26 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Maruah politik Anwar, PKR jadi taruhan

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

SEPTEMBER 1998 adalah tarikh yang sudah pasti kekal dalam lipatan sejarah politik Malaysia apabila tercetus gerakan reformasi berikutan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO.

Siapakah yang memecat Anwar? Jawapannya Tun Dr.Mahathir Mohamad yang ketika ini sedang berusaha menjadi Perdana Menteri kali ketiga. Kali pertama di bawah panji-panji Barisan Nasional (BN) dan kali kedua bersama Pakatan Harapan yang turut dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PRK) yang Anwar kini menjadi Presidennya.

Daripada musuh menjadi kawan, itulah politik walaupun pada tahun 1998 kita melihat bagaimana hebatnya penyokong –penyokong ‘menyerang’ Mahathir habis-habisan.

Mungkin kerana terperdaya dengan perjanjian bahawa Mahathir akan menyerahkan jawatan kepada Anwar selepas dua tahun menjadi Perdana Menteri, Mahathir yang dicaci maki dengan pelbagai gelaran pada tahun berkenaan diangkat sebagai ‘wira’ untuk menjatuhkan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 – tepatnya 20 tahun kemudian.

Malangnya, Mahathir sekali lagi mengecewakan penyokong PKR yang bersedia menjulang gambarnya ketika PRU-14 apabila memberi seribu satu alasan ketika sampai tempohnya untuk jawatan diserahkan kepada Anwar.

Bukan sahaja janji tidak ditunaikan, keseronokan pemimpin-pemimpin PH menjadi kerajaan turut ‘berakhir’ apabila Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, sekaligus memungkinkan Kerajaan PH tumbang.

Dan kini Mahathir mahu menjadi Perdana Menteri lagi dan cuba memeteraikan perjanjian untuk memegang jawatan itu bagi tempoh enam bulan sebelum diserahkan kepada Anwar.

Ketika ini Mahathir sudah berjaya menguasai DAP dan Amanah serta Warisan apabila ketiga-tiga parti itu menyokong beliau untuk menjadi Perdana Menteri.

DAP melalui Anthony Loke menggesa PKR menyatakan pendirian sama ada menyokong atau tidak, cadangan untuk mewujudkan gabungan Mahathir-Anwar selepas 27 tahun. Kali pertama Anwar dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri menggantikan Tun Ghafar Baba ialah pada tahun 1993.

Berdasarkan kenyataan Anthony dan pemimpin PH lain, ternyatalah Mahathir secara senyap sudah berjaya ‘menghakis’ pengaruh Anwar yang berkawan dengan DAP hampir 20 tahun dan pada masa sama meraih sokongan Amanah serta Warisan.

Advertisements

Anwar dan PKR kini boleh dianggap terkontang-kanting walaupun mempunyai kerusi lebih banyak daripada kelompok Mahathir tetapi bagaikan ‘lumpuh sebelah’ badan apabila tiga parti dalam PH menyokong ahli politik berusia 95 tahun itu untuk menjadi Perdana Menteri.

PKR berada di persimpangan, apakah menyokong cadangan gandingan Mahathir-Anwar yang belum pasti dapat melihat Anwar menjadi Perdana Menteri atau kekal sebagai pembangkang dan bertarung dalam PRU-15.

Walaupun DAP mendakwa ada cara untuk pastikan Mahathir berundur selepas enam bulan, persoalannya adakah ia termaktub atau terpakai dari segi undang-undang? Sejauh manakah mereka yakin Mahathir tidak akan ‘bersilat’ lagi ‘menepis’ desakan untuk beliau menyerahkan jawatan kepada Anwar?

Pemimpin dan penyokong PKR perlu ingat, mereka bukanlah parti yang lemah. Dengan menguasai 38 kerusi di Parlimen dan kedua tertinggi dalam PH, mereka boleh menjadi penentu sama ada Mahathir boleh menjadi Perdana Menteri sekali lagi atau tidak. Mahathir tidak ada apa-apa kekuatan.

Beliau mengharapkan sokongan DAP, Amanah dan Warisan. Dengan sokongan begitu kuat daripada tiga parti itu, tidak mustahil jika Mahathir menjadi Perdana Menteri, beliau akan lebih cenderung untuk memberi kelebihan kepada ketiga-tiga parti itu kerana tahu mereka juga boleh menjadi penentu sama ada beliau perlu atau tidak menyerahkan jawatan kepada Anwar.

Oleh itu PKR perlu bijak membuat perhitungan politik kali ini. Jangan terperdaya lagi dengan politik Mahathir, tidak cukupkah lagi dengan pengorbanan sia-sia mereka lakukan apabila mencetuskan gerakan reformasi pada 1998 tetapi 20 tahun kemudian ‘tunduk’ kepada individu yang paling mereka musuhi satu ketika dahulu?

Mahathir sekarang bukanlah Mahathir yang mereka hadapi 20 tahun lalu. Mahathir dahulu cukup berkuasa kerana berada dalam sebuah parti yang menjadi dominan dalam BN, tetapi sekarang, masa Mahathir mengharapkan ehsan dan simpati parti politik lain termasuklah PKR untuk menyambung hayat politiknya.

Ketika inilah Anwar dan PKR perlu membuktikan mereka bukanlah parti picisan yang boleh dipinggirkan begitu sahaja oleh Mahathir. Tiada salahnya untuk PKR terus mempertahankan agenda mereka untuk meletakkan Anwar sebagai Perdana Menteri, sama ada ia akan tercapai sekarang atau selepas PRU-15 biarlah masa menentukan.

Yang pasti mereka tidak boleh tunduk kepada Mahathir. Kalaulah kali inipun mereka memberi laluan kepada Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri dengan apa juga alasan yang sekadar ‘menghalalkan dan menyembunyikan kejahilan mereka berpolitik’.

Sia-sia sahaja memulakan perjuangan untuk menjatuhkan Mahathir tetapi akhirnya dua kali meletakkan semula beliau sebagai Perdana Menteri. Kalau itu berlaku, ‘Maka tergadailah maruah perjuangan PKR sekali lagi.- Tahniahlah, bijak PKR berpolitik.

Advertisements

Terkini

Pemuda UMNO gesa ‘haramkan’ Prof Gilley masuk Malaysia

PEMUDA UMNO Malaysia hari ini mendesak kerajaan mengharamkan seorang ahli akademik pro-zionis Israel, Bruce Gilley daripada memasuki negara ini. Ketuanya,...

Lagi Artikel Berkaitan