31.4 C
Kuala Lumpur
Wednesday, June 7, 2023

Politik ‘anak bapak’ gugat Mukhriz?

Mesti Baca

Zulkiflee Bakar
Penulis Khas Edisi 9

DATUK SERI MUKHRIZ MAHATHIR tidak boleh marahkan Pas apabila parti itu berjaya meraih sokongan 23 ADUN untuk menyokong pembentukan kerajaan oleh Perikatan Nasional (PN) di Kedah.

Sebaliknya, Mukhriz perlu bertanya dan bermuhasabah adakah cara serta pendekatan politik beliau selama ini adalah betul?

Penulis sudah beberapa kali bertemu dengan anak Tun Mahathir Mohamad ini. Orangnya baik, berbudi bahasa dan melihat cara beliau mendekati rakyatpun, kita rasa kagum.

Malah penulis sendiri ketika itu yakin Mukhriz mampu pergi jauh dalam dunia politik. Mungkin atas faktor inilah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Mukhriz diletakkan harapan oleh Barisan Nasional (BN) merampas Kedah daripada Pas.

Misi itu berjaya. Bagaimanapun tiga tahun kemudian, Mukhriz meletakkan jawatan apabila beliau kehilangan sokongan daripada ADUN dan mendakwa ia berlaku berikutan kritikan beliau ke atas Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu 1MDB.

Pada 2006, kedudukan politik Mukhriz hampir sahaja terjejas apabila beliau memberi komen terhadap ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, bagaimanapun beliau telah memohon maaf di atas keterlanjuran tersebut.

Kedua-dua peristiwa itu dikaitkan dengan sikap Mukhriz yang dilihat terikut-ikut dengan corak politik bapanya. Keadaan itu menyebabkan Mukhriz dilihat tidak ada pendirian  dalam mengatur strategi untuk memantapkan kedudukannya dalam politik.

Mungkin benar sebagai anak, Mukhriz perlu patuh dengan kehendak bapanya tetapi Mukhriz juga sepatutnya mempunyai fikiran sendiri dan bukannya dilihat ikut sahaja rentak politik Mahathir.

Baca juga:   Cukuplah Tun, kalaupun 'sayang' DAP, janganlah fitnah Muhyiddin

Kalau Mukhriz mahu menjadi anak yang baik dan tidak mahu dilihat menderhaka kepada bapanya, lebih baik berundur daripada politik. Tiada guna berada dalam politik tetapi dilihat hanya mengikut sahaja pendekatan bapanya. Inilah persepsi yang wujud dalam kalangan rakyat khususnya di Kedah.

Baca juga:   Zuraida sertai PBM, lepas jawatan sebagai menteri

Penulis masih ingat, ketika Mukhriz kali pertama menjadi Menteri Besar (MB), penulis bertanya kepada seorang veteran UMNO apa pandangan beliau mengenai Mukhriz, warga emas itu tidak bercakap banyak sekadar berkata, ‘Mukhriz bukan Mahathir.’

Sememangnya Mukhriz bukan Mahathir dan tidak mungkin Mukhriz akan jadi Mahathir. Kalau mahu dibandingkan keupayaan politik antara kedua-dua beranak itu, ia bagaikan langit dan bumi.

Kita pun tahu keadaan ini, tetapi apa yang kita mahu lihat ialah Mukhriz berpolitik dengan gaya sendiri dan bukan mengikut irama atau rentak bapanya.

Bukan kata Mukhriz malah sesiapapun ahli politik di Malaysia belum tentu dapat menandingi rekod politik Mahathir yang menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali. Kali pertama 22 tahun bersama Barisan Nasional (BN) dan kali kedua 22 bulan bersama PH.

Malah mungkin tiada siapa dapat menyaingi ‘kehebatan’ Mahathir menjatuhkan dua Perdana Menteri iaitu Abdullah dan Najib, kini sedang ‘cari pasal’ dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perjalanan politik Mukhriz masih panjang. Beliau hakikatnya memiliki keupayaan dan kemampuan untuk menjadi pemimpin yang baik tetapi perlu mengasingkan diri daripada terlalu sangat dilihat ‘anak bapak’. 

Mukhriz perlu bangkit dan bergerak atas keupayaan sendiri.

Kini beliau menaruh impian untuk menumpaskan Muhyiddin bagi jawatan Presiden Bersatu, soalnya mampukah beliau berbuat demikian ke atas ahli politik berpengalaman tersebut?

Baca juga:   Gencatan politik: Mesej untuk Zahid, impian Anwar lebur

Jika tanpa jawatan MB dan pertelingkahan yang semakin memuncak antara bapanya dengan Muhyiddin ditambah pula populariti Mahathir yang semakin merudum dalam kalangan rakyat khususnya orang Melayu, impian Mukhriz mungkin hanya tinggal impian.

Memetik kata-kata Pengarah Pilihan Raya Pas, Muhammad Sanusi Md.Nor, “Saya bersimpati (Mukhriz) sebagai pemimpin yang terpaksa berdepan senario seperti itu dalam kerjayanya, saya bersimpati. Dia patut ambil tindakan untuk bersama-sama Muhyiddin, dia tidak akan kena (berdepan dengan perkara ini).’’

Apakah kejatuhan Mukhriz di Kedah memberi isyarat Muhyiddin mula mengatur tindak balas lebih tegas bagi mempertahankan kedudukannya?

Entahlah…apa yang pasti Mukhriz tumbang dan tersingkir kerana PKR memecat ADUN-nya dan ia disusuli dengan tindakan empat ADUN Bersatu memberi sokongan kepada PN.

Mukhriz tidak boleh marah kepada empat ADUN Bersatu tersebut kerana mereka bukan bin atau binti Mahathir, sebaliknya mereka adalah ahli politik yang perlu mengikut arus dengan menyokong Muhyiddin – inilah yang orang Kedah kata, ‘otak geliga’.

Baca juga:   Jiwa besar bukan ‘lesen’ untuk perkotak-katikkan Pas

Yang lebih menarik apabila Mukhriz hari ini menyatakan beliau masih lagi MB Kedah dan dilihat mahu terus bertahan walaupun tiada sokongan majoriti ADUN,  orang mula bertanya adakah itu kehendak beliau atau bapanya.

Mungkin pandangan itu tidak betul tetapi itulah cabarannya apabila kita dilihat ‘anak bapak’. – Edisi 9

Wartawan

Terkini

13 kontena di Northport Pelabuhan Klang musnah

SEBANYAK 13 buah kontena yang mengandungi bahan mudah terbakar jenis aerosol musnah dalam kebakaran dekat Northport, Jalan Pelabuhan Utara...

Lagi Artikel Berkaitan