25.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Genap usia 95 tahun, apa langkah politik Mahathir selepas ini?

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

TUN Dr. Mahathir Mohamad berusia 95 tahun hari ini. Beliau pernah menyambut hari jadi sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun ketika bersama Barisan Nasional (BN) dan 22 bulan bersama Pakatan Harapan (PH).

Tetapi ini Dr. Mahathir kembali menyambut hari jadi sebagai bekas Perdana Menteri selepas meletakkan jawatan pada Februari lalu sekaligus menamatkan pemerintahan PH yang mencatatkan sejarah mengakhiri penguasaan BN selama 61 tahun dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sememangnya perjalanan politik Mahathir amat menarik. Dan sudah tentulah menyambut hari lahir pada usia 95 amat bermakna bagi beliau.

Biarpun sudah tidak lagi menjadi Perdana Menteri, namun Ahli Parlimen Langkawi itu terus mengagah diri untuk berjuang dalam arena politik.

Jika sebelum PRU-14, Mahathir melakukan kejutan dengan menubuhkan parti Bersatu dan bergabung dengan PH yang turut disertai oleh DAP sehingga berjaya menjadi kerajaan, kini Mahathir terus melakukan percaturan politik terutamanya soal siapa Perdana Menteri jika PH kembali berkuasa.

Bagaimanapun kali ini perancangan politik beliau tidak begitu mulus, apabila PKR menolak hasratnya untuk menjadi Perdana Menteri kali ketiga, sebaliknya parti itu mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tentangan daripada PKR menyebabkan Mahathir terpaksa mencari jalan lain, apabila bertindak pula mencalonkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd.Shafie Apdal manakala Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri I dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Kata Dr.Mahathir, pencalonan Mukhriz sudah disebut oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu dalam kenyataan bersama mereka pada 22 Jun.

Bagaimanapun Majlis Presiden PH yang bermesyuarat baru-baru ini tanpa kehadiran Dr. Mahathir memutuskan mengekalkan pencalonan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Keputusan itu dianggap tamparan kepada Mahathir yang dilihat semakin hilang pengaruh dalam blok pembangkang. Namun begitu penganalisis politik mengingatkan jangan anggap Mahathir sudah tewas dalam arena politik hanya kerana keputusan PH itu.

Advertisements

Seperti mana dilaporkan oleh portal berita, Free Malaysia Today, penganalisis politik James Chin daripada Institusi Asia Universiti Tasmania berkata, terlalu awal untuk menegenepikan bekas Perdana Menteri itu.

Katanya, beliau tidak melihat Mahathir berputus asa dalam usaha untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin walaupun keputusan terbaru PH memaksanya mencari formula baru.

Namun begitu Azmin Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berpendapat, penolakan PH itu mungkin boleh menamatkan permainan politik Dr. Mahathir.

Beliau yang turut berpendapat, lebih baik Dr. Mahathir melepaskan kerusi Parlimen Langkawi sekiranya pilihan raya berlaku berkata, berbanding sebelum pilihan raya umum 2018, Dr. Mahathir seperti sudah hilang pengaruh politik dan masa depannya kelihatan suram.

Berdasarkan pandangan seumpama itu, apakah langkah politik Mahathir dalam usia beliau 95 tahun? Adakah beliau akan terus berusaha menjatuhkan kerajaan Muhyiddin atau membuat keputusan untuk berehat daripada politik?

Penulis percaya, Mahathir tidak akan berputus asa begitu sahaja. Walaupun dilihat sudah terhakis pengaruh politiknya, anak kelahiran Alor Setar itu pasti akan melakukan sesuatu bagi menyelesaikan mungkin misi terakhirnya sebelum bersara.

Namun begitu Mahathir perlu bermuhasabah, apakah dalam usia 95 tahun, beliau masih ada kekuatan untuk melakukan gerakan politik yang berbisa bagi menumpaskan lawan dan menguasai kawan?

Pada pandangan rakyat khususnya orang Melayu, mereka mengharapkan Dr. Mahathir berehat dan tidak lagi bersusah payah bertarung dalam gelanggang politik yang menyaksikan cengkaman beliau semakin longgar, strateginya semakin tumpul dan sokongan kepadanya semakin luntur.

Majoriti orang Melayu bukannya tidak suka atau tidak sayang kepada Mahathir tetapi memetik kata-kata seorang kenalan rapatnya, ”Mereka tidak suka Dr. Mahathir berkawan dengan DAP, itu saja.”

Apapun sama-sama kita tunggu, apakah yang akan dilakukan oleh Dr. Mahathir termasuklah sejauh manakah langkah beliau membawa usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin pada sidang Dewan Rakyat pada Isnin ini berhasil.

Yang pasti hari ini, hari jadi Dr. Mahathir. Banyak pihak mengucapkan Selamat Hari Jadi kepada beliau termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Melalui laman facebooknya, Najib yang sentiasa menjadi sasaran serangan Dr. Mahathir mencatatkan, ‘’Happy 95th birthday, sir. Semoga Tun Dr.Mahathir dilimpahkan rahmat, ketenangan, kesihatan dan dilanjutkan usia.

Anwar pula melalui ciapan dalam twitternya mencatatkan, ‘’Selamat Ulangtahun kelahiran ke-95 buat @chedetofficial. Semoga sihat Walafiat.’’

  • Selamat Hari Jadi, Tun…Semoga sentiasa di bawah rahmat Allah selalu!
Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan