31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

‘Keberahian’ terhadap jawatan PM jatuhkan kerajaan PH – Hishamuddin Rais

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Sejarah politik tanah air menyaksikan bagaimana sikap ghairah pemimpin terhadap kerusi perdana menteri (PM) meruntuhkan sebuah kerajaan demokratik.

Memetik Free Malaysia Today, pemerhati politik Hishamuddin Rais berkata, segala impian, kepercayaan dan harapan untuk melaksanakan perubahan struktur pentadbiran runtuh berkecai selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 24 Februari lalu.

Beliau yang juga aktivis sosial berkata, ahli sejarah 100 tahun akan datang akan melihat kembali detik-detik pada 2020 yang dijanjikan sebagai ‘Tahun Malaysia Boleh’ sebagai komedi seram lagi menyedihkan – genre yang hanya lahir di Malaysia.

“Melihat bagaimana kemenangan rakyat pada 9 Mei 2018 diragut oleh keberahian virus PM, maka kita wajib belajar daripada kesilapan.

“Kita jangan lagi senang diperangkap oleh ‘sosok berjubah dan berwirid’, sosok yang penuh retorik dengan ‘topeng agama’.

“(Ini) kerana keruntuhan kerajaan PH sedang dibayar harganya dengan begitu mahal sekali. Kitalah anak semua bangsa, semua agama yang membayar keruntuhan ini,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pertubuhan Daya Masyarakat (DAYA) di sini, hari ini.

Majlis itu dilancarkan oleh Naib Presiden PKR Tian Chua yang juga merupakan Pengerusi DAYA.

Hishamuddin berkata, suasana politik pada hari ini amat berlainan dan semuanya telah berubah.

Tian Chua serta orang ramai yang menghadiri pelancaran DAYA di Kuala Lumpur hari ini. – Media sosial

“Awal tahun lalu, kita semua yang berada dalam dewan ini majoritinya adalah penyokong kerajaan PH.

“Pada 9 Mei 2018, kita semua menyambut kemenangan PH. Seluruh alam mengalu-alukan kejayaan kita. Dunia memberi penghormatan. Tak sudah-sudah kita tersenyum.

“Kini semua telah berubah kerana awal tahun ini kita dinodai oleh 2 virus – virus corona dan virus PM.

“Virus corona menjerut warga dunia, manakala virus PM menjerut nyawa PH, sekali gus membawa kepada kekalutan dan kekusutan politik Malaysia,” katanya merujuk kepada wabak Covid-19 yang melanda dunia dan polemik dalaman PH berhubung penggiliran jawatan perdana menteri antara Dr Mahathir Mohamad dengan presiden PKR Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Tian Chua berkata, Daya tidak ada kaitan dengan NGO yang sebelum ini ditubuhkan oleh bekas pemimpin PKR yang berpihak kepada Mohamed Azmin Ali.

Ketika ditanya apakah penubuhan NGO baru itu adalah sebahagian dari proses pembentukan sebuah parti politik baru, Tian Chua mengulangi bahawa spekulasi itu “terlalu jauh.”

“Saya tubuhkan (NGO) ini kerana kita ada falsafah sendiri yang telah kita sampaikan dalam ucapan.

“Bolehlah sesiapa nak bandingkan dgn NGO lain untuk lihat metodologi itu berbeza. Kita tak berkontradiksi dengan mana-mana pihak.

“Secara kebetulan mereka wujudkan pergerakan masing-masing. Bagi saya bukan bermaksud kita akan bersama untuk wujudkan platform politik baru,” katanya

Tian Chua, yang aktif bersama PKR sejak 1999 dan dikenali dengan penglibatannya dalam reformasi adalah penyokong kuat presiden parti itu.

Bagaimanapun sejak beberapa tahun lepas beliau dilihat lebih berpihak kepada Mohamed Azmin Ali, yang keluar PKR pada Februari lepas.

Beliau kini merupakan ahli PPBM dan dilantik sebagai menteri kanan merangkap menteri perdagangan antarabangsa dan industri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Sejak kejatuhan kerajaan PH pada Februari, PKR mengambil tindakan disiplin terhadap ramai pemimpin dan anggota parti yang dikaitkan dengan Azmin.

Tian Chua juga antara sebahagian pemimpin PKR yang berada dalam kem Azmin ketika pemilihan parti itu pada 2018. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan