KUANTAN – Sesi persekolahan bagi murid sekolah rendah wajar ditutup semula berikutan penularan pandemik Covid-19 di negara ini yang masih belum pulih sepenuhnya.
Memetik laporan Utusan Malaysia, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin menggesa kerajaan menutup semula sekolah rendah selepas mendapati murid masih belum memahami maksud penjarakan sosial.
Menurutnya, murid sekolah rendah khususnya dari darjah satu hingga tiga, majoriti mereka tidak faham dan melaksanakan penjarakan sosial.
“Mereka (murid SK) ini tidak akan buat dan tidak faham penjarakan sosial, tak akan hendak mengharapkan cikgu jaga semua.
“Saya sendiri sempat meninjau di SK Jalan Bahagia, Temerloh dan saya dapati murid-murid khususnya darjah satu hingga darjah tiga, mereka tidak faham dan tidak bersedia untuk mula bersekolah,” katanya hari ini.
Sesi persekolahan murid tahun lima dan enam dibuka semula bermula 15 Julai lalu manakala bagi murid darjah satu hingga empat, sesi persekolahan mereka bermula semalam.
Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, kerajaan tidak seharusnya bertindak tergesa-gesa dan jangan nanti apabila wujud kluster baharu membabitkan murid SK, baharu mahu bertindak.
Selain SK ditutup semula, beliau juga mencadangkan supaya pelajar dari tingkatan satu hingga tiga turut diarahkan bercuti.
“Hanya pelajar dari tingkatan empat hingga lima yang terlibat dalam sesi persekolahan sehingga kita benar-benar yakin penularan wabak ini dapat dikawal sepenuhnya dan vaksin ditemui,” katanya. – Edisi 9