Thursday, June 4, 2026

Ajak bekerjasama: Hadi tak ikhlas, mahu pecah-belah UMNO

Mesti Baca

PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak ikhlas untuk bekerjasama semula dengan UMNO, sebaliknya cuba memecah-belahkan parti itu yang semakin hari semakin kembali kuat.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jika Abdul Hadi benar-benar ikhlas, beliau sudah tentu tidak akan mengenepikan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO.

Beliau berkata, UMNO masih mempunyai ketua dan jika Pas berhasrat untuk mengadakan sebarang bentuk kerjasama mereka perlu berbincang dan berunding dengan Ahmad Zahid.

“Bagi saya kenyataan Tan Sri Abdul Hadi itu tidak ikhlas serta hanya mementingkan parti mereka sahaja dan saya tidak nampak cadangan kerjasama ini dibuat atas dasar kepentingan Melayu dan Islam.

“Jika Abdul Hadi ikhlas kenapa hendak ketepikan Presiden kami. Adakah Abdul Hadi cuba memecahbelahkan UMNO yang semakin hari semakin kukuh.

“UMNO ada ketuanya yang memimpin dan jika Pas berhasrat untuk mengadakan sebarang bentuk kerjasama, seharusnya perlu berbincang dan berunding dengan Presiden kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Hadi, dalam sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Tahunan Pas Ke-70 di Temerloh semalam dilaporkan berkata, Pas akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan UMNO kecuali Ahmad Zahid dalam usaha menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk kedua-dua parti itu pada 14 September 2019.

Menegaskan perkara itu, Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata, UMNO meletakkan institusi Presiden yang mengetuai parti untuk menentukan arah tuju parti.

“Saya melihat Presiden UMNO berpijak tidak berkisar, bercakap tidak beralih, berani menahan uji, setia tahan dicuba dan taat tahan dilipat,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, UMNO sentiasa terbuka untuk mengadakan sebarang bentuk kerjasama dengan mana-mana pihak termasuklah Pas.

“Cuma kalau Pas benar-benar hendak kembali untuk bekerjasama, kita boleh berunding tetapi dengan syarat tidak melibatkan Tan Sri Abdul Hadi.

“Pas jangan masa terdesak sahaja hendak mencari UMNO, hakikatnya sewaktu Muafakat Nasional berlangsung, Pas tidak ikhlas pun untuk bersama UMNO.

“Oleh itu, sebagai Naib Presiden UMNO, saya tidak berminat untuk membuat sebarang perundingan yang membelakangkan ketua saya serta melaga-lagakan ahli-ahli UMNO,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan