UMNO hari ini mengingatkan pemimpin DAP agar berbincang dahulu secara tertutup dengan Sekretariat Kerajaan Perpaduan jika ada isu-isu yang boleh mencetuskan polemik.
Ingatan itu disuarakan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kepada Naib Presiden DAP, Nga Kor Ming.
Ia susulan cadangan Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang mahu mencalonkan kampung-kampung baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Asyraf berkata, banyak keutamaan lain yang perlu Kerajaan Perpaduan tumpukan ketika ini terutamanya dalam isu menangani kos sara hidup rakyat yang kian meningkat di samping meningkatkan kualiti kesejahteraan hidup rakyat dalam segenap aspek.
Malahan katanya, UMNO bersedia bersama dan bekerjasama rapat dengan KPKT bagi membantu agenda kementerian di bawah Kor Ming.
“Terutamanya yang melibatkan isu kemiskinan bandar, kesempurnaan kemudahan dan infrastruktur rakyat di kawasan perumahan, isu perumahan mampu milik generasi muda dan pelbagai isu lain yang menyentuh kualiti hidup rakyat di kawasan bandar khususnya.
“Isu-isu yang disebutkan ini melangkaui soal kaum dan memerlukan pendekatan bersifat keterangkuman dengan kerjasama semua pihak bagi memastikan semuanya dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.
Asyraf berterima kasih kepada Kor Ming yang menghormati pendirian UMNO dan tidak mahu memanjangkan cadangan untuk menjadikan kampung baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. – Edisi 9