31.1 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Peluang terbaik Mahathir, Ku Li satukan kembali orang Melayu

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9


“KALAU saya lebih baik cakap pasal perpaduan Melayu.” Itulah reaksi yang penulis terima daripada seorang pemerhati politik selepas beliau membaca kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li, semalam.

Dr. Mahathir yang sedang berkira-kira untuk menubuhkan parti baru jika keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 Ogos depan tidak memihak kepada pasukan beliau berhubung isu pembatalan keahlian mereka dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Tengku Razaleigh pula dalam wawancara dengan Utusan Malaysia menyentuh mengenai kemarahan dan kekecewaan akar umbi UMNO terhadap tindakan beberapa bekas pemimpin mereka yang melompat ke dalam Bersatu selepas kekalahan teruk UMNO dalam PRU-14 masih belum reda.

Beliau juga menyentuh soal pentingnya keikhlasan dalam soal kerjasama antara UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) serta Perikatan Nasional (PN) yang disertai oleh Bersatu.

Dr. Mahathir berusia 95 tahun manakala Tengku Razaleigh genap 83 tahun pada April lalu. Walaupun berada dalam platform politik berbeza kedua pemimpin ini berupaya untuk menyatukan orang Melayu dan mengembalikan kuasa politik kaum tersebut.

Dr. Mahathir tidak seharusnya meneruskan langkah yang terus boleh memecah-belahkan orang Melayu dengan menubuhkan sebuah lagi parti baharu.

Cukuplah sebelum ini beliau dianggap menjadi punca orang Melayu berpecah apabila berantakan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1997 sehingga terwujudnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada tahun 1998.

Malah bekas Perdana Menteri itu juga dianggap bertanggungjawab terlahirnya Parti Melayu Semangat (S46) pada tahun 1988 selepas pertarungan merebut jawatan Presiden UMNO pada tahun 1987 dengan Tengku Razaleigh. Dan seterusnya dilihat bertindak melemahkan kuasa politik Melayu apabila menubuhkan Bersatu.

Oleh itu sampai bilakah Dr. Mahathir mahu melihat orang Melayu berpecah belah kerana percaturan politik yang beliau lakukan. Orang Melayu sudah tenang apabila dua parti terbesar Melayu iaitu UMNO dan Pas bergabung dalam Muafakat Nasional (MN).

Kini mereka bertambah bersyukur apabila satu lagi parti Melayu turut bekerjasama dengan kedua-dua parti berkenaan dalam Perikatan Nasional (PN).

Seharusnya kerjasama ini sama ada dalam MN atau PN diperkukuhkan oleh semua pemimpin tidak kira dari parti mana sekalipun, bukannya dipecahkan dengan prasangka apatah lagi kebencian mahupun dendam politik.

Inilah adalah peluang terbaik untuk Dr.Mahathir menyatukan orang Melayu dan ia lebih terbuka kepada Tengku Razaleigh yang berada dalam UMNO.

Sebagai salah seorang tokoh dihormati, Tengku Razaleigh boleh menjadi ‘orang tengah’ atau perantaraan terbaik bagi memastikan ketiga-tiga parti Melayu tersebut kukuh dan tidak membuat kenyataan yang dilihat hanya akan mengelirukan dan mewujudkan prasangka ahli-ahli di peringkat akar umbi.

Penulis percaya Tengku Razaleigh sudah pasti tidak bermaksud sedemikian kerana beliau hanya memaparkan perasaan ahli akar umbi tetapi dalam politik pelbagai tafsiran boleh dibuat apabila sesuatu kenyataan itu keluar dari mulut seorang tokoh yang dihormati seperti beliau.

Kedudukan beliau sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO boleh menjadi platform untuk Tengku Razaleigh memastikan MN diperkukuhkan manakala PN diperkuatkan. Ia bukanlah untuk survival politik sesiapa tetapi demi mengembalikan kuasa politik orang Melayu.

Penulis percaya, Tengku Razaleigh ikhlas mahu melihat orang Melayu bersatu, jika pada tahun 1996 beliau sanggup membubarkan S46 demi perpaduan Melayu, sudah pasti sekarang beliau juga bersedia untuk berkorban dan berjuang bagi tujuan yang sama.

Sebagai seorang pemimpin Melayu, Dr. Mahathir juga bertanggungjawab untuk mengembalikan perpaduan orang Melayu dan bukannya terus melakukan tindakan yang akan memecah-belahkan kaum tersebut dan mempertahankan DAP.

Apa lagi yang Dr. Mahathir mahu perjuangkan dengan terus berada dalam blok pembangkang? Apakah semata-mata mahu menjadikan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri bagi mengelakkan Anwar menduduki jawatan tersebut?

Terimalah hakikat bahawa ia adalah perjuangan yang sia-sia. Dr. Mahathir tidak ada apa-apa kekuatan, hanya disokong oleh lima lagi bekas Ahli Parlimen Bersatu, kehadiran beliau diibaratkan, ‘ada pun tak untung, tak ada pun tak rugi’. Lebih baik, beliau mengakhiri politiknya dengan memastikan orang Melayu kembali bersatu.

Sekarang peluang sudah terbuka kerana tiga parti Melayu sudah bekerjasama dan ia hanya perlu diperkukuhkan sahaja. Janganlah terlalu membenci seseorang sehingga sanggup membiarkan orang Melayu berpecah belah sehingga akhir hayat.

Walaupun dilihat sudah terlewat tetapi ia bukanlah bermakna pintu sudah tertutup untuk Dr. Mahathir kembali merebut peluang terbaik atau mungkin yang terakhir untuk menyatukan orang Melayu.

Sebagai seorang yang sentiasa membaca tafsir al-Quran bekas Perdana Menteri itu pasti memahami firman Allah dalam surah Al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud:

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kami (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

Kesimpulannya, Dr. Mahathir dan Tengku Razaleigh boleh memainkan peranan bagi memperkukuhkan perpaduan orang Melayu yang diterokai oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sebagai sahabat lama, Tengku Razaleigh mungkin boleh memujuk Dr. Mahathir untuk menyokong perjuangan suci ketiga-tiga pemimpin tersebut demi perpaduan orang Melayu.

Misi ini mungkin nampak mustahil tetapi dalam politik segala-galanya berkemungkinan, apatah lagi Tengku Razaleigh cukup mengenali bekas Perdana Menteri itu berbanding orang lain.

Terkini

Pengawal keselamatan dituduh bunuh anak berusia 6 bulan

SEORANG pengawal keselamatan yang sebelum ini disyaki mendera bayinya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas...

Lagi Artikel Berkaitan