PARIS Saint-Germain (PSG) diumumkan sebagai juara Ligue 1 Perancis bagi musim 2019-2020 setelah liga itu ditamatkan lebih awal berikutan wabak Covid-19.
Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Liga Profesional Perancis (LFP) pada Khamis dan ia disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LFP, Didier Quillot dengan mengambil kira kedudukan mata terkini.
Sementara itu, Lorient yang menduduki tangga teratas Ligue 2 pula yang ditamatkan pada bulan lalu diumumkan sebagai juara dan naik ke Ligue 1.
Dengan keputusan itu, PSG layak ke Liga Juara-juara bersama Marseille yang menduduki tangga kedua liga manakala Rennes (ketiga) akan bersaing dalam sesi kelayakan sementara Lille akan bersaing di Liga Eropah musim depan.
Pun begitu Quillot masih berharap persaingan dalam kejohanan piahal Perancis itu dapat disambung pada Ogos ini secara tertutup tanpa kehadiran penonton, namun perkara itu perlu mendapat kelulusan UEFA dan Liga Eropah.
“Kami memang bersedia untuk menamatkan musim ini seperti Jerman dan Sepanyol,” kata Quillot sambil mengesahkan akan memulakan musim baharu menjelang 22 Ogos.
“Bagaimanapun ia bergantung kepada keputusan kerajaan,” katanyanya seperti dilapor Daily Mail UK.
Beliau juga mengesahkan dua pasukan akan turun ke Ligue 2 manakala dua pasukan akan dinaikkan ke liga utama.
Ini bermakna Lens akan mengiringi Lorient ke Ligue 1 sementara Amiens Toulouse akan diturunkan ke Ligue 2.
Sehingga kini, sebanyak 167,178 kes Covid-19 menular di seluruh Perancis dengan merekodkan lebih 24,000 kematian. – AGENSI