32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Mahathir terus pertahan DAP, ‘serang’ Muhyiddin

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

SEJAM selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membentangkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dalam usaha membantu rakyat dan negara bangkit semula melalui pemulihan ekonomi akibat serangan Covid-19 semalam, Tun Dr. Mahathir Mohamad pula mengadakan sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

Yayasan tersebut dirasmikan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 10 Mei 2005. Tiga tahun kemudian, Abdullah  meletakkan jawatan selepas Barisan Nasional (BN) mencatatkan keputusan paling buruk dalam sejarah termasuk kehilangan majoriti dua pertiga dan kritikan Mahathir kepada Abdullah turut menjadi penyumbang kepada prestasi parti berkenaan.

Jika pada Khamis, Mahathir mengadakan perbincangan dengan pemimpin DAP dan Warisan yang turut dihadiri anaknya, Datuk Seri Mukhriz yang sudah tentu membincangkan bagaimana mahu menjatuhkan Muhyiddin dan Kerajaan Perikatan Nasional (PN), di Yayasan Kepimpinan Perdana pula ia menjadi lokasi untuk beliau melancarkan ‘serangan’ ke atas pemimpin-pemimpin dalam UMNO dan Bersatu serta melemparkan pelbagai tuduhan kepada kerajaan.

Pada sidang media tersebut, Mahathir terus melakukan ‘serangan’ ke atas Muhyiddin yang memimpin Kerajaan PN dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi sekali lagi mempertahankan DAP.

Seperti mana sebelum ini, Mahathir kelihatan marah apabila orang Melayu masih menolak DAP – parti ‘yang semakin beliau sayang’ sejak bergabung dalam Pakatan Harapan (PH).

Mahathir secara terbuka menuduh Najib bertanggungjawab mewujudkan propaganda politik bahawa DAP akan menguasai kerajaan sedangkan parti itu hanya mempunyai enam menteri dalam Kerajaan PH. 

Untuk rekod enam pemimpin DAP yang menjadi menteri sebelum ini ialah Lim Guan Eng (Menteri Kewangan), Teresa Kok Suh Sim (Industri Utama), Anthony Loke (Pengangkutan), Gobind Singh Deo (Komunikasi dan Multimedia), M.Kulasegran (Sumber Manusia) dan Yeo Bee Yin (Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan, Iklim dan Alam Sekitar).

Manakala enam Timbalan Menteri daripada DAP ialah Teo Nie Ching (Pendidikan), Steven Sim (Belia dan Sukan), Hannah Yeoh (Wanita dan Masyarakat), Dr.Ong Kian Ming (Perdagangan Antarabangsa), Chong Chieng Jen (Hal Ehwal Pengguna) dan Tengku Zulpuri Shah (Air, Tanah dan Sumber Asli).

Malang sekali Mahathir lupa, apa yang diperkatakan  bukan soal berapa banyak wakil DAP dalam Kabinet tetapi berapa ramai ahli Parlimen parti itu di Dewan Rakyat. Ketika ini parti itu mempunyai 42 kerusi – satu jumlah yang meletakkan mereka sebagai parti yang mempunyai kerusi terbanyak di Parlimen, selepas jumlah kerusi PKR berkurangan daripada 49 kerusi kepada 39 kerusi.

Mahathir pernah berkata, Kerajaan PN tidak akan mampu bertahan lama jika satu demi satu rang undang-undang tidak mendapat sokongan di Dewan Rakyat kerana ditolak oleh pembangkang.

Persoalannya dengan jumlah 42 kerusi tersebut tidakkah ia boleh mewujudkan pandangan bahawa DAP dilihat sebagai parti ‘paling berkuasa’ sama ada di Dewan Rakyat mahupun kerajaan?

Telatah terbaru bekas Perdana Menteri itu menyebabkan pelbagai pihak membuat tafsiran bahawa Mahathir adalah antara ‘penyumbang’ yang memperkukuhkan kedudukan DAP di Parlimen.  Sejarah pilihan raya umum membuktikan bagaimana dalam pilihan raya umum 2004, DAP hanya mampu menang 12 kerusi Parlimen sahaja.

Bagaimanapun pada 2008, jumlah tersebut meningkat kepada 28 kerusi? Kenapa? Sebab ketika itu Mahathir mengkritik kepemimpinan Abdullah sehingga ia turut menjejaskan sokongan pengundi Cina kepada Barisan Nasional (BN) khususnya kepada MCA dan Gerakan.

Kejayaan itu membolehkan mereka memperkukuhkan kedudukan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PPRU-13) dengan memenangi 38 kerusia Parlimen.

‘Jasa politik terbesar’ Mahathir kepada DAP ialah dalam PRU-14 tindakan beliau menyerang Najib dan menubuhkan Bersatu serta menyertai PH membolehkan DAP memenangi 42 kerusi (penambahan empat kerusi berbanding pilihan raya umum 2013) sekaligus menjadi salah satu parti dalam kerajaan pusat buat pertama kali dalam sejarah .

Walaupun kehadiran Mahathir sebenarnya tidak begitu disenangi oleh sesetengah pemimpin DAP, tetapi hubungan Mahathir dengan parti itu semakin akrab.

Apabila PH menjadi kerajaan, memandangkan DAP mempunyai kerusi kedua terbanyak dalam pakatan berkenaan ketika itu, Guan Eng dilantik menduduki jawatan Menteri Kewangan. Guan Eng kemudiannya melantik Tony Pua sebagai Setiausaha Politik.

‘’Walaupun ada cakap-cakap Mahathir tidak menyenangi Tony Pua, namun semua itu hanyalah ‘khabar angin’ kerana kalau betul Mahathir tidak suka kepada Ahli Parlimen Damansara itu mana mungkin beliau terus berada dan berkhidmat di Kementerian Kewangan sehingga kerajaan PH tumbang,’’ kata seorang pemerhati politik yang pernah berurusan dengan kementerian tersebut kepada penulis.

Selepas 22 bulan berkawan rapat, berdasarkan hujkah beliau dan ketegasan beliau mempertahankan DAP, bagi Mahathir, DAP adalah parti sempurna, jauh lebih hebat daripada MCA mahupun Gerakan. Hakikatnya tidak salah untuk Mahathir terus mempertahankan DAP dan memperkukuhkan sokongan kepada DAP serta ‘merindui’ untuk bekerja dengan pemimpin-pemimpin parti tersebut dalam Kabinet, tetapi kenapa perlu ‘menyerang’ pemimpin-pemimpin Bersatu dan UMNO habis-habisan?

Tidakkah tindakan itu hanya akan menyebabkan orang Melayu akan terus berpecah dan melemahkan kuasa politik mereka? Mahathir tahu apa yang beliau lakukan dan kesannya tetapi mungkin kebencian dan dendam kesumat sudah menguasai ahli politik berusia 95 tahun tersebut, apa boleh buat?

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Edisi 9.

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan