25.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, December 5, 2024

Syaitan guna media hilangkan jati diri umat Islam – Abdul Hadi

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Umat Islam pada zaman yang canggih ini diminta supaya berwaspada kerana wujud golongan syaitan yang menggunakan media, tentera upahan dan sukarelawan untuk menyebarkan maklumat dan tulisan yang menarik.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagaimanapun berkata, golongan itu menyesatkan akal sehingga menghilangkan jati diri umat Islam.

Yang pertama menurutnya, ada sebahagian yang mendedahkan diri sendiri, bahkan ada yang menentang Islam secara terbuka seperti mempersendakan hukum Islam yang mereka fikirkan bodoh dan tidak bertamadun.

Sehingga perbuatan mereka itu menunjukkan diri mereka sendiri paling tidak bertamadun di rimba.

“Kedua, ada juga kalangan mereka yang berpura-pura menyokong Islam secara provokasi, supaya dilaksanakan syariat Islam tanpa ada sifat bertafaqquh.

“Sedangkan mereka jugalah yang menjadi penghalang dan bersekongkol dengan musuh Islam kerana mahukan kemenangan dunia yang segera tanpa mempedulikan wawasan akhirat,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam kolum Minda Presiden yang disiarkan Harakahdaily menerusi tajuk, ‘Awas! Ini zaman yang mengelirukan’.

Abdul Hadi menjelaskan, antara perkara yang paling besar dalam Islam ialah urusan politik yang merupakan sebahagian daripada ilmu feqah, diberikan peranan kepada manusia menguruskannya mengikut ketetapan Allah S.W.T.

Malangnya ujar beliau, ramai di kalangan umat Islam terpengaruh dengan ajaran bukan Islam yang memisahkan politik daripada urusan agama, sehingga mengakibatkan munculnya orang-orang yang jahil terhadap agama.

Advertisements

“Lalu mereka itu bercakap dan menulis perkara melibatkan urusan politik menggunakan akal semata-mata tanpa merujuk kepada ilmu Islam yang pada akhirnya Islam sebuah agama yang indah dirosakkan.

“Apatah lagi pada zaman wujud kebebasan media, terdapat musuh Islam yang sanggup berbelanja besar menggunakannya sebagai alat bertujuan menyebarkan kekeliruan dan kesesatan, termasuklah untuk meragukan orang ramai terhadap Islam dan perjuangannya yang sebenar.

“Ramai di kalangan penganut Islam yang hanya berfikir untuk mencari makan dan menjadi khadam mereka, semata-mata untuk mendapatkan imbuhan.

“Pada masa yang sama, mereka tidak menyedari bahawa pemikiran yang disebarkan itu sebenarnya menempah dosa yang berpanjangan sehingga meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, umat Islam disuruh agar memohon petunjuk ke jalan yang benar dengan mengikuti ajaran para nabi, orang-orang yang siddiq (benar kepercayaan dan amal), para syuhada’ (pejuang yang terbukti sehingga akhir hayat tidak menyeleweng dalam mengharungi perjalanan hidup) dan orang-orang yang soleh.

Menurutnya, umat Islam juga tidak ingin mengikuti jalan orang yang dimurkai oleh Allah kerana mereka itu daripada kalangan orang yang berilmu tetapi tidak beramal dengan ilmunya, bahkan menyesatkan orang lain.

“Selain itu, kita memohon kepada Allah dijauhkan daripada jalan orang-orang yang sesat tanpa ilmu dan pengetahuan.

“Lebih malang mereka di kalangan yang jahil murakkab sebagaimana ditakrifkan oleh Imam al-Ghazali iaitu mereka yang tidak tahu atau tidak sedar diri jahil masing-masing dan juga bersifat takabbur,” katanya.

Advertisements

Terkini

Kebaya diiktiraf warisan kebudayaan tidak ketara UNESCO

MALAYSIA berjaya mendapat pengiktirafan untuk satu lagi elemen warisan kebudayaan tidak ketara iaitu kebaya sempena sesi ke-19 Intergovernmental Committee...

Lagi Artikel Berkaitan