34.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Muafakat Nasional terbentuk hasil inisiatif peribadi Ahmad Zahid

Mesti Baca


KUALA LUMPUR – Ahli-ahli UMNO tidak seharusnya melupakan pengorbanan yang dilakukan oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi sehingga terbentuknya Muafakat Nasional (MN) yang mewujudkan kerjasama politik antara UMNO dan Pas.

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, dalam sejarah politik UMNO, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk merupakan pemimpin kedua selepas Tun Abdul Razak Hussein yang berjaya membawa Pas ke meja perundingan pada tahun 1974.

“Kejayaan Ahmad Zahid itu bukan kerana beliau Presiden UMNO tetapi atas inisiatif peribadi dalam usaha menggabungkan dua parti terbesar orang Melayu itu,” katanya di sini, hari ini.

UMNO dan Pas mengisytiharkan pembentukan Muafakat Nasional yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk pada 14 September 2019.

Piagam berkenaan ditandatangani oleh Dr. Ahmad Zahid dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sejurus selesai ucapan kedua-dua presiden parti berkenaan dalam Himpunan Penyatuan Ummah di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Pembentukan kerjasama itu dianggap sejarah kerana ia menggabungkan kembali dua parti terbesar orang Melayu itu selepas ia kali pertama berlaku pada tahun 1974 tetapi berakhir pada 1978.

Ketika berucap di Perhimpunan Agung UMNO pada Disember tahun lalu, Ahmad Zahid berkata, Muafakat Nasional adalah tawaran baharu kepada rakyat.

Kata Ahmad Zahid, ia bakal mencetuskan sejuta potensi yang belum pernah terfikir sebelum ini serta menegaskan, melalui piagam itu, impian untuk melihat penyatuan orang Melayu telah tercapai tanpa mengenepikan bangsa lain.

Advertisements

Nur Jazlan seterusnya berkata, Ahmad Zahid berjaya berbuat demikian hasil hubungan baik dengan pemimpin Pas sejak sekian lama.

“Pembentukan Muafakat Nasional ini akan menjadi asas kepada UMNO untuk kembali semula memimpin negara ini. Saya percaya kalau tidak ada Muafakat Nasional, kita tidak akan mendapat jumlah yang cukup untuk memimpin negara.

“Oleh itu saya berharap rakyat khususnya ahli UMNO akan mengiktiraf perjuangan Ahmad Zahid ini,” kata beliau.

Mengenai pilihan raya, Nur Jazlan yang juga bekas Ahli Parlimen Pulai berkata, sama ada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan awal atau lambat, Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai harapan untuk menang berikutan kemelut dalaman mereka.

“Mereka kini berpecah. Dalam PRU-14, mereka bersatu di bawah Tun Dr.Mahathir Mohamad tetapi sekarang Dr.Mahathir pun sudah membawa haluan sendiri, begitu juga dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP,” katanya.

Kemelut dalam PH yang dianggotai oleh PKR, DAP dan Amanah berlaku berikutan pencalonan jawatan Perdana Menteri jika pakatan itu kembali memerintah.

Tiga parti tersebut kekal mencalonkan Anwar menduduki jawatan berkenaan. Bagaimanapun ia tidak dipersetujui oleh Dr.Mahathir dan lima lagi bekas Ahli Parlimen Bersatu yang mengetuai blok bebas.

Dr.Mahathir mencalonkan Datuk Seri Mohd.Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri manakala Anwar dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri I dan II. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Sock Tao mampu tarik sokongan pengundi muda

PEMILIHAN Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao sebagai calon Kerajaan Perpaduan...

Lagi Artikel Berkaitan