29.4 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Haramkan TikTok, AS bakal ikut langkah India

Mesti Baca

WASHINGTON – Selepas India mengharamkan penggunaan 59 aplikasi buatan China, Amerika Syarikat (AS) dilapor merancang untuk mengambil tindakan serupa khasnya terhadap aplikasi media sosial dari Negara Tembok Besar itu termasuk Tik Tok.

Memetik portal berita CNN, perkara itu didedahkan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo selepas mendakwa aplikasi tersebut berkongsi maklumat pelanggan dengan kerajaan China.

“Berkenaan aplikasi milik China di telefon mudah alih orang ramai, saya memberi jaminan kepada anda bahawa AS akan mengambil tindakan terhadap perkara ini juga.

“Saya tidak mahu memberitahu perkara ini di hadapan Presiden (AS, Donald Trump), tetapi ia sesuatu yang sedang kita perhalusi,” katanya.

Anggota perundangan AS melahirkan kebimbangan mereka berhubung pengendalian data pengguna oleh TikTok dengan mendakwa peraturan China mensyaratkan syarikat tempatan supaya menyokong dan bekerjasama dengan kerja risikan yang dikawal Parti Komunis China.

Pompeo berkata, rakyat Amerika perlu berhati-hati semasa menggunakan aplikasi video pendek yang dimiliki oleh syarikat ByteDance yang berpangkalan di China.

Pada soalan sama ada beliau akan mencadangkan rakyat AS memuat turun aplikasi TikTok,Pompeo menjawab:”Hanya jika anda mahukan maklumat peribadi anda disimpan oleh Parti Komunis China”.

Bagi menjawab dakwaan Pompeo, TikTok memberitahu agensi berita Reuters bahawa, pihak syarikat tidak mendedahkan data pengguna kepada China

“Kami tidak mempunyai keutamaan selain mempromosikan aplikasi yang selamat.

“Kami tidak pernah mendedahkan data pengguna kepada kerajaan China dan tidak akan berbuat demikian jika dipinta,” kata TikTok dalam satu kenyataan.

TikTok yang tidak boleh dimuat turun di China amat popular di seluruh dunia termasuk AS dan negara Barat sekali gus menjadi platform media sosial China pertama yang memiliki tarikan signifikan pengguna dari luar negara asal.

India pada 29 Jun lalu bertindak mengharamkan 59 aplikasi China selepas berlaku pertempuran di sempadan antara kedua-dua negara.

Malah, Hong Kong juga dilapor bakal mengharamkan TikTok daripada telefon bimbit penduduk selepas China memperkenalkan undang-undang keselamatan baharu di wilayah autonomi itu.

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan