29.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Apakah Anwar akan terperdaya lagi dengan Mahathir?

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

PADA 1988 UMNO berpecah selepas pertarungan antara Tun Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah sehingga terlahirnya Parti Semangat 46.

Pada tahun 1998 UMNO bergolak dan berpecah apabila Mahathir memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim maka selepas itu wujudlah Parti Keadilan Rakyat (PKR), pada 2016 UMNO berpecah lagi apabila Mahathir yang keluar daripada parti itu menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Secara ringkasnya Mahathir telah menyebabkan UMNO berpecah empat. Dan kini keharmonian dalam Pakatan Harapan (PH) juga ‘tergugat’ apabila Mahathir bertegas mahu menjadi Perdana Menteri kali ketiga.

Pakatan tersebut yang sebelum ini tenang sebelum PRU-14, kini di ambang pergolakan apabila Mahathir bertembung dengan Anwar sekali lagi.

Puncanya hanya satu, Mahathir mahu terus menjadi Perdana Menteri manakala Anwar pula dilihat tidak mahu lagi mengalah selepas ‘tertipu’ kali pertama apabila Kerajaan PH menubuhkan kerajaan.

Ketika itu dikatakan ada perjanjian bahawa Mahathir akan menyerahkan jawatan tersebut kepada Presiden PKR berkenaan selepas dua tahun.

Tetapi alih-alih bukan kata Anwar tidak dapat jawatan, Kerajaan PH turut tumbang apabila Mahathir meletakkan jawatan tanpa berunding terlebih dahulu dengan sekutunya.

Kini Mahathir cuba ‘menebus dosa’ tersebut dengan mengatur langkah politik bagi mengembalikan kuasa kepada pakatan berkenaan.

Walaupun mempunyai hanya lima kerusi, Mahathir tetap mahu menjadi Perdana Menteri dan beliau disokong oleh DAP, Amanah dan Warisan.
Anwar pula terkapai-kapai apabila dua buah parti yang selama ini bersusah payah dengan beliau ‘berpaling tadah’ kerana Mahathir.

Anwar hanya ada sokongan daripada PKR. Alasan mereka Mahathir masih diperlukan untuk meraih sokongan Melayu. Adakah Anwar tidak ada keupayaan tersebut kerana Mahathir pernah berkata Ahli Parlimen Port Dickson itu ‘’falsafah politiknya yang liberal.’’

Kata Mahathir dalam wawancara bersama Sinar Harian pada Mac lalu, orang Melayu belum boleh menerima ideologi liberalisme kerana takut kedudukan mereka terancam kerana orang Melayu hari ini hanya ada kuasa politik.

“Kalau kita toleh ke belakang, bila dia terkeluar daripada UMNO ketika saya jadi Perdana Menteri (pada tahun 1998), dia cuba tubuh sebuah parti menentang saya.

”Dulu sebelum ini Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) keluar parti dan tubuh parti Semangat 46. Tetapi itu parti Melayu. Anwar keluar-keluar dia buat parti liberal. Dia nak dapat sokongan daripada DAP maka dia ajak DAP masuk, Pas masuk. Falsafah dia liberal,” katanya.

Justeru ramai ternanti-nanti apakah kesudahannya penentuan calon Perdana Menteri oleh PH walaupun entah bila mereka akan menjadi kerajaan.

Advertisements

Ramai mahu tahu adakah kali ini Anwar akan mengalah kepada Mahathir? Atau adakah Anwar sekali lagi akan menjadi ‘penunggu’ bagi jawatan Perdana Menteri?

Apa yang pasti buat masa ini, hubungan antara kedua-dua pemimpin sudah ada ketegangan. Pertembungan 1998 mungkin akan berulang lagi.

Pemerhati politik berpendapat, Anwar perlu meloloskan diri keluar daripada bayangan politik Mahathir atau dalam bahasa mudah tidak boleh selama-lamanya dipaksa mengikut rentak Mahathir.

Lagi pula dari segi kesetiaan Anwar lebih setia dengan partinya berbanding Mahathir dan Anwar mengetuai parti yang mempunyai kerusi kedua terbanyak di Parlimen dalam kalangan pembangkang.

Pada masa sama, kita boleh saksikan, antara kedua-duanya sering ‘menyerang’ antara satu sama lain secara berlapik. Mahathir pernah membuat kenyataan bahawa Anwar tiada sokongan ahli Parlimen, ‘gila-gila’ nak jadi Perdana Menteri dan berfalsafah liberal.

Anwar pula bercakap soal bagaimana tindakan memperkatakan mengenai ‘Melayu malas’ menyebabkan orang Melayu marah kepada PH dan beliau tiada halangan berhubung gesaan siasatan ‘skandal forex’.

Faktanya, Anwar dan penyokong PKR perlu menerima hakikatnya bahawa Mahathir tidak ikhlas dalam menjalin persahabatan dengan parti itu. Mahathir hanya mahu memperalatkan PKR menjatuhkan Najib dan Barisan Nasional (BN) dan kini beliau terus mahu bersama PH kerana mahu menjatuhkan Muhyiddin serta Perikatan Nasional (PN) – itu sahaja.

Masihkah kita ingat, ketika meletakkan jawatan dahulu Mahathir berkata, beliau tidak sanggup melanggar prinsip dan tidak mahu memungkiri janji menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar, kalau betul begitu kenapa beliau meletakkan jawatan?

Kalaupun ‘merajuk’ dengan tindakan Muhyiddin membawa Bersatu keluar daripada PH, kenapa tidak serah sahaja jawatan Perdana Menteri kepada Anwar? Biarlah Anwar tentukan sama ada beliau mendapat sokongan majoriti di Parlimen atau tidak?

Tetapi Mahathir tidak berbuat demikian kerana beliau memang tidak mahu Anwar menduduki jawatan tersebut, oleh itu adakah kali ini Anwar akan diperdayakan lagi dengan janji Mahathir?

Keadaan sekarang menjadi lebih kritikal kepada Anwar kerana beliau dikatakan hanya disokong PKR, Mahathir pula sudah mendapat sokongan DAP, Amanah dan Warisan. Bagaimana kalau Mahathir memungkiri janji lagi, apa Anwar boleh buat? – Sama-sama kita tunggu apa kesudahan.

Pada masa sama penulis bersimpati dengan penyokong-penyokong PKR, mereka bermati-matian berjuang bersama parti itu kerana mahu menentang Mahathir.

Kegigihan itulah meletakkan PKR menjadi salah satu parti yang dihormati tetapi sekarang mereka terpaksa memberi laluan kepada orang yang mereka tentang satu ketika dahulu menjadi Perdana Menteri, bukan sekali tetapi untuk kali kedua. Berbaloikah?


Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan