KUALA LUMPUR – Jika sebelum ini, kita sering melihat para suami sering menelefon isteri bertanyakan mengenai barangan keperluan di kedai runcit atau pasar raya, mungkin selepas ini masalah itu tidak akan wujud lagi.
Keadaan itu berlaku kerana sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hanya seorang ketua keluarga sahaja yang dibenarkan keluar membeli barang keperluan.
Bagaimanapun, mulai hari ini kerajaan telah membenarkan ketua keluarga membawa bersama salah seorang ahli keluarga mereka.
Kebenaran terbaru dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa keempat hari ini itu dapat dilihat dalam satu warta persekutuan yang menyebut individu yang keluar itu kini dibenarkan keluar bersama ahli keluarga dari kediaman yang sama.
Peraturan tersebut tertulis di dalam Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, yang diwartakan semalam.
Peraturan yang dikemaskini itu diterbitkan dalam warta kerajaan mengikut kuasa perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu berkuat kuasa mulai hari ini hingga 12 Mei depan.
Seksyen 4(1)(a)(ii) peraturan itu, yang telah dikemaskini mengenai kebenaran seseorang individu yang keluar membeli makanan, ubat, keperluan harian atau barangan lain untuk membawa salah seorang anggota keluarga yang tinggal serumah.
Sebelum ini, mana-mana individu yang ingin membeli barang keperluan di kawasan yang dijangkiti “tidak boleh disertai mana-mana orang lain, melainkan jika adalah semunasabahnya perlu baginya untuk disertai mana-mana orang lain.”
Peraturan yang dikemaskini itu juga memperluas barangan yang boleh dibeli oleh orang ramai.
Peraturan sebelum ini menyatakan bahawa orang ramai hanya boleh meninggalkan rumah mereka untuk membeli “makanan, ubat, penokok diet atau keperluan harian.”
Walau bagaimanapun, peraturan terbaru ditandatangani oleh Menteri Kesihatan Adham Baba itu menambah”apa-apa barang lain daripada mana-mana penyedia perkhidmatan perlu” ke dalam senarai berkenaan. – EDISI9