28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Tindakan Mahathir bukti Anwar hilang pengaruh dalam PH?

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Razlan Rafii mendakwa Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah hilang pengaruhnya dalam Pakatan Harapan plus (PH).

Beliau membuat dakwaan itu berikutan tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan Datuk Seri Mohd.Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri manakala Anwar hanya akan dicalonkan sebagai Timbalan Perdana Menteri 1 dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri II jika PH kembali berkuasa.

Malah kata Mohd.Razlan, jika dilihat daripada kenyataan media yang dikeluarkan oleh Mahathir, PKR juga tidak dijemput ke perbincangan yang diadakan pada 25 Jun lalu melibatkan parti DAP, Amanah, dan Warisan.

“Ini juga dengan jelas menunjukkan bahawa parti-parti tersebut telah ‘mengkhianati’ PKR dan Anwar. Mereka percaya bahawa Anwar dan PKR tidak akan berjaya menarik undi orang – orang Melayu untuk kembali kepada Pakatan Harapan Plus,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan media Mahathir mengenai pencalonan Mohd. Shafie yang dikeluarkan hari ini sekali gus dilihat akan meningkatkan lagi ketegangan hubungan bekas Perdana Menteri itu dengan Anwar.

Mohd. Razlan berkata, Mahathir nampaknya akan terus meminggirkan Anwar dan PKR daripada sebarang perbincangan mengenai PH plus pada masa akan datang.

“Ini kerana seperti dalam blog beliau, Mahathir sedar bahawa hanya beliau dapat menarik undi orang Melayu ke Pakatan Harapan llus dan bukan Anwar.

“Malah dengan ‘pengaruh’ beliau, Mahathir akhirnya berjaya meletakkan ‘kroni’ beliau sebagai calon Perdana Menteri dan anak beliau sendiri sebagai Timbalan Presiden II tanpa berbincang langsung dengan PKR dan Anwar yang mempunyai 39 kerusi Parlimen,’’ katanya.

Sambil mendakwa DAP kini mempergunakan Mahathir bagi menjatuhkan Kerajaan Perikatan Nasional, Mohd. Razlan berkata, keputusan mencalonkan Mohd.Shafie adalah kemenangan bagi Mahathir.

“Pertama, musuh beliau Anwar tidak akan menjadi Perdana Menteri buat selama-lamanya. Ini juga sekaligus akan memusnahkan PKR dan berakhirlah politik dinasti Anwar di Malaysia.

“Kedua anak Mahathir, Mukhriz akan dilantik sebagai calon Timbalan Perdana Menteri II sekaligus meneruskan legasi dan dinasti Mahathir,’’ katanya.

Sementara itu, lewat petang ini dalam satu dalam kenyataan bersama, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Mohamad Sabu menjelaskan, cadangan mencalonkan Mohd.Shafie masih perlu dibincangkan di peringkat kepemimpinan pusat.

Mereka juga turut menegaskan, pertemuan dengan Dr. Mahathir pada Khamis lalu merupakan pertemuan tidak rasmi.

“Amanah dan DAP berpandangan ia sebagai satu pilihan baru untuk merealisasikan usaha mengembalikan semula mandat rakyat yang telah diberikan kepada gabungan Pakatan Harapan dan Warisan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu.

“Walau bagaimanapun, cadangan tersebut perlu dibincangkan di peringkat kepimpinan pusat Amanah dan DAP terlebih dahulu dan seterusnya dibawa ke Mesyuarat Presiden PH untuk diputuskan bersama,” kata kenyataan tersebut. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan