Tuesday, July 21, 2026

Henti amalan mempolitikkan urusan agama – Sultan Sharafuddin

Mesti Baca

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar pentadbiran agama Islam di negara ini bebas daripada pengaruh politik kepartian dan amalan mempolitikkan setiap urusan agama.

Baginda turut mengingatkan kepada semua ahli politik agar tidak mengambil kesempatan untuk mempolitikkan setiap isu yang melibatkan agama Islam sehingga ia menjadi modal kepada persengketaan politik yang tiada berkesudahan.

Titah baginda, isu agama adalah sesuatu yang boleh menjadi sensitif kepada umat Islam, oleh itu elakkanlah dari tuduh-menuduh antara satu sama lain atas isu agama yang pada asasnya boleh diselesaikan secara bersama.

“Umat Islam sedia maklum bahawa isu-isu agama sering dipolitikkan sejak beberapa dekad yang lalu malah semakin serius sejak kebelakangan ini. Akibatnya berlaku permusuhan, salah faham serta kekeliruan di kalangan umat Islam.

“Cukup-cukuplah kita bersengketa atas sebab agama. Telah tiba masanya umat Islam semua bersatu demi kekuatan umat Islam. Apabila umat Islam kuat dan bersatu-padu, masyarakat bukan agama Islam akan menghormati umat Islam,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) Ke-71 di Putrajaya hari ini yang mana intipati titah baginda dimuatkan dalam Facebook Selangor Royal Office.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementra itu, Sultan Selangor juga berharap amalan melantik Menteri Agama daripada kalangan bukan ahli politik yang dilaksanakan sekarang ini dapat diteruskan.

Titah baginda, ini bagi memastikan isu-isu berkaitan hal ehwal agama Islam tidak dijadikan sebagai bahan politik dan tumpuan sepenuhnya dapat diberikan menteri berkenaan dalam menyelesaikan pelbagai isu yang melibatkan umat Islam.

“Beta menyarankan juga kelayakan akademik berasaskan ijazah Pendidikan Islam perlu dijadikan sebagai kriteria utama di dalam melantik seorang Menteri Agama,” titah baginda.

Sultan Selangor turut menyeru umat Islam di negara ini agar terus memperkukuhkan komitmen terhadap perpaduan dan ukhuwah yang selama ini menjadi teras kepada kemajuan negara.

Titah baginda, akar persaudaraan yang kukuh dalam kalangan masyarakat Islam mampu menjana kejayaan dan kecemerlangan kepada kemakmuran serta kedaulatan negara keseluruhannya.

Berdasarkan hasrat itulah, titah baginda, perselisihan dan pertikaian yang muncul dalam kalangan masyarakat berkaitan apa-apa isu sekalipun, perlu diurus dengan penuh tertib, ketinggian hikmah serta bersikap adil kepada semua pihak. – Edisi 9

Terkini

Hormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan sehingga PRU-16

SEMUA pihak diminta agar menghormati perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)...

Lagi Artikel Berkaitan