32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

‘Mahathir, siapa yang anda mahu perbodohkan?’ – Ronnie Liu

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad mungkin boleh terus teruja untuk mempertahankan DAP, apabila menyatakan parti itu sudah banyak berubah sehingga sanggup memburuk-burukkan pemimpin Melayu termasuk Perdana Menteri Tan Sri Muyiddin Yassin.

Mahathir yang sebelum ini disokong kuat oleh DAP untuk menjadi Perdana Menteri kali ketiga jika Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa, turut menganggap orang Melayu yang percaya DAP boleh menghancurkan mereka sebagai penakut dan bacul.

Bagaimanapun tidak semua pemimpin DAP yang termakan dengan pujian bekas Perdana Menteri tersebut, ia terbukti apabila Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek daripada parti itu, Ronnie Liu terus lantang mengkritik pendekatan politik Ahli Parlimen Langkawi berkenaan.

Dalam kenyataan terbarunya dalam Facebook, Liu mendakwa, Mahathir melaga-lagakan antara kaum bagi meraih sokongan dalam kalangan orang Melayu.

“Tun Mahathir buat masalah lagi. Beliau kini guna taktik lama untuk tarik sokongan Melayu. Ini bukan kali pertama Tun Mahathir berkata, orang Cina kaya, seolah-olah ia satu jenayah. Tindakan mendakwa orang Cina ‘memiliki semua bandar di Malaysia’ pasti akan membangkitkan sentimen dalam kalangan orang Melayu.

“Siapa yang anda mahu perbodohkan, Mahathir? Atau anda masih percaya orang Melayu senang terperdaya dan akan beri sokongan hanya kerana anda melaga-lagakan mereka dengan warga Malaysia.”

Liu memberi reaksi tegas itu susulan wawancara Mahathir dengan Asian Times semalam yang berkaitan jurang kekayaan antara kaum itu di Malaysia dan mendakwa masyarakat Cina telah menjadi sangat kaya dan boleh dikatakan ‘memiliki semua bandar di Malaysia’.

Kata Mahathir, “Ini tidak sihat, kita temui hal ini di Malaysia, jurang antara bandar dan negara, dibesarkan lagi oleh jurang antara orang Cina di bandar dan orang Melayu di kampung. Kita perlu betulkan hal itu.”

Sambil mengingatkan bahawa kenyataan berbahaya yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri itu boleh mencetuskan ketegangan antara orang Melayu dan Cina di negara ini, Liu berkata, tidak semua orang Cina di Malaysia kaya.

Pada sama, kata beliau, tidak semua orang Melayu miskin termasuk anak-anak Mahathir yang antaranya bertaraf jutawan atau malah bilionair.

“Banyak perusahaan kecil dan sederhana (pks) orang Cina kini sedang berdepan kesukaran untuk kekal, ‘terima kasih’ atas pentadbirannya (Mahathir) yang lemah dan Covid-19. Dan jumlah 800,000 yang kehilangan kerja pasti turut merangkumi kaum Cina.

“…Anda harus dikecam atas kenyataan bernada perkauman dan perlu memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan