majlis yang dianjurkan bersama oleh UMNO dan Pas. Majlis pertama ialah pada  4 Disember 2017 apabila UMNO dan Pas dan ummah keseluruhannya menghadapi isu Rohingya. Ketika itu sehari selepas Perhimpunan Agung UMNO.

Pas menyambut huluran tangan kami untuk bersama-sama berada di Stadium Titiwangsa untuk memperjuangkan nasib masyarakat Rohingya. Biarpun masalah Rohingya ini adalah masalah antarabangsa tetapi demi ummah ketika merasakan bahawa kita harus bersatu fikrah, harus bersatu pemikiran.

Lantas chemistry ini diwujudkan dan langkah-langkah susulan dilakukan selepas saya diberikan mandat untuk memimpin UMNO dan Barisan Nasional. Langkah lanjut dilakukan apabila ICERD sebagai satu ancaman baru kepada ummah telah dipersetujukan dengan menandatangani kepada persetujuan ICERD dan Statut Rome, oleh demikian kita merasakan ummah tercabar, maka penyatuan ummah harus dilakukan.

Terhasillah satu perhimpunan penyatuan ummah dengan penandatanganan piagam Muafakat Nasional pada 14 September 2019, maka bermulalah secara rasmi apabila memorandum persefahaman atau perjanjian persefahaman ditandatangani oleh dua parti terbesar di negara kita iaitu UMNO dan Pas dalam Himpunan Penyatuan Ummah ini.

Biarpun Muafakat Nasional adalah coalition atau gabungan longgar dua parti politik ini, tetapi yang penting ialah bagaimana roh penyatuan ummah ini harus diterjemahkan dengan semangat bukan di atas kertas, (tetapi) semangat yang harus ditanam ke atas setiap ahli  UMNO dan Pas serta kepemimpinan UMNO dan Pas malah didokong oleh rakan-rakan dalam Barisan Nasional.

  • UMNO, BN tidak hilang taring apabila sertai Perikatan Nasional
Ahmad Zahid Hamidi bersama Najib Tun Razak ketika Pilihan Raya Kecil
Dewan Undangan Negeri Kawasan Chini, baru-baru ini.

Kita tidak pernah kehilangan taring tetapi kita tidak pernah memperlihatkan taring, kita juga mempunyai kuku tetapi kuku kita tidak diasah, kita simpan kuku. Saya tidak mahu cakap lebih daripada itu, tunggu ketikanya apabila taring kita perlihatkan dan apabila kuku tajam, kita juga perlihatkan.

Saya ingin memperjelaskan bahawa terdapat beberapa tahap dan proses yang harus difahami oleh khalayak terutamanya ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi. 

Pertamanya, kita harus memperkukuhkan UMNO. Tahap kedua, kita harus memperkukuhkan Barisan Nasional dan anggota-anggota di dalamnya. Ketiga, kita telah bersetuju untuk menubuhkan Muafakat Nasional dan bersama-sama dengan Pas, UMNO dan Barisan Nasional, maka kita harus memperkukuhkan Muafakat Nasional.

Pada waktu sama kita berada di dalam Kerajaan Perikatan Nasional, dokongan  UMNO dan Barisan Nasional kepada Perikatan Nasional tidak berlandaskan kepada keanggotaan UMNO dan Barisan Nasional di dalam Perikatan Nasional. Sebaliknya hanya semata-mata berlandaskan kepada sokongan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional bagi membentuk Perikatan Nasional.

Kita harus ketahui, setakat ini Perikatan Nasional belum didaftarkan, begitu juga Muafakat Nasional belum didaftarkan, yang ada pada kita ialah UMNO sebagai pertubuhan politik yang berdaftar dan Barisan Nasional sebagai gabungan parti-parti politik yang berdaftar. 

Saya ingatkan diri saya dan semua,  bahawa Muafakat Nasional biarpun tidak berdaftar ia adalah gabungan secara spiritual ataupun coalition antara UMNO dan Barisan Nasional dengan Pas bagi membentuk  kesepakatan untuk menuju ke arah pembentukan Kerajaan Baru pada PRU-15 nanti.

Namun pegangan kita, kita mesti mengelakkan pertandingan tiga penjuru. Kita mesti mencari jalan, bukan hanya UMNO, BN dan Pas tetapi juga dengan parti-parti lain supaya hanya pertandingan dua penjuru sahaja. Kita mempunyai pengalaman, jika ada pertandingan tiga penjuru, maka keputusannya kita ‘menuju  ke laut’.

Untuk mengelakkan keadaan itulah, maka kita harus memperkukuhkan UMNO, Barisan Nasional dan Muafakat Nasional di samping kita mendokong Kerajaan Perikatan Nasional melalui dokongan ahli-ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional dan parti-parti yang lain.

  • Jangan layan titik perbezaan, utamakan titik persamaan

Sebenarnya perkara itu tinggal sejarah. Kebanyakan isu telah diselesaikan. Marah dan rasa keliru timbul kerana tidak ada penjelasan yang dilakukan oleh kumpulan yang saya harapkan melakukan penjelasan, tetapi kini saya melakukan engagement sendiri bukan sahaja di peringkat nasional, negeri tetapi juga peringkat bahagian-bahagian.

Ini perlu dilakukan supaya mereka mendapat maklumat secara langsung daripada saya sendiri dan inilah telah saya lakukan inshaallah semua peringkat pimpinan di peringkat bahagian-bahagian telah mendengar penjelasan daripada saya, inshaallah masalah ini akan selesai, walaupun tidak seratus peratus tetapi sebahagian besarnya akan berakhir dengan noktah pemahaman.

Namun saya minta penyatuan, perpaduan dan juga kekuatan bersama harus dibina semula dalam kalangan kepemimpinan UMNO, BN di semua peringkat apatah lagi rakan baru kita dalam Pas sedangkan bersama-sama dengan kita.

Saya harap, saya ulang, saya harap…memang ada perbezaaan tetapi jangan layani titik perbezaan, jika ia dilayani tidak akan pernah ada titik persamaan, oleh sebab itu utamakan titik persamaan dan jauhkan daripada titik-titik perbezaan dalam kalangan kita supaya kekuatan baru akan dapat kita bina inshaallah.

  • Rapatkan saf bina semangat baru

Mari kita berpadu semula mari kita rapatkan saf mari kita satu fikrah atau pemikiran kita, kita wujudkan norma baru kita, kita bina semangat baru kita inshaallah UMNO akan kembali gemilang  bersama-sama saya untuk mencari dan untuk menjulang kegemilangan ini dengan bekerja penuh keikhlasan agar UMNO berada di kemuncak semula.

  • Bahagian Akhir ESOK – “Saya ‘dimangsakan’ oleh dendam kesumat seseorang”

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan