32.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

PKP: Pasangan lega dapat nikah selepas tertangguh sebulan

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

LANGKAWI – Selepas lebih sebulan tertangguh, tanggal 6 Ramadan menjadi detik paling tidak dapat dilupakan buat Muhamad Padzeli Aznan dan Nor Haslinda Hashim, apabila menjadi pasangan pertama bernikah di pulau ini, semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Majlis pernikahan pasangan berusia 27 dan 25 tahun itu, dilaksanakan di Kompleks Pejabat Agama Daerah Langkawi, di sini dengan dua kali lafaz yang disempurnakan oleh Pegawai Agama Daerah Langkawi Syeikh Zainul Mukhtar Abdullah Sirajuddin.

Bapa pengantin perempuan Hashim Awang, menjadi wali pernikahan dengan disaksikan dua petugas Pejabat Agama Daerah Langkawi.

Muhammad Padzeli, yang bekerja di sebuah hotel di sini berkata, urusan akad nikah mereka dijadual pada 27 Mac lalu, namun terpaksa ditangguhkan berikutan pelaksanaan PKP.

“Saya dapat panggilan dari Pejabat Agama Daerah Langkawi pada Ahad lalu (26 April), mereka tanya sama ada mahu teruskan majlis akad nikah dalam tempoh PKP atau tangguhkan lagi. Selepas berbincang bersama pasangan, kami putuskan untuk terima dan buat pada hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Pejabat Agama Daerah Langkawi, di sini.

Bagi Nor Haslinda dia melahirkan rasa syukur selepas tertangguh lebih sebulan urusan pernikahan mereka dapat disempurnakan.

“Dalam tempoh penangguhan, saya reda kerana faham urusan pernikahan tidak dapat diteruskan kerana PKP. Hari ini saya rasa bersyukur dan gembira apabila mendapat kelulusan untuk bernikah dalam tempoh PKP, berkenaan majlis kenduri kami belum rancang lagi, nak tunggu hingga habis PKP baru fikir semula,” katanya yang berasal dari Kampung Hujung Penarak, Langkawi.

Sementara itu, Syeikh Zainul Mukhtar berkata sejumlah 38 pasangan diluluskan untuk dinikahkan dalam tempoh PKP di Langkawi.

“Hari ni seramai lima pasangan akan dinikahkan. Bakinya akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut hari yang telah ditetapkan.

“Urusan akad nikah setiap pasangan ambil masa kira-kira 20 minit, semua mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan dalam tempoh PKP, dan memenuhi rukun serta syarat sah pernikahan. Semasa proses pernikahan hanya pasangan serta wali pernikahan dibenarkan hadir ,” katanya. – Bernama

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan