28.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Analogi gading gajah dan perjalanan politik pilihan Mahathir

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

SEKEPING gambar yang memaparkan Tun Dr. Mahathir Mohamad menyaksikan persidangan Parlimen Digital melalui komputer riba di kediaman beliau menjadi perhatian dan bualan dalam kalangan netizen.

Bukan soal isu Parlimen Digital diperkatakan tetapi tumpuan lebih kepada sepasang gading gajah yang menjadi hiasan dalam kediaman bekas Perdana Menteri itu.

Gading pada seekor gajah adalah tanda tunjuk kuasa terutamanya gajah jantan yang turut menjadikannya sebagai senjata. Gading juga menjadi buruan kerana ia mahu dijadikan hiasan atau barangan lain, biar sehebat manapun sejarah kehidupan gajah tersebut.

Kalau analogi gading gajah mahu dikaitkan dengan politik Mahathir, mungkin itulah jalan yang sedang diteroka oleh beliau.

Satu ketika Mahathir cukup berkuasa, digeruni oleh kawan dan lawan. Keupayaan politiknya membolehkan beliau menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali dengan dua gabungan berbeza iaitu bersama Barisan Nasional (BN) selama 22 tahun, kemudiannya dengan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan.

Dulu Mahathir dilihat pemimpin besar, sama seperti besarnya seekor gajah yang digeruni kerana badan dan gadingnya, tetapi kini Ahli Parlimen Langkawi itu semakin luntur kekuatannya.

Tindakan beliau yang sanggup bekerjasama dengan PH semata-mata mahu menjatuhkan BN dan kemudiannya meletakkan jawatan tanpa berunding dengan sesiapa telah memungkinkan Mahathir melakukan kesilapan terbesar dalam karier politik beliau.

Selepas secara berterusan bermusuhan dengan BN khususnya UMNO – sebuah parti yang banyak berjasa kepada beliau – Mahathir mencetuskan pula perbalahan dalam PH apabila ‘menyambung’ krisis lamanya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mahathir sememangnya tidak mahu Anwar menjadi Perdana Menteri menggantikan beliau ketika PH masih berkuasa. Pendirian itu dikekalkan apabila PH hilang kuasa apabila beliau mencalonkan Mohd.Shafie Apdal biarpun tanpa keputusan rasmi pakatan tersebut.

Dan semalam, Mahathir menerima tamparan hebat daripada PH, apabila pakatan itu mengekalkan pendirian asal mereka mencalonkan Anwar sebagai Perdana Menteri. Keputusan dibuat dalam mesyuarat PH yang dihadiri oleh parti asal pakatan itu tanpa melibatkan Mahathir mahupun Mohd.Shafie.

Ketika Anwar diberi mandat untuk berbincang dengan Mohd. Shafie berhubung pendirian PH itu, Mahathir pula mula dipinggirkan dan tidak mustahil akan ditinggalkan.

Semua itu berlaku kerana Mahathir mungkin terlupa bahawa beliau bukan lagi ibarat seekor gajah yang besar dan begitu gah dengan gadingnya, tetapi Mahathir kini sudah tiada apa-apa kekuatan. Mahathir mula diasingkan oleh kawan dan terus dibenci oleh lawan.

Mungkin masih ada yang tegar mengatakan, Mahathir boleh bangkit semula bertindak balas berikutan keputusan PH itu, tetapi penulis tidak nampak begitu.

Dalam keadaan tidak ada kuasa kerana bukan lagi Perdana Menteri dan tidak mempunyai kekuatan politik berikutan hanya menguasai lima sahaja kerusi Parlimen termasuk beliau dan tidak berparti, Mahathir tidak akan mampu berbuat apa-apa.

Keadaan menjadi lebih parah apabila sokongan rakyat khususnya dalam kalangan orang Melayu terhadap beliau semakin merudum, walaupun sebelum ini DAP dan Amanah menyatakan Mahathir boleh menarik sokongan kaum tersebut kepada PH.

Bagaimanapun akhirnya kedua-dua parti itu kembali menyokong Anwar dan sekaligus menunjukkan mereka sendiri sudah tidak yakin dengan kekuatan politik Mahathir.

Perkembangan itu membuktikan Mahathir semakin luntur pengaruhnya. Tiada mana-mana lagi parti politik sama ada kawan mahupun lawan yang gerun kepada beliau. Mahathir tidak boleh menyalahkan sesiapa, sebaliknya beliau perlu mengakui segalanya akibat kesilapan strategi sendiri.

Dalam membuat perhitungan politik ketika kali kedua menjadi Perdana Menteri, Mahathir begitu ghairah menyerang BN dan UMNO habis-habisan. Pemimpin-pemimpin UMNO digambarkan seburuk-buruk manusia di muka bumi Allah itu.

Apabila PH hilang kuasa, Mahathir terus melakukan serangan yang sama dan kali ini serangan turut ditujukan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Bagi Mahathir, apa yang berlaku semua salah orang lain, walaupun beliau sendiri meletakkan jawatan.

Perjalanan politik Mahathir menunjukkan, beliau menjadikan kawan sebagai musuh dan musuh sebagai kawan, tetapi sekarang cara politik beliau menyebabkan tidak mustahil kawan dan lawan bergabung untuk meminggirkan beliau.

Rakyat pula mulai muak dengan pendekatan politik Mahathir. Kalau dahulu sebelum PRU-14, berikutan propaganda yang dimainkan oleh pakatan pembangkang dalam isu 1MDB dan GST, Mahathir dilihat penyelamat negara dan tokoh hebat, tetapi kini Mahathir semakin ditolak rakyat.

Dalam media-media sosial pelbagai kritikan dan kecaman dilemparkan kepada bekas Perdana Menteri tersebut, kalau dahulu situasi ini dialami oleh Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi kini Mahathir pula merasai bahangnya.

Oleh itu Mahathir perlu menyedari beliau kini sedang menuju ke arah ‘politik gading gajah’, jika beliau tidak berhati-hati dalam tindakannya. Tidak dinafikan beliau juga ada jasa kepada negara ini, jangan biarkan jasa-jasa itu ditenggelamkan dengan kebencian dan dilupakan akibat permusuhan.

Terimalah hakikat, sesiapa juga berkuasa akhirnya ibarat seekor gajah besar yang dahulu cukup kuat dan berkuasa, tetapi kesudahannya pasti menanti masa sahaja untuk tumbang sebelum gading diambil bagi dijadikan perhiasan.

Begitulah juga Mahathir, janganlah nanti beliau hanya diingati menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali dengan dua gabungan berbeza tetapi dibenci kerana pendekatan politiknya.

Mungkin sempena genap 95 tahun usia beliau pada Jumaat ini – penghulu segala hari – Mahathir akan meluangkan masa bermuhasabah untuk memahami, beliau kini semakin dipinggirkan dan mungkin ditinggalkan, jika masih lagi merasakan memiliki ‘gading gajah’ untuk ‘bertarung’ dengan sesiapa sahaja.

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan