BARISAN Nasional (BN) Sabah yakin gandingan parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) akan memberi impak positif serta bakal merubah landskap politik itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Penerangannya, Datuk Suhaimi Nasir berkata, ia sejajar dengan persefahaman yang ditunjukkan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi BN dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi PH.
Malahan katanya, Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin sendiri juga menegaskan formula BN-PH merupakan yang terbaik menghadapi PRN ke-17 kelak dengan mengenepikan sentiment anti-malaya dan anti-persekutuan yang sering menjadi senjata pihak lawan.
“Rakyat di negeri Sabah menyedari Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil peduli rakyat di Sabah, ia dizahirkan melalui Belanjawan 2024, Sabah telah diperuntukkan sebanyak RM6.6 bilion berbanding RM6.5 bilion tahun sebelumnya.
“Selain itu, Kerajaan Persekutuan atas semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) juga turut menurunkan kuasa pelaksanaan projek pembangunan di bawah nilai RM50 juta kepada agensi teknikal di Sabah dan Sarawak.
“Ini jelas membukti Perdana Menteri bersungguh-sungguh untuk melihat pembangunan dan kemajuan di negeri Sabah dengan pelbagai inisiatif antaranya Pelan Tranformasi SESB (Sabah Electricity Sdn Bhd), Pelaksanaan Penjanaan Tenaga Solar Hidbrid,” katanya dalam kenyataan.
Kenyataan Ketua UMNO Bahagian Libaran itu dikeluarkan sempena Himpunan BN Negeri Sabah yang bakal dihadiri Perdana Menteri selaku penyampai ucaptama majlis itu Ahad ini.
Suhaimi berkata, kehadiran Anwar dan menyampaikan amanat pada himpunan tersebut merupakan sejarah baharu yang tercipta untuk BN, sekali gus membuktikan hubungan erat antara BN dan PH, terutama sebagai persiapan menghadapi PRN-17 nanti.
“Sejajar dengan semangat perpaduan dan komitmen Anwar, Zahid dan Bung Moktar, kita hadir beramai-ramai ke Sandakan untuk menzahirkan solidariti Barisan Nasional,” katanya. – Edisi 9

