25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

6 kali kad pengenalan Malaysia berubah wajah

Mesti Baca

Hussaini Amran
Hussaini Amran
Hampir 15 tahun dalam bidang kewartawanan. Pernah menyertai Sinar Harian, Utusan Malaysia dan PN BBC Portal.

SEKARANG tengah kecoh tentang dakwaan pendatang asing memiliki MyKad di negara ini sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.

Sama ada dakwaan itu benar atau sebaliknya, ia bergantung kepada hasil siasatan oleh pihak berkuasa.

Pada masa yang sama timbul cadangan supaya MyKad sedia ada digantikan dengan kad pengenalan baharu yang mempunyai ciri-ciri canggih agar sukar untuk dipalsukan.

Jika kerajaan melaksanakan cadangan tersebut, maknanya kad pengenalan yang memaparkan identiti pemegangnya bakal mengalami evolusi sebanyak tujuh kali di Semenanjung Malaysia dan Sarawak serta enam kali di Sabah.

Walaupun ramai yang tumpang sekaki membahaskan isu MyKad, mungkin hanya segelintir sahaja yang mengetahui sejarahnya.

Kad pengenalan yang pertama dikeluarkan pada tahun 1948 di Semenanjung Malaysia atau dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu ketika itu.

Dokumen yang dalam bentuk kertas itu digunakan sebagai salah satu kaedah untuk mengekang kegiatan pengganas komunis yang berleluasa ketika Darurat.

Maknanya, sesiapa sahaja yang gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri apabila diminta oleh pasukan keselamatan boleh menyebabkan dia disyaki sebagai anggota Parti Komunis Malaya (PKM).

Satu perkara yang menarik, kad pengenalan yang pertama itu juga dikenali sebagai ‘kad beras’ kerana orang ramai perlu menunjukkan dokumen berkenaan untuk mendapatkan bekalan beras yang dicatu.

Kad yang tidak berlapik plastik serta memaparkan gambar hitam putih, cap ibu jari kanan dan maklumat tempat asal pemegangnya digunakan sehingga tahun 1960.

Selepas itu, kad pengenalan (plastik) Semenanjung Malaysia yang popular dengan gelaran ‘IC biru’ mula dikeluarkan.

Ciri-cirinya termasuk gambar hitam putih, alamat dan cap ibu jari kiri serta kanan pemegang kad.

Memang lama bertahan ‘IC biru’ ini dan ia seterusnya digantikan dengan kad pengenalan bermutu tinggi pada 1990.

Pada peringkat permulaan, kad pengenalan baharu yang turut dikenali sebagai ‘IC bunga raya’ itu menggunakan gambar hitam putih dan gambar berwarna mula dipaparkan sembilan tahun kemudian.

Ramai juga yang pening semasa mula menggunakan kad pengenalan bermutu tinggi kerana ia mempunyai nombor pengenalan diri 12 digit berbanding tujuh digit bagi ‘IC biru’.

Sebenarnya yang perlu dihafal adalah empat digit terakhir yang unik dan dijana secara rawak oleh sistem Jabatan Pendaftaran Negara bagi setiap individu.

Nombor ganjil menunjukkan jantina pemegang kad ialah lelaki manakala wanita pula mempunyai nombor genap.

Enam digit yang pertama merupakan tarikh lahir pemegang dalam format tahun/bulan/hari, jadi memang tiada masalah besar untuk menghafalnya.

Digit yang kelima dan keenam adalah kod negeri kelahiran pemegang kad iaitu 01, 21, 22, 23, 24 bagi Johor diikuti Kedah (02, 25, 26, 27), Kelantan (03, 28, 29), Melaka (04, 30), Negeri Sembilan (05, 31, 59), Pahang (06, 32, 33) dan Pulau Pinang (07, 34, 35)

Kod bagi negeri-negeri lain adalah Perak (08, 37, 38, 39), Perlis (09, 40), Selangor (10, 41, 42, 43, 44), Terengganu (11, 03, 06, 45, 46), Sabah (12, 47, 48, 49), Sarawak (13, 50, 51, 52, 53), Kuala Lumpur (14, 54, 55, 56, 57), Labuan (15, 58), Putrajaya (16) dan luar negara (71).

Bagi anggota polis, kod 88 tertera pada kad pengenalan bermutu tinggi mereka manakala anggota tentera diberikan kod 99.

Apabila mereka bersara, kod negeri akan diubah mengikut kod negeri kelahiran masing-masing.

Kad pengenalan pelbagai guna kerajaan atau MyKad yang mula digunakan pada 2001 diperbuat menggunakan polikarbonat dan mempunyai cip bagi mencegah kegiatan pemalsuan.

MyKad juga boleh digunakan sebagai kad ATM atau membayar tol di lebuh raya.

Sebelum tahun 2000, kanak-kanak yang berusia di bawah 12 tahun tidak mempunyai kad pengenalan dan sijil kelahiran digunakan sebagai dokumen kelahiran diri.

Mulai penghujung tahun 2000, MyKid yang berwarna merah jambu mula dikeluarkan untuk setiap bayi warganegara Malaysia yang baru lahir.

Kid sebenarnya akronim bagi ‘kad identiti diri’ atau perkataan bahasa Inggeris yang bermaksud ‘kanak-kanak’.

Nombor pengenalan diri yang tertera pada MyKid akan terus digunakan apabila kanak-kanak terbabit menukar kepada MyKad untuk kali pertama ketika berumur 12 tahun dan kali kedua sebaik sahaja mencecah usia 18 tahun.

Kad pengenalan turut dikeluarkan kepada pemastautin tetap (MyPR) dan pemastautin sementara (MyKAS).

Evolusi kad pengenalan Malaysia yang terakhir berlaku pada tahun 2012 di mana MyKad versi baharu turut memaparkan gambar kecil pemegangnya dalam hitam putih.

Andainya kerajaan bersetuju untuk mengeluarkan kad pengenalan yang baharu, bagaimanakah rupanya nanti? – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan