30.3 C
Kuala Lumpur
Monday, May 20, 2024
Home Blog Page 1696

Moratorium: Zahid, Najib berbeza pendapat

KUALA LUMPUR – Isu moratorium meresahkan rakyat ketika seluruh negara berdepan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apatah lagi Bank Negara Malaysia (BNM) dikatakan membuat pusingan U berhubung perkara itu.

Mac lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan kerajaan bersetuju untuk memberi moratorium secara automatik bagi pembayaran balik pinjaman termasuk pinjaman sewa beli kenderaan dan pinjaman peribadi selama enam bulan bulan mulai April sehingga September.

Tup-tup semalam, BNM berkata, kadar faedah akan dikenakan terhadap pinjaman sewa beli kenderaan serta tidak diberikan secara automatik, sekaligus bercanggah dengan keputusan kerajaan sebelum ini,

Sehubungan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahukan penjelasan segera dari pihak kerajaan berhubung keputusan baharu tersebut yang sudah tentu membebankan rakyat ketika mereka berhadapan situasi sukar pada masa kini.

“Keputusan ini lebih memihak kepada kepentingan industri perbankan. Mengubah polisi demi menjaga kepentingan sektor kewangan di saat rakyat dan sektor-sektor lain sedang bergelut dengan bebanan kewangan adalah sesuatu yang mengecewakan rakyat.

“Keluhan dan kegelisahan rakyat berkaitan moratorium pinjaman sewa beli perlu diselesaikan segera. Kerajaan digesa mencari solusi terbaik bagi merungkai kemelut ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, rakyat tidak hari dibebankan lagi selepas mereka kehilangan punca pendapatan, pemotongan gaji, diberikan cuti tanpa gaji, diberhentikan kerja dan tidak dapat menjalankan perniagaan.

Berbeza pula dengan pandangan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendapati keputusan dibuat oleh BNM itu sebenarnya sudah dijelaskan semasa pengumuman mengenai moratorium tersebut.

“Pada 25 Mac lagi, BNM telah menegaskan bahawa faedah terakru tetap akan dikira walaupun bayaran ansuran ditangguh 6 bulan. Bisnes sebuah bank adalah amat mudah. Bank akan terima dana deposit daripada pelanggan mereka.

“Lepas itu, bank akan gunakan dana dari deposit-deposit ini untuk beri pinjaman kepada pelanggan lain. Bank akan mengenakan faedah ke atas peminjam mereka dan sebahagian wang ini setelah ditolak untung bank akan dibayar sebagai faedah kepada pendeposit mereka.

“Jika bank tak kenakan faedah ke atas pinjaman maka bank juga tak mampu bayar faedah kepada pendeposit,” katanya menerusi Facebooknya, semalam.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa kekeliruan berhubung faedah ke atas pinjaman sewa beli dan pinjaman Islamik berpunca beberapa penulis blog dan portal yang salah faham apa yang dimaklumkan oleh BNM. – Edisi 9

6 kali kad pengenalan Malaysia berubah wajah

SEKARANG tengah kecoh tentang dakwaan pendatang asing memiliki MyKad di negara ini sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.

Sama ada dakwaan itu benar atau sebaliknya, ia bergantung kepada hasil siasatan oleh pihak berkuasa.

Pada masa yang sama timbul cadangan supaya MyKad sedia ada digantikan dengan kad pengenalan baharu yang mempunyai ciri-ciri canggih agar sukar untuk dipalsukan.

Jika kerajaan melaksanakan cadangan tersebut, maknanya kad pengenalan yang memaparkan identiti pemegangnya bakal mengalami evolusi sebanyak tujuh kali di Semenanjung Malaysia dan Sarawak serta enam kali di Sabah.

Walaupun ramai yang tumpang sekaki membahaskan isu MyKad, mungkin hanya segelintir sahaja yang mengetahui sejarahnya.

Kad pengenalan yang pertama dikeluarkan pada tahun 1948 di Semenanjung Malaysia atau dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu ketika itu.

Dokumen yang dalam bentuk kertas itu digunakan sebagai salah satu kaedah untuk mengekang kegiatan pengganas komunis yang berleluasa ketika Darurat.

