28.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Warga asing boleh solat di masjid bila keadaan stabil

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Warga asing hanya akan dibenarkan menunaikan solat secara berjemaah di masjid dan surau setelah kerajaan memastikan beberapa langkah bagi mengawal penularan pandemik Covid-19 di rumah ibadat itu dilaksanakan sepenuhnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pembukaan masjid dan surau akan dibuat secara berperingkat-peringkat dengan mengutamakan rakyat tempatan beragama Islam untuk bersolat Jumaat.

“Langkah kedua, kita benarkan dalam skala yang lebih besar dan langkah ketiga kita hadkan kepada satu pertiga kapasiti masjid dan surau diikuti langkah keempat kita lebarkan lagi (ruang solat) berdasarkan penjarakan sosial oleh kerana ramai orang,” kata Zulkifli.

AlHijrah Online melaporkan, Zulkifli berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Cuci-Cuci Masjid dan Musa’adah Covid-19 di Masjid Al-Khasyi’in, Desa Petaling.

Zulkifli memberitahu, berdasarkan langkah-langkah yang telah dilaksanakan, pihaknya melakukan kajian untuk mencari kelemahan dan kekurangan sebelum membuat sebarang keputusan untuk menambah jumlah jemaah termasuk melibatkan warga asing.

“Apabila keadaaan sudah stabil dan kita fahami dengan sebaiknya, InsyaAllah selepas daripada ini kita akan tengok pula dengan warga asing.

“Suka saya nyatakan, mereka ini boleh sembahyang Zuhur di tempat masing-masing walaupun hari Jumaat kerana inilah ganti bagi solat Jumaat yang tidak dapat dihadiri,” katanya.

Menurut Zulkifli, setakat ini dasar yang ditetapkan kerajaan termasuk kebenaran solat jemaah dan Jumaat dibuat dengan cermat bagi mengekang penularan Covid-19.

“Hal ini dapat dilihat mengikut angka (kes positif Covid-19) dilaporkan setiap hari, kita perlu kawal wabak itu dengan sebaiknya,” katanya.

Media pada awal bulan lalu melaporkan kelonggaran syarat mendirikan solat berjemaah dan Jumaat berasaskan keluasan masjid hanya tertakluk kepada warga tempatan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dipetik berkata kelonggaran itu tidak termasuk bagi warga asing di negara ini.

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan