KERAJAAN Negeri Kelantan mengumumkan 22 Jun ini sebagai tarikh Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN).
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, tarikh berkenaan telah mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V selepas beliau menghadap baginda hari ini.
Katanya, tarikh tersebut adalah lima hari lebih awal daripada tarikh DUN terbubar secara automatik pada 27 Jun ini.
“Adalah saya, setelah mengadap Sultan Muhammad V bagi memohon ampuni perkenan untuk membubarkan DUN Kelantan bagi penggal ke-14.
“Maka yang demikian, Sultan Muhammad V dalam menjalankan kuasa yang diberikan di bawah Fasal (2) Perkara 46 Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Pertama) telah mengampuni perkenan untuk membubarkan Dewan Negeri Kelantan pada hari Khamis bersamaan 22 Jun,”katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim hari ini.
PRN dijangka akan diadakan seawal penghujung Julai atau awal Ogos di enam negeri membabitkan Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Beberapa negeri lain dijangka mengikuti jejak Kelantan atau DUN akan dibubarkan secara automatik pada akhir Jun selepas mencapai tempoh matang.
Pada PRN kali ini, sebanyak 45 kerusi DUN bakal dipertandingkan dengan saingan membabitkan Perikatan Nasional (PN) dan gandingan Barisan Nasional (BN) – Pakatan Harapan (PH).
Pada Pilihan Raya ke-14 (PRU-14) lalu, Pas mendominasi undian apabila memenangi sebanyak 37 kerusi sementara lapan lagi kerusi dimiliki BN.
Bagaimanapun, satu daripada kerusi milik BN jatuh ke tangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas, Datuk Seri Mustapa Mohamed keluar daripada UMNO. – Edisi 9