Maknanya, sesiapa sahaja yang gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri apabila diminta oleh pasukan keselamatan boleh menyebabkan dia disyaki sebagai anggota Parti Komunis Malaya (PKM).

Satu perkara yang menarik, kad pengenalan yang pertama itu juga dikenali sebagai ‘kad beras’ kerana orang ramai perlu menunjukkan dokumen berkenaan untuk mendapatkan bekalan beras yang dicatu.

Kad yang tidak berlapik plastik serta memaparkan gambar hitam putih, cap ibu jari kanan dan maklumat tempat asal pemegangnya digunakan sehingga tahun 1960.

Selepas itu, kad pengenalan (plastik) Semenanjung Malaysia yang popular dengan gelaran ‘IC biru’ mula dikeluarkan.

Ciri-cirinya termasuk gambar hitam putih, alamat dan cap ibu jari kiri serta kanan pemegang kad.

Memang lama bertahan ‘IC biru’ ini dan ia seterusnya digantikan dengan kad pengenalan bermutu tinggi pada 1990.

Pada peringkat permulaan, kad pengenalan baharu yang turut dikenali sebagai ‘IC bunga raya’ itu menggunakan gambar hitam putih dan gambar berwarna mula dipaparkan sembilan tahun kemudian.

Ramai juga yang pening semasa mula menggunakan kad pengenalan bermutu tinggi kerana ia mempunyai nombor pengenalan diri 12 digit berbanding tujuh digit bagi ‘IC biru’.

Sebenarnya yang perlu dihafal adalah empat digit terakhir yang unik dan dijana secara rawak oleh sistem Jabatan Pendaftaran Negara bagi setiap individu.

Nombor ganjil menunjukkan jantina pemegang kad ialah lelaki manakala wanita pula mempunyai nombor genap.

Enam digit yang pertama merupakan tarikh lahir pemegang dalam format tahun/bulan/hari, jadi memang tiada masalah besar untuk menghafalnya.

Digit yang kelima dan keenam adalah kod negeri kelahiran pemegang kad iaitu 01, 21, 22, 23, 24 bagi Johor diikuti Kedah (02, 25, 26, 27), Kelantan (03, 28, 29), Melaka (04, 30), Negeri Sembilan (05, 31, 59), Pahang (06, 32, 33) dan Pulau Pinang (07, 34, 35)

Kod bagi negeri-negeri lain adalah Perak (08, 37, 38, 39), Perlis (09, 40), Selangor (10, 41, 42, 43, 44), Terengganu (11, 03, 06, 45, 46), Sabah (12, 47, 48, 49), Sarawak (13, 50, 51, 52, 53), Kuala Lumpur (14, 54, 55, 56, 57), Labuan (15, 58), Putrajaya (16) dan luar negara (71).

Bagi anggota polis, kod 88 tertera pada kad pengenalan bermutu tinggi mereka manakala anggota tentera diberikan kod 99.

Apabila mereka bersara, kod negeri akan diubah mengikut kod negeri kelahiran masing-masing.

Kad pengenalan pelbagai guna kerajaan atau MyKad yang mula digunakan pada 2001 diperbuat menggunakan polikarbonat dan mempunyai cip bagi mencegah kegiatan pemalsuan.

MyKad juga boleh digunakan sebagai kad ATM atau membayar tol di lebuh raya.

Sebelum tahun 2000, kanak-kanak yang berusia di bawah 12 tahun tidak mempunyai kad pengenalan dan sijil kelahiran digunakan sebagai dokumen kelahiran diri.

Mulai penghujung tahun 2000, MyKid yang berwarna merah jambu mula dikeluarkan untuk setiap bayi warganegara Malaysia yang baru lahir.

Kid sebenarnya akronim bagi ‘kad identiti diri’ atau perkataan bahasa Inggeris yang bermaksud ‘kanak-kanak’.

Nombor pengenalan diri yang tertera pada MyKid akan terus digunakan apabila kanak-kanak terbabit menukar kepada MyKad untuk kali pertama ketika berumur 12 tahun dan kali kedua sebaik sahaja mencecah usia 18 tahun.

Kad pengenalan turut dikeluarkan kepada pemastautin tetap (MyPR) dan pemastautin sementara (MyKAS).

Evolusi kad pengenalan Malaysia yang terakhir berlaku pada tahun 2012 di mana MyKad versi baharu turut memaparkan gambar kecil pemegangnya dalam hitam putih.

Andainya kerajaan bersetuju untuk mengeluarkan kad pengenalan yang baharu, bagaimanakah rupanya nanti? – Edisi 9

Liga ditamatkan awal, PSG diumumkan juara

PARIS Saint-Germain (PSG) diumumkan sebagai juara Ligue 1 Perancis bagi musim 2019-2020 setelah liga itu ditamatkan lebih awal berikutan wabak Covid-19.

Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Liga Profesional Perancis (LFP) pada Khamis dan ia disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LFP, Didier Quillot dengan mengambil kira kedudukan mata terkini.

Sementara itu, Lorient yang menduduki tangga teratas Ligue 2 pula yang ditamatkan pada bulan lalu diumumkan sebagai juara dan naik ke Ligue 1.

Dengan keputusan itu, PSG layak ke Liga Juara-juara bersama Marseille yang menduduki tangga kedua liga manakala Rennes (ketiga) akan bersaing dalam sesi kelayakan sementara Lille akan bersaing di Liga Eropah musim depan.

Pun begitu Quillot masih berharap persaingan dalam kejohanan piahal Perancis itu dapat disambung pada Ogos ini secara tertutup tanpa kehadiran penonton, namun perkara itu perlu mendapat kelulusan UEFA dan Liga Eropah.

“Kami memang bersedia untuk menamatkan musim ini seperti Jerman dan Sepanyol,” kata Quillot sambil mengesahkan akan memulakan musim baharu menjelang 22 Ogos.

“Bagaimanapun ia bergantung kepada keputusan kerajaan,” katanyanya seperti dilapor Daily Mail UK.

Beliau juga mengesahkan dua pasukan akan turun ke Ligue 2 manakala dua pasukan akan dinaikkan ke liga utama.

Ini bermakna Lens akan mengiringi Lorient ke Ligue 1 sementara Amiens Toulouse akan diturunkan ke Ligue 2.

Sehingga kini, sebanyak 167,178 kes Covid-19 menular di seluruh Perancis dengan merekodkan lebih 24,000 kematian. – AGENSI

Covid-19: Kes jangkitan tempatan terus rendah, 32 kes terbaru

0

PUTRAJAYA – Rakyat boleh menarik nafas lega apabila kes-kes jangkitan Covid-19 tempatan terus mencatatkan jumlah yang rendah walaupun jumlah keseluruhan masih tinggi kerana jumlah kes tersebut dicampur dengan kes import melibatkan rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara.

Selepas mencatatkan kes jangkitan tempatan paling rendah dua hari lepas iaitu 21 kes, kadar kes baru daripada jangkitan tempatan terus mencatatkan jumlah yang rendah apabila mencatatkan 22 kes tempatan semalam dan 32 kes tempatan hari ini.

Walaupun jumlah kes keseluruhan jangkitan baru kelihatan masih tinggi iaitu 57 hari ini, 94 semalam dan 31 dua hari lepas, tetapi kebanyakan daripda kes tersebut adalah kes import atau kes yang melibatkan rakyat Malaysia atau pelajar di luar negara yang pulang ke tanah air.

Dalam sidang akhbar hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 57 kes baru yang dilaporkan setakat pukul 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini sebanyak 6,002 kes.

“Daripada 57 kes baru hari ini, 25 adalah kes import, manakala 32 kes melibatkan penularan tempatan,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Semalam, jumlah kes baharu adalah 94 kes tetapi 72 daripadanya adalah kes import dan kes tempatan mencatatkan jumlah terendah iaitu 22 kes sahaja.

Manakala, dua hari lepas, keseluruhan kes adalah 31 kes, jumlah keseluruhan terendah tetapi 10 daripadanya adalah kes import dan 21 daripada kes penularan tempatan.

Dr. Noor Hisham berkata, jumlah keseluruhan kes setakat ini adalah sebanyak 6,002 kes dan bilangan kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula sebanyak 1,729 kes. – EDISI9

Golongan tercicir rayu benarkan pengeluaran Akaun 1 KWSP

0

WALAUPUN ramai rakyat yang merayu agar mereka dibenarkan untuk mengeluarkan sebahagian dana Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sehingga kini masih belum ada maklum balas daripada kerajaan.

