31 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Mahathir terdesak guna ‘politik label’ burukkan pemimpin UMNO

Mesti Baca

SHAH ALAM – Tun Mahathir Mohamad dianggap berniat jahat apabila melabelkan pemimpin-pemimpin UMNO yang mempunyai kes di mahkamah sebagai pencuri, penyangak dan penyamun.

Ketua UMNO Kuala Selangor, Datuk Jahaya Ibrahim berkata, apa yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri itu bertujuan mewujudkan persepsi dalam kalangan rakyat khususnya orang Melayu bahawa pemimpin tersebut bersalah sedangkan kes mereka masih lagi dalam perbicaraan.

“Mahathir sepatutnya menghormati proses mahkamah dan tidak harus membuat kenyataan yang melangkaui proses undang-undang kerana ia tidak adil kepada pemimpin-pemimpin terlibat.

”Sama ada mereka bersalah atau tidak, biarlah mahkamah tentukan. Kenapa perlu Mahathir sesuka hati melabel mereka sebagai pencuri, penyangak, penyamun dan sebagainya?,’’ kata beliau ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri itu bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memastikan enam Ahli Parlimen UMNO yang kini berdepan kes mahkamah atas tuduhan rasuah untuk tidak disabitkan kesalahan.

Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad turut membidas kenyataan Mahathir itu kerana ia boleh dianggap menghina mahkamah serta hakim yang mengendalikan kes berkenaan.

Jahaya berkata, beliau percaya Mahathir berbuat demikian kerana sokongan orang Melayu terhadap Ahli Parimen Langkawi itu semakin merudum dan bagi memulihkan keadaan tersebut, Mahathir memburuk-burukkan pemimpin UMNO – taktik sama yang digunakan ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Tetapi kali ini saya yakin beliau akan gagal kerana rakyat khususnya orang Melayu semakin sedar Mahathir hanya menjadi ‘kuda tunggangan’ kepada DAP. Perbuatan beliau memburuk-burukkan pemimpin UMNO adalah bertujuan untuk menyekat kebangkitan penolakan rakyat terhadap beliau dan Pakatan Harapan (PH),’’ katanya.

Advertisements

Beliau berkata, Mahathir juga melakukan tindakan melabel pemimpin-pemimpin UMNO dengan panggilan buruk kerana mengetahui populariti parti itu kini semakin meningkat.

‘’Lebih menimbulkan kemarahan Mahathir ialah apabila bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kembali popular dalam kalangan rakyat dan ini tidak menyenangkan Mahathir sehingga beliau terpaksa menggunakan taktik kotor dengan menuduh pemimpin UMNO sebagai pencuri, penyangak dan penyamun,’’ katanya.

Jahaya juga membidas Mahathir yang cuba mengelirukan rakyat berhubung proses mahkamah apabila menyatakan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepemimpinan Muhyiddin akan tumbang jika enam Ahli Parlimen UMNO yang sedang menghadapi perbicaraan didapati bersalah.

‘’Perbuatan Mahathir ini membuktikan beliau semakin kehabisan modal bagaimana mahu menjatuhkan kerajaan, oleh itu beliau menggunakan hujah dangkal tersebut walaupun mengetahui proses perbicaraan di mahkamah bukan boleh diselesaikan dalam tempoh selesai sebulan dua.

‘’Mahathir bukan tidak tahu tetapi beliau sengaja berbuat demikian untuk mengelirukan rakyat dan memberi imej buruk kepada UMNO kerana beliau tahu parti itu kini terus diterima rakyat ,’’ tegasnya.

Menjawab satu soalan, Jahaya berkata, beliau tidak perlu meminta Mahathir menghentikan perbuatan berniat jahat tersebut sebaliknya menyerahkan kepada rakyat menilai tindak tanduk bekas Perdana Menteri berusia 95 tahun itu.

“Biarlah rakyat menilai, lagi banyak beliau bercakap dan menuduh, semakin terdedah niat buruknya. Beliau sebenarnya semakin gelabah dan tidak keruan kerana hilang kuasa serta ditolak oleh PH untuk kembali menjadi Perdana Menteri,’’ katanya. – EDISI9

Advertisements

Terkini

Tak boleh tolak permohonan pelanggan tidak fasih bahasa Melayu

PARA pegawai Jabatan Imigresen Malaysia tidak dibenarkan menolak sebarang permohonan hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan. Bagaimanapun, menurut Ketua...

Lagi Artikel Berkaitan