32.5 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024

Hormati keputusan Mahkamah Persekutuan, titah Sultan Selangor

Mesti Baca

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar semua pihak menghormati dan mendukung keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara.

Baginda yang juga Pengerus Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) bertitah, dalam menangani isu berbangkit, apa yang lebih penting ialah usaha mencari jalan untuk mengatasi segala permasalahan yang timbul.

Titah baginda, ini termasuk dengan mengkaji kaedah memperluaskan kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Usaha-usaha ini termasuklah mengkaji sekiranya ada keperluan untuk mencadangkan pindaan kepada peruntukan tertentu Perlembagaan Persekutuan dan/atau undang-undang Persekutuan yang berkaitan bagi memastikan kuasa Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah termaktub secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa sebarang kekaburan ambiguity,” titah baginda.

Sultan Selangor bertitah demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat MKI Ke-71 di Putrajaya hari dengan intipati titah baginda dimuatkan menerusi Facebook Selangor Royal Office.

Mahkamah tertinggi Malaysia baru-baru ini memutuskan 16 peraturan Syariah di Kelantan adalah tidak berlembagaan kerana melangkaui bidang kuasa persekutuan, dalam satu keputusan yang mampu menjejaskan sistem perundangan Syariah Malaysia, menurut pengkritik konservatif Islam.

Dalam penghakiman majoriti 8-1, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 peraturan dibawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan-termasuk meliwat, gangguan seksual, mabuk, sumbang mahram, dan memusnahkan rumah ibadat- sebagai tidak sah dan terbatal.

Ketua Hakim Tengku Maimun Tuan Mat berkata keputusan itu tidak menyentuh kedudukan Islam atau Mahkamah Syariah di Malaysia, tetapi sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai kuasa untuk meluluskan undang-undang yang termaktub dalam bidang kuasa persekutuan.

Sultan Sharaffuddin menyedari bahawa pelbagai pihak terutama ahli-ahli politik, pengamal undang-undang, para akademik dan rakyat biasa telah membuat pelbagai ulasan dan tafsiran terhadap keputusan kes tersebut.

“Terdapat ulasan yang memberi penjelasan sebenar tentang kesan kepada keputusan kes tersebut.

“Namun demikian terdapat juga ulasan berdasarkan kepada polemik kepentingan pihak-pihak tertentu sehingga menimbulkan pelbagai kekeliruan kepada umat Islam di negara ini.

“Malah ada yang telah menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut sebagai detik Black Friday kepada undang-undang jenayah syariah Islam di negara ini,” titah baginda.

Advertisements
Orang ramai berhimpun bagi mempertahankan undang-undang Syariah Kelantan di hadapan Istana Kehakiman, Putrajaya.

Titah Sultan Selangor, baginda tidak berhasrat untuk turut sama terlibat dalam polemik tersebut namun baginda telah disembah maklum bahawa Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam yang ditubuhkan semasa mesyuarat MKI Kali ke-70 pada 28 Ogos 2023 lalu sedang meneliti persoalan yang berbangkit tersebut.

Antaranya, titah baginda, melaksanakan kajian terhadap isu-isu yang berkaitan dengan kompetensi termasuklah analisis terhadap peruntukan undang-undang yang sedia ada secara menyeluruh.

Selain itu, jawatankuasa khas tersebut juga mengkaji keputusan-keputusan mahkamah tertinggi serta membincangkan isu-isu tersebut secara terperinci dan mencadangkan serta membuat pengesyoran tentang kaedah penyelarasan yang terbaik dan harmoni terhadap isu kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang Islam serta bidang kuasa Mahkamah Syariah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, dan mengkaji kaedah memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Jawatankuasa khas ini telah diberi tempoh setahun dari tarikh ianya ditubuhkan untuk memberikan sebarang cadangan kepada MKI dan seterusnya diangkat kepada Majlis Raja-Raja untuk diperhalusi dan diperkenankan.

“Beta menyeru dan menggesa semua pihak, termasuk pakar-pakar perundangan agarmembantu Jawatankuasa Khas ini dengan memberikan cadangan-cadangan yang berilmiah, bernas serta praktikal bagi memudahkan Jawatankuasa Khas ini melaksanakan tugas mereka,” titah baginda.

Titah Sultan Sharaffuddin, baginda faham adalah satu amanah berat yang perlu dipikul oleh Jawatankuasa Khas tersebut namun percaya dengan pengalaman dan kelayakan yang ada, satu penyelesaian dapat dicapai bagi manfaat semua pihak terutama umat Islam di negara ini.

Sementara itu, baginda menyeru semua pihak terutama umat Islam agar bertenang dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan sementara menantikan cadangan dari Jawatankuasa Khas berkenaan.

“Di kesempatan ini, Beta ingin menasihatkan umat Islam di negara ini terutama kepada para alim ulamak dan para ilmuan Islam agar sentiasa memelihara adab di dalam mencetuskan sesuatu pandangan bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan di kalangan umat Islam.

“Kita tidak perlu berbalah secara terbuka di dalam perkara-perkara yang boleh kita selesaikan dengan cara bermesyuwarah dan secara tertutup.

“Kita perlu meraikan perbezaan pendapat dan menyelesaikan perbezaan pandangan tersebut secara ilmiah, berhemah serta melalui saluran yang betul,” titah baginda.

Rakyat terutama umat Islam, titah baginda, perlu sentiasa melihat dan memandang tinggi kepada para ilmuan Islam dan para alim ulama serta sentiasa mengharapkan sesuatu ketetapan berkaitan sesuatu hukum itu dapat disepakati oleh semua.

Oleh itu adalah menjadi harapan baginda agar saranan dan nasihat baginda tersebut dijadikan panduan ke arah perpaduan dan kesejahteraan umat Islam di negara ini. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Akibat tindakan bodoh, Harimau Malaya hilang pemain tonggak

AKIBAT tindakan bodoh oleh individu tertentu, skuad kebangsaan kehilangan pemain tonggak bagi mengharungi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027,...

Lagi Artikel Berkaitan