30.7 C
Kuala Lumpur
Friday, January 24, 2025

Tolak politik helah hanya untuk rebut kuasa – Anwar

Mesti Baca

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, landasan politik bukan sepak terajang politikus untuk sekadar mencari helah dan taktik untuk merebut kuasa.

Walaupun dalam klip video berdurasi 4.31 saat tersebut, Presiden PKR itu tidak menyebut nama sesiapa atau isu yang diulas secara spesifik tetapi ramai mengaitkan ia dengan tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd.Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan plus (PH) jika pakatan itu kembali berkuasa.

Dalam pengumuman yang kemudiannya dijelaskan oleh DAP dan Amanah perlu dibincangkan di peringkat kepemimpinan kedua-dua parti dan PH, Mahathir juga mengumumkan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri I manakala anak bekas Perdana Menteri itu, Datuk Seri Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri II.

Berikutan itu ramai yang mengaitkan klip video Anwar itu adalah jawapan balas secara tidak langsung kepada Mahathir.

Anwar memulakan klip video itu dengan menegaskan:

“Kebelakangan ini ada pelbagai suara kenyataan, tohmahan, tafsiran berhubung isu semasa, isu peralihan kuasa, isu perubahan dan sebagainya.

“Dan tentunya dalam keadaan sekarang ada yang cuba menangguk di air keruh dan cuba yang sekonyong-konyong nak muncul jadi juara sebagai tokoh hebat yang kononnya pendamai atau penyelesai, pemeterai jambatan dan sebagainya.

“Itu lumrah alam dalam keadaan begini, tetapi yang saya hendak tegaskan balik kepada landasan bahawa politik ini bukan sepak terajang politikus untuk sekadar mencari helah dan taktik untuk merebut kuasa,” kata Anwar.

Kenyataan itu dilihat seolah-olah merujuk kepada Mahathir yang ketika ini melakukan pelbagai manuver politik untuk menentukan siapa calon Perdana Menteri daripada PH selepas tindakan beliau mahu terus menduduki jawatan itu untuk kali ketiga ditolak oleh PKR walaupun disokong oleh DAP, Amanah dan Warisan.

Advertisements

Anwar menegaskan, politik adalah terkait urustadbir soal rakyat, apakah dasar yang dikemukakan akan mengekalkan corak pentadbiran usang, lapuk, rasuah dan menindas seperti yang berlaku sekarang atau dulu.

“Apakah politik ini bermakna, kita akan terus memperkayakan sanak saudara dan puak kita? Apakah politik ini tanpa dasar yang nak jaga kepentingan rakyat jelata? Tentunya soal penghayatan Islam, kedudukan orang Melayu, bumiputera dan rakyat di negara kita.

“Apakah dapat kita selesaikan dalam economic pandemic ini dasar yang boleh menyakinkan menarik pelabur, menjana perubahan, menyelesaikan sebahagian besar masalah yang dihadapi oleh rakyat terutama, rakyat yang miskin dan berpendapatan rendah,” tanya beliau.

Sehubungan itu, Anwar berkata, untuk beliau secara peribadi berdolak-dalih dan bertolak ansur dengan mengekal satu keadaan yang usang dan lama itu agak sukar.

“Saya fikir Malaysia sekarang ini dan rakyat, mampu mendepani masalah ini dan mencari jalan hala tuju baru yang mampu membawa perubahan yang benar.

“Politik dan penguasa, bukan sandaran memperkayakan diri dan keluarga untuk meneruskan nafsu serakah dan melemparkan dendam kesumat kepada orang.

“Tetapi mencari titik pendamaian, merangkul kekuatan, ini selain daripada yang saya sebutkan untuk menjamin kehidupan , kelangsungan hidup masyarakat Melayu yang juga berasa resah tetapi juga menjadikan Malaysia ini negara yang indah bagi semua, menjamin keselamatan, kesejahteraan bagi semua rakyat di negara kita,” katanya.

Anwar mengakhiri klip video itu dengan menegaskan, “…Kita tidak mahu politik (yang) akhirnya hanya helah, sepak terajang, muslihat merebut kuasa tanpa menjelaskan untuk apa kuasa itu?

“Untuk menjamin kehidupan dan kelangsungan rakyat atau hanya untuk melepaskan kehendak peribadi dan nafsu serakah atau dendam kesumat, jawapannya jelas dan harap ini akan memberi sedikit pencerahan tentang apa yang diperlukan.” – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Diskaun 50 peratus bayaran tol sempena Tahun Baharu Cina

KERAJAAN hari ini bersetuju untuk memberikan potongan tol 50 peratus daripada kadar  biasa sempena perayaan Tahun Baru Cina 2025,...

Lagi Artikel Berkaitan