Suara rakyat itu pernah dilaporkan dalam portal Cari melalui artikel bertajuk Rakyat Semakin Terhimpit, Rayu Kerajaan Benarkan Pengeluaran Akaun 1 KWSP pada 21 April 2020.

Rayuan pencarum KWSP yang kini hidup dalam kesempitan turut dicoretkan dalam blog Tukang Tulis menerusi catatan bertajuk Wajarkah Kerajaan Benarkan Pengeluaran Wang Akaun 1 KWSP Untuk Bayar Sewa Rumah? pada 25 April 2020.

Tidak dinafikan, keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran di bawah skim i-Lestari dengan jumlah maksimum RM6,000 selama setahun dari Akaun 1 KWSP membolehkan ramai pencarum menarik nafas lega.

Kredit: Facebook KWSP

Sekurang-kurangnya wang RM500 sebulan hasil penat lelah mereka bekerja boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan asas semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun, masih ada golongan yang tertinggal kerana sebahagian daripada pencarum tidak mempunyai baki yang mencukupi dalam Akaun 2.

Sebelum ini, mereka telah membuat pengeluaran untuk tujuan pembelian rumah, menampung kos perubatan atau membiayai pendidikan anak-anak.

Difahamkan, mereka perlu menunggu sehingga umur 55 tahun untuk membuat pengeluaran penuh atau bulanan dari Akaun 1.

Dalam situasi yang normal, mereka pasti tidak ada masalah menunggu sehingga lima tahun lagi.

Kita semua tahu bahawa pandemik COVID-19 telah mengubah definisi ‘normal’ dan memerlukan rakyat melakukan pengubahsuaian demi kelangsungan hidup masing-masing.

Hakikatnya, ramai yang tidak bersedia untuk menangani kesan ekonomi akibat COVID-19.

Gambar hiasan. (Kredit: Inzmam Khan / Pexels)

Ada yang hilang pekerjaan malah sebahagian daripada mereka memang bergelar penganggur sebelum COVID-19 melanda.

Lebih malang lagi, mereka tidak menerima sepenuhnya bayaran pampasan atau tidak diberi pampasan langsung apabila syarikat tiba-tiba gulung tikar.

Bagi yang masih muda, mereka masih ada peluang untuk mencari pekerjaan di tempat lain.

Sebaliknya, mereka yang berumur lebih 40 tahun agak sukar mencari pekerjaan baharu kerana kebanyakan majikan lebih suka mengambil pekerja yang kurang pengalaman supaya dapat dibayar gaji yang lebih rendah.

Dalam kepayahan, golongan penganggur matang ini memilih untuk bekerja sendiri dengan menjadi berniaga atau menawarkan kepakaran sebagai pekerja bebas.

Seperti sudah jatuh ditimpa tangga, sumber pendapatan golongan ini terjejas teruk selepas PKP dikuatkuasakan dan mereka juga telah bergolok-gadai dan mengeluarkan wang simpanan yang tidak seberapa.

Maka, besarlah harapan mereka agar kerajaan membenarkan mereka mengeluarkan sebahagian wang Akaun 1 kerana itu sahaja simpanan mereka yang masih ada.

Pencarum faham bahawa KWSP mempunyai kekangan untuk membenarkan pengeluaran wang Akaun 1 yang dikhususkan untuk kegunaan selepas persaraan.

Cuma dalam situasi yang sangat mendesak ketika ini, KWSP seharusnya bersikap lebih fleksibel kerana ramai pencarum yang terpaksa bersara lebih awal sebelum waktunya.

Terserahlah kepada kebijaksanaan kerajaan untuk menentukan syarat-syarat pengeluaran sekiranya pengeluaran Akaun 1 khusus untuk menangani kesan COVID-19 diluluskan.

Apa yang pasti, golongan pencarum yang tercicir ini amat mengharapkan Perdana Menteri kita yang prihatin, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan sesuatu yang menggembirakan sebelum Aidilfitri tiba. – Edisi 9

Covid-19: Sektor penerbangan jatuh mendadak pada Mac

0

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menyifatkan Mac sebagai bulan bencana kepada industri penerbangan berikutan permintaan yang diukur daripada penumpang mengikut kilometer (RPK) jatuh mendadak 52.9 peratus berbanding tahun lepas.

Ini merupakan penurunan yang terbesar dalam sejarah, mencerminkan impak daripada langkah kerajaan untuk memperlahankan penularan Covid-19, kata IATA yang mewakili 290 syarikat penerbangan yang terdiri daripada 82 peratus trafik udara global.

Bagi data pelarasan musim, jumlah penumpang global kembali kepada paras yang kali terakhir dilihat pada 2006.

Kapasiti Mac (tempat duduk tersedia mengikut kilometer (ASK) susut 36.2 peratus dan faktor muatan jatuh mendadak 21.4 mata peratusan kepada 60.6 peratus, kata IATA dalam kenyataan hari ini.

“Mac merupakan bulan bencana bagi penerbangan. Syarikat penerbangan secara progresif merasakan peningkatan impak daripada penutupan sempadan dan sekatan pergerakan berikutan COVID-19, termasuk di pasaran domestik.

“Permintaan berada pada paras yang sama seperti 2006, namun kami mempunyai pesawat dan pekerja untuk menggandakannya. Lebih memburukkan apabila kita tahu keadaan semakin merosot pada April dan kebanyakan isyarat menuju ke arah pemulihan yang perlahan,” kata Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Alexandre de Juniac.

Permintaan penumpang antarabangsa bagi Mac 2020 menguncup 55.8 peratus berbanding Mac 2019.

Ia lebih buruk berbanding penurunan 10.3 peratus tahun ke tahun pada Februari.
Semua rantau merekodkan penyusutan peratusan trafik dua angka. Kapasiti merosot 42.8 peratus dan faktor muatan menjunam 18.4 mata peratusan kepada 62.5 peratus, jelas IATA.

“Syarikat penerbangan Asia Pasifik mendahului penurunan itu memandangkan trafik Mac jatuh 65.5 peratus berbanding tahun lepas, iaitu melebihi dua kali ganda penurunan 30.7 peratus pada Februari. Kapasiti turun 51.4 peratus dan faktor muatan jatuh 23.4 mata peratusan kepada 57.1 peratus,” katanya.

Permintaan bagi perjalanan domestik menguncup 47.8 peratus pada Mac berbanding Mac 2019 dengan peratusan penurunan dua angka di seluruh pasaran.
Ia berbanding kejatuhan 21. 3 peratus tahun ke tahun pada Februari. Kapasiti susut 24.5 peratus dan faktor muatan menjunam 26.0 mata peratusan kepada 58.1 peratus. – Bernama

Jangan benci Rohingya, mereka dizalimi – Tun M

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta rakyat negara ini agar tidak membenci masyarakat Rohingya yang berada di negara ini dan juga menghalau tanpa belas kasihan terhadap golongan itu yang cuba memasuki negara ini melalui jalan laut.

Bekas Perdana Menteri dalam blognya: chedet.cc sebaliknya mendangkan agar kerajaan Malaysia memberikan bekalan makanan dan minyak kepada bot-bot tersebut agar mereka dapat pergi ke negara lain atau pulang ke negara asal.

Berikut ialah petikan penuh tulisan Dr. Mahathir di dalam blognya yang disiarkan hari ini:-

  1. Saya sedar kenapa orang Melayu sekarang begitu benci kepada orang Rohingya.
  2. Dahulu mereka benci kepada pelarian dari Vietnam. Pada mulanya, orang Melayu bersimpati dengan orang Rohingya. Dan orang Rohingya pun pilih untuk datang ke Malaysia kerana simpati dari kita.
  3. Tetapi apabila jumlah menjadi begitu ramai dan ada perbuatan pelarian ini yang menyentuh perasaan orang Melayu, maka simpati bertukar jadi benci.
  4. Sesungguhnya kita telah beri terlalu banyak suaka kepada pelarian. Mereka sepatutnya pergi ke negara lain. Dan negara lain juga perlu buka pintu mereka.
  5. Tetapi menghalau bot berisi 400 pelarian sehingga mereka berada di laut sampai dua bulan adalah tindakan yang tidak berperikemanusiaan.
  6. Apa yang patut dilakukan ialah membekal mereka dengan makanan dan minyak supaya mereka dapat pergi ke negara lain atau balik ke Myanmar.
  7. Kita sepatutnya kecam Myanmar dan Aung San Suu Kyi kerana kezaliman mereka dan bertindak menolak dagangan dengan mereka.
  8. Kita juga perlu meminta Bangsa-Bangsa Bersatu mengambil tindakan terhadap Myanmar. Kita juga perlu dedahkan kezaliman Myanmar kepada dunia.
  9. Janganlah kita benci kepada orang Rohingya yang menjadi mangsa kezaliman. Negara-Negara Islam dan OIC perlu bertindak untuk menghentikan kezaliman oleh Myanmar. – EDISI9

Rakyat kini boleh keluar berdua membeli barangan

0

KUALA LUMPUR – Jika sebelum ini, kita sering melihat para suami sering menelefon isteri bertanyakan mengenai barangan keperluan di kedai runcit atau pasar raya, mungkin selepas ini masalah itu tidak akan wujud lagi.

Keadaan itu berlaku kerana sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hanya seorang ketua keluarga sahaja yang dibenarkan keluar membeli barang keperluan.

Bagaimanapun, mulai hari ini kerajaan telah membenarkan ketua keluarga membawa bersama salah seorang ahli keluarga mereka.

Kebenaran terbaru dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa keempat hari ini itu dapat dilihat dalam satu warta persekutuan yang menyebut individu yang keluar itu kini dibenarkan keluar bersama ahli keluarga dari kediaman yang sama.

Peraturan tersebut tertulis di dalam Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang diwartakan semalam.

Peraturan yang dikemaskini itu diterbitkan dalam warta kerajaan mengikut kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu berkuat kuasa mulai hari ini hingga 12 Mei depan.

Seksyen 4(1)(a)(ii) peraturan itu, yang telah dikemaskini mengenai kebenaran seseorang individu yang keluar membeli makanan, ubat, keperluan harian atau barangan lain untuk membawa salah seorang anggota keluarga yang tinggal serumah.

Sebelum ini, mana-mana individu yang ingin membeli barang keperluan di kawasan yang dijangkiti “tidak boleh disertai mana-mana orang lain, melainkan jika adalah semunasabahnya perlu baginya untuk disertai mana-mana orang lain.”

Peraturan yang dikemaskini itu juga memperluas barangan yang boleh dibeli oleh orang ramai.

Peraturan sebelum ini menyatakan bahawa orang ramai hanya boleh meninggalkan rumah mereka untuk membeli “makanan, ubat, penokok diet atau keperluan harian.”

Walau bagaimanapun, peraturan terbaru ditandatangani oleh Menteri Kesihatan Adham Baba itu menambah”apa-apa barang lain daripada mana-mana penyedia perkhidmatan perlu” ke dalam senarai berkenaan. – EDISI9

PKP: Pasangan lega dapat nikah selepas tertangguh sebulan

0

LANGKAWI – Selepas lebih sebulan tertangguh, tanggal 6 Ramadan menjadi detik paling tidak dapat dilupakan buat Muhamad Padzeli Aznan dan Nor Haslinda Hashim, apabila menjadi pasangan pertama bernikah di pulau ini, semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majlis pernikahan pasangan berusia 27 dan 25 tahun itu, dilaksanakan di Kompleks Pejabat Agama Daerah Langkawi, di sini dengan dua kali lafaz yang disempurnakan oleh Pegawai Agama Daerah Langkawi Syeikh Zainul Mukhtar Abdullah Sirajuddin.

Bapa pengantin perempuan Hashim Awang, menjadi wali pernikahan dengan disaksikan dua petugas Pejabat Agama Daerah Langkawi.

Muhammad Padzeli, yang bekerja di sebuah hotel di sini berkata, urusan akad nikah mereka dijadual pada 27 Mac lalu, namun terpaksa ditangguhkan berikutan pelaksanaan PKP.

“Saya dapat panggilan dari Pejabat Agama Daerah Langkawi pada Ahad lalu (26 April), mereka tanya sama ada mahu teruskan majlis akad nikah dalam tempoh PKP atau tangguhkan lagi. Selepas berbincang bersama pasangan, kami putuskan untuk terima dan buat pada hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Pejabat Agama Daerah Langkawi, di sini.

Bagi Nor Haslinda dia melahirkan rasa syukur selepas tertangguh lebih sebulan urusan pernikahan mereka dapat disempurnakan.

“Dalam tempoh penangguhan, saya reda kerana faham urusan pernikahan tidak dapat diteruskan kerana PKP. Hari ini saya rasa bersyukur dan gembira apabila mendapat kelulusan untuk bernikah dalam tempoh PKP, berkenaan majlis kenduri kami belum rancang lagi, nak tunggu hingga habis PKP baru fikir semula,” katanya yang berasal dari Kampung Hujung Penarak, Langkawi.

Sementara itu, Syeikh Zainul Mukhtar berkata sejumlah 38 pasangan diluluskan untuk dinikahkan dalam tempoh PKP di Langkawi.

“Hari ni seramai lima pasangan akan dinikahkan. Bakinya akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut hari yang telah ditetapkan.

“Urusan akad nikah setiap pasangan ambil masa kira-kira 20 minit, semua mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan dalam tempoh PKP, dan memenuhi rukun serta syarat sah pernikahan. Semasa proses pernikahan hanya pasangan serta wali pernikahan dibenarkan hadir ,” katanya. – Bernama

Gigi Hadid hamil, Zayn Malik bakal bergelar bapa?

0

ZAYN Malik bakal bergelar bapa apabila kekasihnya, Gigi Hadid dilaporkan sedang hamil hasil hubungan dengan penyanyi itu.

Jika berita ini benar bermakna ia dipercayai anak pertama penyanyi kelahiran England itu.

Bagaimanapun setakat ini Gigi belum mendedahkan perkara itu kepada keluarga dan rakan-rakannya kerana kandungannya baru beberapa bulan.

“Sejak Gigi dan Zayn bersama semula akhir tahun lalu, mereka seolah-olah tak boleh berenggang dan ini mengembirakan kedua-dua keluar pasangan tersebut,” kata sumber kepada ET.

Pasangan itu belum berkongsi berita gembira tersebut kepada umum dan terus menutup mulut berhubung perkara tersebut.

Namun pasangan berkenaan dikatakan sering menghabiskan masa dengan acara-acara keraian sepanjang bulan ini, antaranya meraikan ulang tahun kelahiran supermodel itu yang ke-25 minggu lalu.

Zayn, 27, terkenal menerusi lagu-lagu Dusk Till Dawn, Pillowtalk dan I Don’t Wanna Live Forever yang merupakan lagu runut bunyi filem Fifty Shades Darker. – Agensi

Selamatkah jika pelarian Rohingya pulang ke Myanmar?

0

ADA pihak yang mendakwa situasi di Myanmar kini sudah selamat dan pelarian Rohingya yang berada di Malaysia kini boleh pulang ke tanah air mereka.

Individu-individu yang mendesak kerajaan menghantar pelarian Rohingya kembali ke Myanmar itu membuat andaian tersebut berdasarkan laporan BH Online bertajuk Myanmar sudah laksana tindakan lindungi Rohingya: pemerintah.

Rohingya

Memang tiada apa yang salah dengan artikel yang disiarkan pada 24 Januari lalu itu.

Cuma netizen gagal memahami bahawa kerajaan Myanmar tidak dapat menjamin bahawa tentera atau pemberontak tidak akan mengulangi pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Rohingya seperti yang pernah berlaku pada 2017.

Dalam perenggan keenam laporan berkenaan, jurucakap kerajaan Myanmar, Myo Nyunt menyatakan secara jelas:

“Dalam keadaan politik semasa, kami mengalami kesukaran menyelesaikan beberapa isu, antaranya arahan bahawa kerajaan perlu memastikan tentera atau pemberontak bersenjata tidak melakukan atau cuba untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap Rohingya atau Bengali.”

Salah satu punca segelintir netizen gagal memahami konteks kenyataan Myo Nyunt adalah berpunca daripada sikap mereka yang gemar membaca tajuk sahaja.

Secara purata, hanya kira-kira 10 peratus daripada netizen benar-benar mengklik pautan yang dipaparkan dalam laman atau kumpulan Facebook dan seterusnya membaca artikel yang disiarkan.

Sebahagian besar netizen pula terus melontarkan komen yang kadang-kadang agak emosional tanpa memahami hujung pangkal isu yang diketengahkan.

Maka, banjirlah ruangan komen dengan cadangan dan hujah yang dangkal, malah ada yang langsung tak masuk akal.

Jika mereka membaca dan menghadam artikel berkenaan sepenuhnya, pasti mereka memahami pelarian Rohingya berdepan kemungkinan disembelih beramai-ramai sekali lagi.

Berbeza dengan kerajaan, sebarang pertimbangan berhubungan isu pelarian Rohingya tidak boleh diputuskan setelah ‘membaca tajuk’ sahaja.

Banyak aspek yang perlu diambil kira seperti hubungan diplomatik, undang-undang antarabangsa, kemanusiaan dan persaudaraan umat Islam.

Bayangkan jika kerajaan akur dengan desakan puak cauvinis dan menghantar semua pelarian Rohingya pulang ke Myanmar.

Setelah beberapa ketika, konflik di wilayah Arakan yang sentiasa tegang dari dahulu tercetus semula dan pembersihan etnik pun berlaku sekali lagi.

Mana kerajaan hendak letak muka sekiranya perkara itu berlaku?

Dalam isu sebegini, lebih baik diserahkan kepada kerajaan untuk memutuskan pendekatan yang terbaik untuk menguruskan pelarian Rohingya.

Netizen pula perlu lebih rajin membaca agar mereka dapat memahami sesuatu isu secara mendalam sekali gus melindungi diri mereka daripada dimanipulasi pihak tertentu yang ingin menangguk di air keruh. – Edisi 9

Tudung terbaru Duck ciplak Sleepylllama?

0

KUALA LUMPUR – Usahawan fesyen terkenal, Datin Vivy Sofinas Yusof menyangkal dakwaan bahawa pihaknya menciplak rekaan orang lain bagi koleksi tudung terbaharu Duck.

Sambil menganggap ia tuduhan liar, Vivy berkata, rekaan koleksi The Artsy Duck keluaran syarikatnya, The Duck Group itu telah dibincang oleh pasukannya pada Jun 2018 lagi.

“Cetakan ini adalah milik kami yang sudah kami hasilkan bersama set alat tulis Threesome Pen. Saya sertakan tangkap layar e-mel gambar pasukan kami sejak Jun 2018.

“Koleksi pihak yang satu lagi melancarkannya pada Disember 2018. Tidak mungkin kami mencipta rekaannya atau siapa saja,”kata Vivy menerusi Instagram peribadinya, semalam.

Kontroversi tercetus apabila pemilik Sleepylllama, Nia Atasha memuat naik gambar membandingkan rekaan dan konsep ‘photoshoot’ miilknya dengan hasil rekaan dan konsep photoshoot oleh Vivy sempena pelancaran koleksi tersebut.

Ekoran dakwaan itu, Vivy mengeluarkan kenyataan yang menafikan dia mencuri idea Sleepylllama tetapi Nia turut menunnjukkan bukti e-mel di mana rekaannya telah dibincangkan sejak Mei 2018.

Nia berkata, dia tidak akan menyuruh orang ramai memboikot The Atsy Duck kena percaya ia telah dihasilkan dengan baik.

“Apa yang saya mahu tekankan bahawa ia bukan kali pertama berlaku dan ia adalah berkaitan dengan cap dagang,”katanya menerusi Instagram Sleepylllama.

Sebelum itu, usahawan tersebut turut terpalit dengn isu ciplak apabila satu jenama turban tempatan yang dikenali Echenta menzahirkan rasa terkilan dan marah terhadap Vivy yang dikatakan menciplak rekaan turbannya.

Vivy baru-baru ini dikecam teruk kerana mengeluarkan pernyataan yang tidak sesuai dan mengguris hati banyak pihak sehingga ada gerakan mendesak agar dia berundur sebagai ahli lembaga pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM). – Edisi 9