JELAS dan nyata PRK Nenggiri 17 Ogos nanti bakal menyaksikan pertembungan dua anak muda mewakili UMNO/BN dan Pas/Bersatu/PN.
Kenapa aku tulis Pas/Bersatu sebab calonnya Rizwadi Ismail sebetulnya orang Pas yang “keluar” daripada parti itu dan khabarnya menyertai Bersatu hanya beberapa hari sebelum namanya diumumkan sebagai calon.
Kalau betullah apa yang didakwa, halus betul permainan Pas untuk pastikan kerusi milik Bersatu sebelum ini, diisi oleh orang mereka sampaikan Bersatu pun macam tak boleh buat apa-apa.
Patutlah lama benar mereka nak umum calon, rupanya ada permainan halus dibuat puak-puak Pas bagi menghalalkan orang mereka bertanding atas nama Bersatu di Nenggiri.
Betullah orang kata Bersatu di empat negeri taklukan PN termasuk Kelantan ini hanya sekadar jadi tukang ‘urut kaki’ bagi Pas semasa mereka sakit urat.
Sampaikan nak tuntut hak mereka di Nenggiri pun tak berani angkat muka dan membiarkan saja puak-puak Pas ‘membuli’ mereka.
Pas pun barangkali bimbang jika calon tulen Bersatu dipertaruhkan di Nenggiri. Bimbang pisang berbuah dua kali.
Letak calon tulen Bersatu silap-silap bila dah menang sokong pula kerajaan Anwar untuk dapatkan peruntukan. Dah kena buang lagi! Haha…
Jadi biarlah mereka letak ‘katak politik’ pun untuk menggantikan ‘katak politik’ Bersatu yang berpaling tadah menyokong Anwar Ibrahim, asalkan dari DNA Pas.
Sekurang-kurang mudah bagi mereka mengikat tali pada hidung dan tarik kuat-kuat dengan sumpah laknat kalau nampak macam nak ‘lompat ke sebelah.’
Berbeza dengan calon BN yang sememangnya sudah mendapat restu sepenuhnya oleh Ku Li selaku pimpinan UMNO Gua Musang, tetapi juga UMNO negeri dan Pusat.
Pendek kata Azmawi Fikri adalah calon ‘solid’ 100 peratus UMNO dan BN, dan bukannya ‘kulit biru isi hijau’ sepertimana lawannya.
Adalah amat disayangkan bagi pengundi Nenggiri jika menolak ‘Abe Awi’ memandangkan dia mewakili Kerajaan Persekutuan di Nenggiri.
Dan aku percaya, rakyat Nenggeri dalam PRN Kelatan sebelum ini bukan nak tolak sangat calon BN.
Ini memandangkan mereka mengenang begitu banyak jasa parti itu dan Ku Li di Gua Musang, namun apakan daya termakan hasutan puak-puak berkopiah putih.
Kalau tidak masakan calon BN masa itu, Abe Aziz hanya tewas dengan 810 undi sahaja di Nenggiri ketika gelombang tsunami politik melanda negara pada PRN-15 tempoh hari.
Jadi, jika mahu melihat pembangunan berterusan di Nenggiri seiring dengan tuntutan ‘Isle’ pakat-pakatlah pilih Abe Awi pula 17 Ogos nanti.
Lagipun tak kan pengundi Nenggiri nak pilih wakil kerajaan negeri yang terpaksa merayu bantuan kerajaan Pusat untuk mentadbir negeri, kalau mereka boleh letak terus wakil kerajaan Pusat di tempat mereka.
Tak gitu?
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Edisi 9. - Editor