31 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Undi percaya terhadap Muhyiddin penting demi kestabilan negara

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

MUNGKIN tindakan Pas mengemukakan usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dibentang dan dibahas dalam sidang Parlimen mulai 13 Julai ini nampak remeh.

Namun hakikatnya ketika ini Ahli Parlimen Pagoh itu memang benar-benar mengharapkan sokongan majoriti diperoleh di Parlimen bagi memastikan beliau dapat meneruskan agenda pembangunan negara dengan lancar.

Undian di Parlimen bukan sahaja merupakan satu mandat daripada wakil-wakil rakyat dari seluruh negara, tetapi juga bagi memastikan Putrajaya tidak terus diganggu-gugat oleh mana-mana individu yang bercita-cita untuk menduduki kerusi Perdana Menteri.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan malam tadi berkata, usul tersebut telah dikemukakan untuk dibentang dan dibahaskan.

Memetik laporan Malaysiakini, Pas percaya sokongan dan kepercayaan terhadap Muhyiddin perlu dizahirkan memandangkan beliau telah menunjukkan kepimpinan yang prihatin serta mengutamakan rakyat sejak menerajui pentadbiran negara pada Mac lalu.

TAKIYUDDIN HASSAN – Foto: Bernama

Pernyataan itu seiring dengan majoriti rakyat Malaysia yang kini mahukan agar pemimpin negara bergerak ke hadapan, dan melupakan sengketa politik sejak peralihan kerajaan pada penghujung Februari lalu.

Dalam keadaan dunia termasuk Malaysia sedang berdepan ancaman pandemik Covid-19 yang hampir melumpuhkan ekonomi negara dengan pengangguran meningkat berganda, sepatutnya ahli-ahli Parlimen duduk berbincang untuk memulihkan situasi tersebut, bukannya sibuk dengan agenda “siapa yang akan menjadi Perdana Menteri.”

Perdana Menteri baharu sudah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong pada 1 Mac lalu, seminggu selepas peletakan jawatan Perdana Menteri Ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Justeru, sepatutnya tidak timbul lagi masalah untuk memilih penggantinya memandangkan Perdana Menteri sekarang masih sihat, diterima dan diyakini oleh rakyat.

Advertisements

Jika benar-benar Dr Mahathir untuk kembali menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga, atau Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu merealisasikan harapan sejak 30 tahun lalu atau Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk menjadi ‘orang Sabah’ pertama menduduki jawatan itu, tunggulah PRU-15 tidak lama lagi.

Pada masa kini biarkanlah Muhyiddin dan barisan Kabinet beliau bekerja dan membina negara. Lagipun setakat ini tiada cacat-cela dengan corak pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) di mata rakyat.

Mandat rakyat bukanlah isunya memandangkan Muhyiddin juga dipilih dan menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, dan bukanlah Ahli Parlimen yang tewas.

Begitu juga barisan menteri Kabinet yang dipilih, hampir semuanya adalah Ahli-ahli Parlimen yang sudah diberi mandat oleh rakyat untuk mewakili mereka, cuma daripada parti politik yang berbeza.

Sehubungan dengan itu, langkah Pas membawa usul undi percaya terhadap Presiden Bersatu itu untuk kekal sebagai Perdana Menteri merupakan langkah yang tepat untuk ‘mematikan’ harapan beberapa Ahli Parlimen yang mahu merampas jawatan tersebut secara pintu belakang.

Ahli-ahli Parlimen juga, jika usul ini diluluskan oleh Yang Dipertuan Dewan Rakyat untuk dibentangkan, eloklah mengambil langkah menyokongnya tanpa berbelah bahagi.

Apa yang penting, elakkan daripada berlaku sekali lagi krisis ketika negara sedang berdepan dengan pelbagai masalah, kesan daripada Covid-19.

Berilah laluan kepada Muhyiddin memulihkan negara sebab itulah majoriti rakyat mahukan pada masa kini. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tak boleh tolak permohonan pelanggan tidak fasih bahasa Melayu

PARA pegawai Jabatan Imigresen Malaysia tidak dibenarkan menolak sebarang permohonan hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan. Bagaimanapun, menurut Ketua...

Lagi Artikel Berkaitan