GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) mengutuk sekeras-kerasnya kempen mencemarkan nama baik Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Pertubuhan badan sivil itu mendakwa kempen tersebut dilakukan oleh pihak yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang direka untuk mencemarkan nama baik badan kehakiman.
“BERSIH dan GBM percaya bahawa kempen memburukkan Hakim Jazlan dan sistem kehakiman Malaysia oleh peguam dan rakan-rakannya berniat untuk mendapatkan pengampunan diraja kepada Najib yang akan membebaskan beliau daripada penjara.
“Kami dengan rendah diri memohon kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dan semua rakyat Malaysia untuk menolak percubaan daripada penjenayah yang disabitkan dan rakan-rakannya untuk menjatuhkan pentadbiran keadilan serta mencemarkan nama baik badan kehakiman.
“Kami juga ingin menegaskan bahawa Ketua Hakim Negara perlu diberikan ruang untuk menentukan sebarang tindakan yang bersesuaian secara bebas berdasarkan maklumat yang dirujuk kepada beliau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, NGO tersebut turut menyentuh siasatan Suruhjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) terhadap Mohd. Nazlan yang perlu dibuat mengikut Kod Etika Hakim 2009.
“SPRM diberi kuasa untuk menyiasat kesalahan yang bertentangan dengan Akta SPRM.
“Berikutan penyiasatan tersebut, mereka boleh mengemukakan aduan kepada Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan untuk menentukan keperluan tindakan lanjut dibawah Kod Etika Hakim 2009,” kata kenyataan itu lagi.
Katanya, tiga daripada empat ketentuan oleh Mahkamah Persekutuan berkaitan protokol untuk mengendalikan penyiasatan terhadap anggota badan kehakiman telah dilanggar oleh SPRM dan Kerajaan.
“Siasatan terhadap Hakim Nazlan telah dilaksanakan tanpa merujuk kepada Ketua Hakim Negara dan fakta penyiasatan telah diuar-uarkan tanpa mendapat persetujuan beliau.
“Hal ini telah dipegang oleh Mahkamah Persekutuan sebagai “petunjuk yang kuat menunjukkan kekurangan niat baik dalam siasatan jenayah’. Kini, kandungan penemuan siasatan SPRM juga telah diuar-uarkan kepada orang ramai oleh Menteri,” tambahnya.
BERSIH dan GBM menegaskan, SPRM tidak memiliki kepakaran atau bidang kuasa untuk menentukan sama ada hakim yang mempengerusikan perbicaraan jenayah mempunyai konflik kepentingan yang mengkehendakinya menarik diri daripada perbicaraan.
“SPRM tidak mempunyai kepakaran atau bidang kuasa untuk menentukan sama ada hakim yang mempengerusikan perbicaraan jenayah mempunyai konflik kepentingan yang memerlukan beliau untuk menarik diri daripada perbicaraan, atau untuk menentukan sama ada hakim telah melanggar Kod Etika Hakim 2009.
“Pengurusan perbicaraaan jenayah adalah urusan mahkamah perbicaraan atau rayuan yang secara konsisten menolak tuduhan yang dibuat oleh peguam Najib, dan urusan etika kehakiman adalah untuk Ketuan Hakim Negara, Jawatankuasa Etika Kehakiman dan/atau tribunal yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.
“Campur tangan SPRM dalam urusan pengurusan perbicaraan kehakiman dan etika kehakiman menunjukkan keangkuhan, kebiadapan dan penghinaan kepada kebebasan badan kehakiman,” ujarnya.
Kenyataan ini dikeluarkan BERSIH dan GBM dipercayai dibuat untuk mengemukakan pendirian mereka berhubung dakwaan isu pelanggaran kod etika hakim membabitkan Mohd Nazlan yang dikemukakan kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat melalui salinan surat.
Surat yang bertarikh 20 Februari itu dikeluarkan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang tular di media sosial baru-baru ini.
Isi kandungan surat tersebut berbentuk hantaran imej itu dimuat naik oleh anak perempuan Najib, Nooryana Najwa, beberapa hari selepas keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan Najib di laman Instagram dengan mesej berbunyi, “Berani kerana benar”. – Edisi 9

