25.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Zaman gelap jika PH didominasi DAP kembali berkuasa

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

Dalam tempoh beberapa minggu ini pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) mula meniupkan sentimen kononnya Malaysia kini sedang kembali ke zaman gelap dengan mengaitkan ia dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, kleptorat dan politik perkauman.

Pengarah Strategik DAP, Lim Chin Tong dalam satu rakaman video yang tersebar menggesa rakyat Malaysia untuk bangkit bersama-sama PH untuk melawan apa yang beliau dakwa, kita bukan sahaja melawan Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi juga kita melawan Datuk Seri Najib, UMNO dan wang Najib.’’

Sehubungan itu Chin Tong mahu rakyat Malaysia bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika tiada sidang Parlimen pada Julai ini.Sebelum ini, Mujahid Yusof menegaskan, zaman gelap semakin terserlah selagi PH tidak ambil semula kuasa. Persoalannya benarkah Malaysia kini sudah kembali ke zaman gelap?

Kalau kita mahu bercakap zaman gelap, Malaysia hakikatnya berada dalam kegelapan yang lebih ketara ketika di bawah PH yang didominasikan oleh DAP. Dengan memiliki kerusi Parlimen paling banyak dalam PH iaitu 42 kerusi, DAP dilihat cukup berkuasa, apatah lagi apabila Lim Guan Eng dilantik sebagai Menteri Kewangan.

Mahathir boleh menafikan bahawa DAP tidak dominan dan menuduh orang Melayu bacul apabila takut kepada DAP tetapi beliau perlu jujur menjawab, apakah benar DAP tidak dominan dalam Kerajaan PH?

Jawablah antara persoalan yang menjadi bualan sepanjang pakatan tersebut berkuasa terutamanya melibatkan Kementerian Kewangan iaitu;

Betulkah Tony Pua yang merupakan Setiausaha Politik Guan Eng dianggap cukup berkuasa di Kementerian Kewangan sehingga boleh menghadiri mesyuarat penting berkaitan dengan tender? Betulkah buat pertama kali dalam sejarah orang luar dipanggil untuk memberi taklimat kepada Kabinet mahu membuat satu keputusan penting?

Betulkah bayaran kepada kontraktor Melayu ‘disekat’ atau ditangguh atas kebimbangan (tuduhan) sebahagian wang itu akan digunakan oleh kontraktor berkenaan bagi membantu UMNO dan Najib?

Adakah Mahathir tahu berapa banyak pengusaha kecil, sederhana (IKS) Melayu yang terpaksa gulur tikar ketika di bawah PH dan ada antara mereka terpaksa meminjam dengan pihak lain untuk terus beroperasi?

Hakikatnya, Mahathir dan pemimpin-pemimpin Melayu PH resah memandangkan penolakan orang Melayu terhadap mereka semakin ketara. Oleh itu mereka cuba menafikan perkara tersebut dengan menguar-uarkan, kerajaan PN tertegak atas kebencian kaum dan agama yang membentuk tahap sokongan penyokong tegar blok parti pemerintah itu.

Malah Mujahid mendakwa, Malaysia menuju kepada keadaan ekstrem kanan dengan retorik anti-DAP, Islam terancam dan Melayu kehilangan kuasa.

Namun pernahkah Mujahid atau pemimpin Melayu dalam PH berfikir, kenapakah wujud sentimen atau pandangan seumpama itu? Jawapan ialah kerana dalam beberapa isu mereka melihat DAP melampau. Ia termasuklah dalam isu Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), pelaksanaan tulisan Jawi di sekolah-sekolah, ICERD dan Statut Rome.

Bagaimanapun Mahathir mempertahankan DAP apabila menjawab soalan tersebut dalam satu wawancara baru-baru ini dengan menegaskan, ‘’Ini dipanggil perang politik untuk mengalahkan PH supaya orang Melayu semua tolak PH. Benda yang tidak ada isu tetapi dijadikan isu, tetapi perkara yang mereka ikut tidak pula kita sebut.’’

Advertisements

Kini apabila pemimpin DAP dan Amanah berhujah mengenai Malaysia kembali ke zaman gelap sebenarnya zaman gelap itu sudah berlalu apabila Kerajaan PH tumbang angkara Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Peletakan jawatan itu dianggap satu rahmat kepada orang Melayu dan mereka tidak mahu lagi PH kembali memerintah kerana tahu dalam kedudukan kerusi pembangkang di Parlimen sekarang, DAP tetap akan dominan.

Atas alasan itu juga DAP tetap menyokong Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri kali ketiga walaupun ia menimbulkan perasaan tidak puas hati Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mereka tahu, ia secara tidak langsung akan memberi kuasa kepada mereka.

Hakikatnya, rakyat khususnya orang Melayu sudah serik dengan PH sehingga seorang pemerhati politik berkata kepada penulis,’’ kalau sekali lagi PH memerintah, hancur negara ini.’’

‘’Mahathir kena akui betapa berkuasanya DAP ketika PH menjadi kerajaan dan tidak perlu lagi mahu berdolak-dalik semata-mata kerana perasaan benci Muhyiddin dan Najib,’’ kata pemerhati politik tersebut.

Seperkara lagi, orang Melayu juga menyampah dan muak dengan tindakan Mahathir yang terus mengecam UMNO. Beliau melemparkan pelbagai tuduhan kepada pemimpin-pemimpin parti tersebut .

Kita akui ada kesilapan yang dilakukan oleh pemimpin UMNO ketika menjadi kerajaan tetapi itu tidak bermakna parti induk orang Melayu itu boleh dihina sewenang-wenangnya. Bak kata orang dalam sebuah keluarga mesti ada seorang yang tidak sempurna.

Mahathir dan pemimpin PH terlalu cepat menjatuhkan hukum terhadap kes-kes mahkamah melibatkan pemimpin-pemimpin UMNO yang masih dalam perbicaraan.

Adakah tindakan itu menunjukkan mereka terlalu bijak berbanding mahkamah atau akibat kebencian politik mereka sudah tidak bijak lagi untuk berfikir secara rasional?

Tindakan beliau inilah menyebabkan pemimpin-pemimpin DAP turut ‘tumpang semangkuk’ dengan menakut-nakutkan rakyat Malaysia bahawa negara ini akan kembali ke zaman gelap jika UMNO kembali berkuasa.

Apapun tidak payahlah menggembar-gemburkan bahawa Malaysia kini sedang kembali ke zaman gelap. Kalaulah pemimpin-pemimpin PH terutamanya DAP boleh menggesa rakyat Malaysia bangkit untuk menolak Kerajaan PN, kita juga boleh menggesa rakyat khususnya orang Melayu untuk menolak Kerajaan PH kembali memerintah.

Ia seperti mana kata Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki dalam facebooknya, rakyat hari ini lebih tenang dan selesa dengan kerajaan hari ini yang bebas daripada DAP.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan