29.4 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Herleena wirawati, bukan dikenakan tindakan – Asyraf Wajdi

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan tindakan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang mahu mengambil tindakan terhadap pengacara Bernama TV, Herleena Pahlavy.

Menerusi hantaran Facebook beliau, Asyraf Wajdi menegaskan, sepatutnya Herleena dinobatkan sebagai wirawati negara yang patriotik kerana berani mempertahankan maruah negara.

“Saya tidak faham kenapa menteri (Saifuddin) bersungguh-sungguh mahu mengambil tindakan terhadap Herleena hanya kerana sekadar menggelarkan agensi berita antarabangsa Al Jazeera sebagai ‘Al Jahiliyyah’,” tegas Asyraf Wajdi.

Dalam program Malaysia Petang Ini yang disiarkan Bernama TV Isnin lalu untuk membincangkan dokumentari kontroversi media antarabangsa itu, Herleena menggelar Al Jazeera sebagai Al-Jahiliyah.

Dokumentari Al Jazeera bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” itu mendakwa berlaku diskriminasi terhadap pendatang asing tanpa izin dari segi layanan terhadap mereka ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani pandemik Covid-19.

Asyraf Wajdi berkata, Saifuddin tidak seharusnya terbawa-bawa dengan sikap beliau ketika menjadi Menteri Luar di bawah Pakatan Harapan dahulu.

Dakwa beliau, Saifuddin menjadi antara pihak yang bersungguh-sungguh mahu mengusahakan ratifikasi ICERD dan STATUT ROM sehingga membelakangi Raja-Raja Melayu dan kedaulatan negara.

Dalam pada itu, Herleena menerusi hantaran Facebook mengingatkan Saifuddin mengenai janji beliau untuk terus mempertahankan kebebasan bersuara.

Dia turut memuatnaik ciapan di Twitter dengan menegaskan menjadi berani dan patriotik di saluran TV Malaysia akan menyebabkan seseorang itu menanggung akibat.

Sementara itu, Al Jazeera dalam reaksi pertamanya dalam isu tersebut mempertahankan laporan yang didakwa berat sebelah berkenaan.

Saluran berita berpangkalan di Doha itu berkata, program 101 East yang menyiarkan dokumentari berdurasi 25 minit bertajuk “Locked Up in Malaysia’s Lockdown” pada 3 Julai adalah hasil kerja “kewartawanan yang mendalam dan berkualiti tinggi”.

“Episod ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ mengandungi pandangan dan pengalaman sejumlah individu daripada latar belakang yang berlainan, termasuk seorang doktor Malaysia yang dihormati dan pekerja bantuan di barisan hadapan.

“Ia disebut dengan jelas dalam filem itu bahawa Al Jazeera mengiktiraf bahawa respons Covid-19 Malaysia berjaya mengawal penularan virus itu,” kata Al Jazeera. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan